ISLAM DI KEPULAUAN MELAYU : KEBANGKITAN BARU BANGSAMORO [BAHAGIAN KEEMPAT]


Oleh : Al-Haj Murad Ebrahim
Pengerusi, Moro Islamic Liberation Front (MILF)
Camp Darapanan Sultan Kudarat Maguindanao, Bangsamoro.

5.0 KEBANGKITAN GERAKAN REVOLUSI MORO

Situasi yang semakin teruk menyebabkan Bangsamoro menyusun gerakan revolusi sejak tahun 1960-an lagi. Pembunuhan Jabidah 1968 sewaktu kepimpinan Marcos sudah membulatkan penyatuan kaum Bangsamoro daripada pelbagai peringkat; tradisional, profesional, pelajar, aktivis dan Islamis – bersatu untuk tujuan. Situasi mengukuhkan pengwujudan Moro National Liberation Front (MNLF) pada tahun 1971 dan diterajui oleh Nur Misuari, yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1974. 

Gerakan yang lebih luas meliputi tiga kaum utama Bangsamoro – Nur Misuari (Sulu) sebagai Pengerusi, Abul Khayr Alonto (Lanao) sebagai Timbalan Pengerusi dan Salamat Hashim (Cotabato) menjaga hal ehwal luar negara (Jubair, 1999). Objektif utama MNLF adalah membebaskan tanah air Bangsamoro daripada Kerajaan Filipina. Sejak awal 1970-an, pertempuran berdarah antara Bangsamoro dan Kerajaan Filipina sudah bermula. Pada tahun 1971, kumpulan fanatik Kristian yang dikenali sebagai ILAGA (Rats) disusun. 

Mereka menjalankan kerja pembunuhan beramai-ramai masyarakat Islam, seperti Pembunuhan Manili – di mana 65 orang Islam (lelaki, wanita dan kanak-kanak) dibunuh kejam di dalam masjid pada bulan Jun 1971 (Mindanao Cross, 1971). Terlalu banyak kekejaman tidak dilaporakan, khusus melibatkan kalangan orang Islam. Motif utama adalah untuk pembunuhan beramai-ramai adalah pengusiran orang Islam dari tanah mereka – usaha ini dilakukan secara kerjasama pemimpin politik Kristian dan polis dengan program yang dipanggil “Aktiviti Rampas Tanah”.

Situasi yang menekan ini menarik perhatian masyarakat antarabangsa seperti OIC dan beberapa buah negara anggota seperti Libya, Indonesia, Brunei dan Malaysia (Jubair, 1999). Islam menjadi faktor penyatu kepada pelbagai kaum di Mindanao dan kawasan kepulauan sekitarnya. Ianya menjadi ikatan sosial dan spiritual yang menyatukan mereka. 

Dengan perspektif ini, masyarakat Bangsamoro bersungguh menerima Islam sebagai ideologi akar untuk gerakan revolusi dan sebarang usaha politik yang lahir daripadanya. Dengan hakikat ini, kepimpinan MILF juga membuat keputusan untuk menerima Islam sebagai ideologi organisasi dengan empat program utama: Islamisasi, pembangunan ketenteraan, pengukuhan organisasi dan ‘self-reliance’ sejak 1980’an (Hashim, 1985). Keputusan ini memandu kepimpinan MILF untuk melaksana pertempuran bersenjata – di samping memberikan penekanan kepada usaha Islamisasi sebagai strategi praktikal berdepan masalah berkurun lama di Mindanao yang sedang ditadbir oleh majoriti Kristian.

6.0 PERPECAHAN DI ANTARA MNLF DAN MILF



Moro Islamic Liberation Front (MILF) adalah antara gerakan Islam kontemporari di Selatan Filipina. Ia menggunakan perjuangan bersenjata untuk mendesak pembebasan dan kemerdekaan di Selatan – sekaligus menjadi pemudah cara kepada program Islamisasi (Hashim, 1985). MILF sebenar-benarnya ditubuhkan awal 60-an di Kaherah, Mesir – apabila Salamat Hashim menyusun gerakan bawah tanah pelajar Moro dari Mindanao, bagi menentang Kerajaan Filipina (Jubair, 1999).

Pada tahun 1976, MNLF menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Marcos – dikenali sebagai Perjanjian Tripoli 1976, memberikan kerajaan ‘autonomous’ untuk masyarakat Islam Mindanao, meliputi 14 buah daerah dan 10 bandar di Mindanao dan kepulauan Sulu. Perjanjian tersebut tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Filipina. 

Selepas perjanjian ditandatangani, perbezaan pandangan di kalangan pemimpin mula terserlah. Salamat dan pemimpin Moro lain mula mempersoal kepimpinan Nur Misuari. Paling menjadi persoalan adalah soal ideologi, kaedah dan objektif yang terlalu berorientasikan komunis. Salamat mula menyusun semula, memperkukuh pelbagai jawatankuasa di peringkat nasional, sehinggalah di peringkat kampung. Ahli melalui proses re-orientasi, orang awam diperkenalkan semula dengan kaedah dan metodologi baru berasaskan paradigma Islam. MILF berjaya menubuhkan 13 kem tentera besar – dan 56 kem ‘satelit’ di seluruh Mindanao. Program Islamisasi dijalankan secara bersungguh dan dakwah diusahakan di seluruh tanahair Bangsamoro.

Salamat memberikan penekanan kepada ideologi MILF dan falsafah perjuangan yang diasaskan kepada makna Shahadah, menyata dan menjadi saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah (Hashim, 1985). Salamat mahukan deklarasi ini mesti difahami secara jelas dan tuntas oleh masyarakat Islam, bagi memudahkannya membawa intipati perjuangan, iaitu bagi mencari redha Allah SWT – dan bukan untuk tujuan individu atau duniawi. 

Islamisasi dan jihad adalah kaedah utama MILF. Islamisasi membawa makna islah, perubahan diri, keluarga, saudara mara, masyarakat, jiran dan akhirannya Bangsamoro di Mindanao, Sulu, Basilan, Tawi-Tawi dan kepulauan Palawan. Kaedah kedua adalah jihad di jalan Allah. Jihad dibenarkan apabila masyarakat Islam dijajah, umat Islam diseksa dan dinafikan daripada menjalankan amanahnya kepada Allah, dan bila dakwahnya dihalang. 

Dengan sendirinya, keseluruhan umat Islam disuruh berjihad dengan sehabis usaha dan kapasiti untuk membebaskan diri daripada keganasan ini. Allah berfirman: Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.

7.0 PROGRAM-PROGRAM TERAS MILF

MILF sudahpun melaksanakan strategi Islamisasi, pemantapan ketenteraan, pengukuhan organisasi dan ke arah ekonomi mandiri sejak 1980 an. Ianya suatu program yang komprehensif dan multi-dimensi untuk menangani isu-isu politik, sosial, ekonomi dan pendidikan di kalangan masyarakat Bangsamoro sekaligus mempertahan sebarang tekanan Kerajaan Filipina ke arah memperoleh kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri. 

Sebagai sebahagian daripada program pemantapan ketenteraan, MILF menubuhkan 13 kem-kem utama. Latihan ketenteraan dan program berkaitan dilaksanakan secara serentak di seluruh kem. Peralatan ketenteraan diperolehi melalui pelbagai sumber, hasil peperangan dan pembelian daripada pasaran tempatan dan antarabangsa. Dengan teknologi yang sangat sederhana, MILF mampu untuk menghasilkan sendiri pelbagai peralatan peperangan dan peluru. 

Program pengeluaran persenjataan ini adalah pencapaian hebat MILF – yang sekaligus menggambarkan kemampuannya untuk menjadi ‘ancaman’ kepada Kerajaan Filipina. Firman Allah: “Dan persiapkanlah untuk (menghadapi) mereka menurut kemampuan kamu, dari (segi) kekuatan dan kuda-kuda yang dikawal, yang dengannya kamu dapat menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan (musuh) yang lain daripada mereka (yang masih belum nyata), yang kamu tidak ketahui siapakah mereka, sedangkan Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, akan disempurnakan (balasannya) kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya” (Al-Anfaal: 60)

MILF telah menjadikan program pemantapan organisasi sebagai prioriti. Program ini telah secara keseluruhannya memperkukuh kepimpinan dalam melakukan proses konsolidasi aktiviti dalaman dan luaran. Ianya telah menyediakan satu persekitaran yang kondusif untuk aktiviti Islamisasi yang bersifat ‘konvensional’ dapat dilakukan dalam kawasan yang ditadbir oleh MILF – termasuk juga beberapa kawasan di luar pentadbiran MILF. 

Organisasi kerajaan yang asas telah dapat ditubuhkan – Badan Eksekutif, Insitusi Kehakiman (Mahkamah Syariah) dan juga ‘Parlimen’ atau ‘Majlis Perundingan’ (Majlis al-Shura) yang boleh disifatkan sebagai bebas. Penubuhan ‘organ kerajaan’ seperti ini telah membuka jalan buat MILF untuk membina dan memudahkan MILF untuk mengurus pentadbirannya di pelbagai peringkat – daripada peringkat serantau, mahupun ke peringkat kampung-kampung di bawah pentadbirannya di bahagian tengah Mindanao, termasuk beberapa buah pulau berdekatan. Program kemandirian ekonomi juga sebahagian yang penting di dalam falsafah perjuangan MILF. 

Berdasarkan pengalaman gerakan revolusi di seluruh dunia, MILF perlu membangunkan falsafah ini dengan menyeluruh, dengan kesedaran bahawa kemampuan ekonomi adalah faktor utama kepada kegagalan gerakan revolusi lain di dunia. Belajar daripada pengalaman tersebut, MILF memberikan tumpuan bersungguh kepada usaha membangun dan menggunakan apa sahaja ‘sumber’ yang ada untuk program kemandirian ekonomi ini. MILF sudah membentuk kerangka minda di kalangan pemimpin dan pengikut agar mengambilkira ‘sumber ekonomi’ dalaman sebagai keutamaan, sementara sumber yang datang dari luar hanya sebagai pelengkap. 

Konsep ini sudah disematkan di dalam minda kaum Bangsamoro melalui program dialog, seminar dan diskusi. Kemandirian ekonomi adalah amanah dan tugas besar setiap jawatankuasa MILF di pelbagai peringkat, samada di kalangan Jawatankuasa Pusat, sehinggalah kepada mereka yang terlibat dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Ketenteraan, Politik, Ekonomi, Pendidikan, Informasi, Dakwah, Belia, Wanita dan Pembangunan Sosial. Bangsamoro itu sendiri secara umumnya terlibat dalam bidang pertanian sebagai sumber pendapatan, demikian juga mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecil, pemasaran dan industri lain (Lantong, 1999).

Bersambung ke bahagian kelima >



Post a Comment

1 Comments

  1. Salam tuan.. mohon share artikel hebat diatas dan mohon pautkan blog saya di blog tuan

    http://bersatuberubah.blogspot.com/

    Demi Agama Bangsa dan Tanah Air kita Sokong Najib Razak

    ReplyDelete

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.