Oleh : Ustaz Fathul Bari Bin Mat Jahya
Sesungguhnya kalau kita teliti di dalam Al-Quran dan juga hadis, kita akan dapati Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan kepada kita tentang kepentingan menghubungkan tali silaturrahim. Menghubungkan silaturrahim merupakan satu hal yang sangat ditekankan di dalam Agama Islam.
Manusia yang ada kepentingan mungkin akan memikirkan tentang hubungan. Perhubungan yang terjalin kerana kepentingan berbeza dengan perhubungan yang terjalin kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Itu yang disebutkan dengan silaturrahim.
Jadi saya mahu ikhlaskan diri saya, dan saya mahu kita sama-sama bermuhasabah moga-moga perhubungan antara kita bukan terjalin di atas asas politik semata-mata. Saya mahu pertemuan dan perhubungan kita ini dijalin di atas asas kecintaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut di dalam hadis,
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ؛ إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلِّقٌ بِالـمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللهُ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالَهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينَهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Di antara yang mendapat naungan Allah di Hari Akhirat kelak adalah orang-orang yang saling mengasihi saudaranya kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sebab itu di dalam hadis yang lain Baginda bersabda,
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maka sekiranya saya inginkan kebaikan untuk diri saya, saya juga berkewajipan menginginkan kebaikan untuk saudara-saudara saya yang lain. Oleh itu, moga-moga Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan pertemuan kita ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bukan kerana apa juga kepentingan lain, berbetulan dengan saya ditakdirkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk berada di Sanglang.
Saya tidak mahu sekiranya berlaku sesuatu seperti menang atau kalah di mana itu semua di tangan Allah, kita putuskan persaudaraan kita ini. Kita tidak mahu politik yang terbina di atas kepentingan, di mana jika tidak ada sesuatu maka tidak ada perhubungan, jika tidak ada sesuatu tidak ada keikhlasan.
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah berpesan kepada kita, apabila kepentingan lebih didahului berbanding kecintaan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala, akan datanglah tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Sabda Nabi di dalam hadis,
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Ini kerana orang yang lekeh tidak akan berbicara dan masuk campur di dalam urusan manusia yang dia tidak memiliki ilmu tentangnya melainkan kerana ada kepentingan yang hendak dicapai olehnya.
Oleh itu, kempen kita pada hari ini dan pada masa-masa akan datang, di mana kita akan bertemu di dalam banyak lagi program insyaAllah, kita inginkan supaya kempen kita bersifat ilmiah iaitu didasari dengan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan, kita bercakap dengan asas.
Tidak cukup sekadar ilmu sahaja, tetapi kita hendak melaksanakannya (beramal dengannya). Kita tidak mahu hanya pandai berkata-kata tetapi tidak ada perlaksanaan, dan kita tidak mahu hanya pandai menabur janji tetapi tidak ditepati.
Tema ataupun slogan yang saya gunakan adalah ‘Istiqamah’. Saya menggunakan perkataan istiqamah itu di antaranya adalah kerana Allah sendiri menyebutnya di dalam Al-Quran bahkan di dalam surah Al-Fatihah yang seringkali kita baca, “ihdina as-sirathal mustaqim” (Tunjukkanlah kepada kami jalan yang lurus).
Istiqamah itu sama asal perkataannya dengan “mustaqim” yang bermaksud lurus, adil, terbaik dan cemerlang. Itu harapan saya dan apa yang akan saya usahakan untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kita di sini, insyaAllah.
Jadi apa yang saya perlu adalah bantuan dari kalian semua untuk memastikan Sanglang diterajui oleh Barisan Nasional. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan agar kita saling tolong bantu di dalam hal-hal kebaikan seperti mana firman Allah,
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Demikian agama kita mendidik dan mengajar kita. Maka di dalam kempen ini, saya meminta agar kita membebaskan diri kita dari perkara-perkara yang tidak baik, bebaskan diri kita dari lisan-lisan yang mengutuk dan mencerca, maki hamun atau fitnah. Kita tidak mahu ini semua.
Kita mahu di dalam kempen ini kita menjaga lisan kita, kita sesuaikan tindakan kita dengan tuntutan agama. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Memang kita hendak menang, memang kita akan menjawab tuduhan-tuduhan atau fitnah dari pihak di sebelah sana, tetapi hendaklah dengan cara yang baik, dengan cara ilmiah tanpa ada cerca maki dan tanpa menyakiti mana-mana pihak.
Itu yang kita hendak ketengahkan, kerana kita hendak buktikan bahawa itulah akhlak Islam, itulah tujuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam diutuskan, iaitu untuk memperbetulkan dan bukan menghancurkan orang lain.
Nabi diutuskan untuk membawa petunjuk dan hidayah, bukan membawa permusuhan dan kebencian. Nabi diutuskan untuk menyatu padukan Umat Islam, bukan membawa perpecahan.
Wallahu a’lam.
1 Comments
kami semua paham dr ufb, tapi jgn lah tampil dgn sikap "terlalu sayang " kat lawan... come on la brader dr UFB !!! bersederhana la dgn mereka . ingat diorg tak balun ke masa kempen nanti, u jer yg amalkan politik kasih syg, diorg politik tikam, maki dan serang we'll see....
ReplyDeleteبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.