BAGAIMANA NABI KITA BERBUKA PUASA?

Oleh : 'ALLAMAH IBN AL-QAYYIM AL-JAUZIYYAH
Terjemahan : MUHAMMAD ASRIE B. SOBRI

Fasal: Pada Menyatakan Petunjuk Baginda s.a.w Dalam Berbuka Puasa

Adalah Baginda s.a.w menggalakkan supaya berbuka puasa dengan Tamar, jika tidak ada maka hendaklah dengan air, ini adalah termasuk kesempurnaan keprihatinan baginda kepada umat baginda dan nasihat baginda untuk mereka, ini kerana memberikan tabiat (tubuh badan) sesuatu yang manis dalam keadaan perut kosong lebih diterima (oleh sistem badan) dan memberi manfaat kepada kekuatan tubuh terutama sekali kekuatan penglihatan dan adalah halwa Madinah daripada Tamar demikian juga jem mereka (ketika itu), demikian juga tamar adalah makanan asasi mereka, pencicih roti mereka, dan rutob (kurma segar yg belum masak sepenuhnya) pula adalah buah-buahan mereka (yang utama).

Adapun air, ini kerana hati sewaktu berpuasa menjadi agak kering, jika ia dibasahkan dengan air maka akan sempurnalah pengambilan makanan yang akan diterimanya selepas itu.

Oleh itu, yang utama bagi mereka yang sedang kelaparan dan kedahagaan untuk memulakan dengan meminum sedikit air kemudian barulah makan, bersamaan ini juga terdapat khasiat-khasiat tersendiri pada Tamar dan air yang memberi faedah untuk kebaikan jantung yang tidak diketahui melainkan para doktor jantung.

Demikian juga baginda Nabi s.a.w berbuka sebelum bersolat dan baginda berbuka dengan beberapa biji rutab jika ada, jika tidak ada maka dengan tamar, jika tidak ada juga maka dengan beberapa teguk air.

Disebutkan juga bahawa baginda Nabi s.a.w membaca ketika berbuka puasa:

اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت، اللهم تقبل مني إنك أنت السميع العليم

Maksudnya: "Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka, Ya ALLAH terimalah daripada aku, sesungguhnya Engkau maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Tetapi doa ini tidak tsabit (tidak sahih).

Juga diriwayatkan bahawa baginda mengucapkan:

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

Maksudnya: "Ya ALLAH, aku berpuasa kerana-Mu, atas rezeki dari Kamu jua aku berbuka".
Ia diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Muaz bin Zuhrah bahawa dia menyampaikan bahawa Nabi s.a.w membacanya.

Diriwayatkan juga bahawa baginda s.a.w membaca:

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

Maksudnya: "Telah hilanglah kedahagaan, telah basah pula kerongkong, dan telah tsabit pula pahala insya-ALLAH".

Abu Daud menyatakannya daripada hadis al-Husein bin Waqid daripada Marwan bin Salim al-Muqaffa' daripada Ibn Umar r.huma.

Diriwayatkan juga bahawa baginda s.a.w bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً مَا تُرَدُّ

Maksudnya: "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika waktu berbukanya mempunyai satu doa yang tidak akan ditolak"

Meriwayatkannya Ibn Majah.

Telah sahih juga bahawa baginda bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَاهُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَاهُنَا، فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: "Jika telah masuk malam dari sini (timur) dan telah berlalu siang dari sini (Barat) maka telah berbukalah orang-orang yang puasa".

Hadis ini ditafsirkan dengan maksud orang-orang berpuasa itu telah berbuka secara hukum walaupun mereka tidak berniat (membuka puasa) dan ditafsirkan juga dengan maksud telah masuk waktu berbuka puasa baginya sebagaimana dikatakan (dalam bahasa arab): أَصْبَحَ وَأَمْسَى  (telah berpagi-pagi jika masuk waktu pagi, dan berpetang-petang jika masuk waktu petang).

Baginda juga melarang orang yang berpuasa daripada berkata dengan perkataan yang kotor, bertekak, mencela, dan menjawab balas celaan serta memerintahkan untuk dia berkata kepada orang yang mencelanya dengan berkata: "Aku sesungguhnya sedang berpuasa". 

Dikatakan hendaklah dia berkata (sebegini jika dicela) dengan lidahnya dan ini yang zahir (daripada hadis) dan dikatakan hendaklah dia berkata dalam hatinya untuk mengingatkan dirinya bahawa dia sedang berpuasa dan dikatakan juga dia berkata dengan lidahnya jika dia berpuasa fardu tetapi jika puasa sunat maka dia berkata dalam hatinya kerana ini lebih jauh daripada riya'.

Sumber: Zadul Ma'ad fi Hadyi Khairil 'Ibad, 2/49-50

Post a Comment

0 Comments