Oleh : Abu Farouq
Sesungguhnya kalimah (perkataan) salaf (سلف) telah dikenali sama ada dalam Bahasa Arab atau melalui pengertian syara.[1] Perkataan salaf telah dikenal sejak sekian lama oleh masyarakat Arab antaranya melalui syair-syair Arab yang terkenal.
Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah: “Orang-orang yang awal (تقدم) iaitu yang mula-mula atau (سبق) orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu).[2] Dimaksudkan juga pendahulu bagi suatu generasi.[3] Atau:
من تقدمك من آبائك وذوي قرابيك الذين هم فوقك فى السن والفضل.
"Salaf: Sesiapa yang mendahului kamu seperti ibu bapa, kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan".[4]
Antara yang paling benar (tepat dan rajih) pengertian salaf ialah:
“Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat”.[5]
Yang dimaksudkan dengan salaf ialah: Sahabat, yang mengikut sahabat (tabi’in), yang mengikut tabi’ut at-tabi’in dan a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh umat tentang keimaman mereka dalam agama, yang hebat peranan mereka pada menegakkan agama, orang-orang Islam menerima kata-kata mereka sama ada dari kalangan salaf atau khalaf, meredai dan menerima mereka. Seperti dua orang Syufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim Nakhi, al-Bukhari, Muslim dan keseluruhan ashabus sunnan rahimahumullah. Dan tidak termasuk mereka yang tertuduh sebagai golongan ahli bid’ah dan menerima gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rawafidh, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua firqah yang sesat. Maka mazhab Salaf ialah: Sesiapa yang berpegang kepada iktikad yang disandarkan kepada para Salaf as-Soleh.[6]
Telah dinukil dari as-Safarini dari kitab “Al-Lawami’ اللوامع” dari Ibnu Rejab. Ia telah menentukan had zaman yang dinamakan zaman salaf, yang mana beliau berkata:
“Pada ketika ini, penentuan zaman salaf menurut kitab yang termuat kata-kata para a’immah as-Salaf yang menjadi contoh iaitu hanya sampai ke zaman as-Syafie, Ahmad, Ishak dan Abi Ubaid. Namun manusia telah diperingatkan tentang bid’ah selepas mereka kerana akan berlaku selepas mereka bid’ah yang amat banyak”.[7]
Mereka yang ditunjukkan di atas adalah para salaf yang dinasabkan kebaikan dan digelar sebagai Ahli al-Hak. Diikuti (ditaati) athar mereka kerana mereka hidup dikurun yang terbaik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di beberapa hadis yang sahih.
-----------------------------------------------------------------------------
[1] . Lihat: Penjelasan Nasruddin Al-Albani dalam Majalah as-Solah
No. 9 Syaban 1414.
[2]. Lihat: معجم مقايس اللغة 3/95 Ibnu Faris. Lihat: Al-Mufradat Fi
Gharibil Quran, hlm. 244.
[3]. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[4]. Lihat: Lisan 9/159. Ibnu Manzur. 3/2069, Pengertian dinukil oleh
Ibn Mansur dari Ibnu Atsir dalam Gharibil Hadis. Lihat: المفسرون
للمغراوى 1/18. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[5] . Lihat: تحفة المريد على جوهر التوحيد hlm. 231. Ibrahim Baijuri.
[6] . Lihat: الغقائد السلفية بادلتها النقلية والعقلية (شرح الدرة السنية فى عقيدة اهل السنة
المرضية 1/11. Ahmad bin Hajar Ali Butami.
[7] . Lihat: لوامع الأنوار البهية 1/26.
0 Comments
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.