DEFINISI MANHAJ

Oleh : Abu Farouq

Manhaj (المنهج), nahaj (النهج) atau minhaaj (المنهاج) dari madah: نَهجا– يَنهج – نَهج yang semuanya mempunyai satu makna. Dari segi bahasa manhaj ialah:[1]


اَلطَّرِيْقُ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ ، وَيُطْلَقُ عَلَى الطَّرِيْقِ الْمُسْتَقِيْمِ اَوِالسُّنَّةِ.

“Jalan yang jelas, terang dan dikatakan juga (mengikut) jalan yang lurus[2] atau mengikut sunnah”.

Kalimah manhaj/minhaj bermakna jalan yang terang atau mengikut sunnah. Ia disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:


لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا

“Untuk tiap-tiap umat (antara kamu), Kami berikan aturan dan jalan yang terang (atau sunnah)”.[3]

Berkata Abu Ja’far, bahawa manhaj ialah: “Jalan yang terang atau jelas” (الوالبيان اضح).[4] Dan apabila dikatakan (طريق نَهج) bererti “Jalan Yang Terang” atau (بين) “Jelas”.

Menurut Ibn Kathir rahimahullah manhaj ialah:


فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ

“Maka manhaj ialah jalan yang terang dan mudah”.[5]

Manhaj juga dapat difahami menurut sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan dari Mujahid, Ekrimah, Hasan al-Basri dan selain mereka:


قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : سَبِيْلاً اَوْ سُنَّةً
“Berkata Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu bahawa manhaj ialah: Jalan atau sunnah”.[6]


سُنَّةُ النَّبِي ، اَوْ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ

“Manhaj ialah: Sunnah Nabi. Atau yang terang dan yang jelas”. [7]

Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab (aliran atau jalan). Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: “Manhaj as-Salaf as-Soleh atau Mazhab as-Salaf as-Soleh”.
-----------------------------------------------------------------------------


[1]. Lihat: Lisanul Arab 2/383. Abi Fadzil Jamaluddin Muhammad al-
Afriki al-Misri. Lihat: Kamus al-Muhit. 1/209. Fairus Abadi.
[2]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة1/19. Uthman bin Ali Hasan.
[3] . Al-Maidah, 5:48.
[4] . Lihat: At-Tabari, 4/609.
[5]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir 2/26. Dan Fathul Qadir 2/48 As-Syaukani.
[6]. Lihat: Sahih Bukhari. 1/46 Fathul Bari (Kitab al-Iman). Diriwayatkan oleh Al-Lalakaii hlm. 66. At-Tabari 6/271. Lihat Ibn Kathir. 3/120. Lihat: Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, 1/50. Khalid bin Abdullatif.
[7]. Lihat: At-Tabari, 6/609.

Post a Comment

0 Comments