KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika mengurniakan Titah Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
(Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)
Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 8 Ogos 2013 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, nikmat di dunia akan hilang, berbanding nikmat di akhirat kekal abadi.
Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ia bukan boleh dicapai dengan berpeluk tubuh atau memadai dengan menggantungkan cita-cita setinggi langit.
Kebawah DYMM menekankan perkara itu dalam Titah Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1434 Hijriah/2013 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Terdahulu baginda bertitah menjelaskan, namun untuk memperolehi nikmat yang kekal itu, memerlukan adanya usaha dan pengorbanan.
Tambah titah baginda, adapun nikmat yang dijanjikan oleh Allah itu hanyalah tertentu kepada mereka yang beramal soleh sahaja.
Jadi, titah baginda, ternyata amal soleh itu, di sini adalah prasyarat untuk memperolehi rahmat dan nikmat Allah.
Jika kita melakukannya, menurut titah baginda, faedahnya bukan sahaja bagi diri sendiri, malahan juga menyeluruh untuk masyarakat dan negara.
Baginda menegaskan, tidakkah kalau amal soleh itu dilakukan oleh semua orang, nescaya masyarakat dan negara pasti akan aman dan sejahtera.
“Mengapa beta katakan demikian? Kerana bukankah amal soleh itu bermakna segala pekerjaan yang baik dan berkebajikan belaka? Jika betul ia berlaku di dalam sesebuah negara, maka sudah barang tentu negara tersebut akan bebas dan bersih daripada segala gejala buruk,” tegas titah baginda.
Menurut titah baginda, negara yang berpaksikan amal soleh, tidak syak lagi, tidak akan wujud di dalamnya orang minum arak, orang mencuri, orang melakukan rasuah, orang menghisap dadah, orang berjudi dan seumpamanya.
Dan apabila tidak ada semua itu, jelas titah baginda, bukankah negara dan masyarakat yang seperti itu adalah negara dan masyarakat yang sihat lagi sejahtera.
Kerana itulah baginda amat mengesali, apabila mendengar dan membaca berita-berita yang tidak bagus, seperti orang tertangkap kerana berjudi, dan perkara itu pula telah berlaku di dalam bulan Ramadan.
“Ingat, maksiat yang dilakukan oleh orang Islam dalam bulan Ramadan, adalah itu bererti menghinakan bulan yang mulia ini, dan sama juga menghinakan Islam sendiri, kerana bukankah syara’ telah menuntut supaya Ramadan itu dibesarkan dengan ibadat-ibadat kepada Allah: Dengan berpuasa membaca Al-Qur’an, bertarawih dan lain-lain,” tegas titah baginda.
“Justeru itu, marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat ini, dan berazam untuk memeliharanya terus-menerus, dengan sepenuh jiwa dan raga kita,” titah baginda.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.