PENGUNDI LUAR KUALA BESUT PILIH MANA?

Oleh : Beruang Biru

Secara keseluruhannya DUN Kuala Besut mempunyai seramai 17,679 pengundi dengan 93.33 peratus adalah pengundi biasa sementara 6.67 peratus lagi ialah pengundi awal dan pengundi pos.

Daripada jumlah 17,679 orang itu, dianggarkan lebih 3,000 orang adalah pengundi yang berada di luar kawasan maksudnya tidak berada di Kuala Besut, mungkin ada di sekitar daerah lain di Terengganu atau pun di negeri-negeri lain.

Dikira dari jumlah peratusan, angka 17% dari keseluruhan pengundi mungkin dilihat kecil tapi dalam konteks PRK DUN Kuala Besut ia memainkan peranan penting dan amat signifikan yang boleh menentukan siapa pemenangnya.

Pada PRU-13 yang lalu dianggarkan hampir 2,000 orang pengundi luar ini telah balik untuk menunaikan tanggungjawab memilih calon mereka dan mengikut kajian kasar kira-kira 1,600 orang daripadanya dipercayai telah mengundi BN.

Jika angka di atas betul bermakna sebahagian besar majoriti kemenangan BN yang berjumlah 2,434 dulu turut disumbangkan oleh pengundi luar dan salah satu faktor kekalahan PAS juga disebabkan golongan tersebut.

Di Kelantan, faktor pengundi luar jugalah yang menyebabkan BN gagal menawan kembali negeri itu meskipun anggaran pengundi luar yang menyokong BN menunjukkan peningkatan.

Menyedari hakikat itulah maka Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Kuala Besut iaitu Datuk Seri Idris Jusoh telah menyatakan komitmennya untuk mengesan seterusnya membawa balik golongan ini supaya mengundi BN kelak.

Untuk BN mencapai kemenangan yang memberangsangkan amat penting diusahakan segala cara yang ada untuk memastikan seramai mungkin pengundi luar pulang malah diharapkan biarlah melebihi angka 2,000 orang.

Bagaimana pun disebalik usaha dan harapan itu, ada halangannya seperti segelintir daripada mereka mungkin menghadapi masalah mendapatkan cuti kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja iaitu Rabu, 24 Julai 2013.

Apa pun dilihat pada latar belakang Datu Seri Idris Jusoh yang sememangnya terkenal sebagai pakar strategik termasuklah pernah membantu BN Kelantan merampas kembali DUN Galas pada 2010, penulis percaya jika kena gayanya tiada masalah yang tidak dapat diatasi.

Post a Comment

0 Comments