IBADAH SUNNAH DALAM BULAN SYA'ABAN

Oleh : Abu Umar Wira Bachrun Al Bankawi
Alih bahasa ke Bahasa Melayu Malaysia : Jebat

Prakata

Sejak akhir-akhir ini, PenaMinang.com menerima mesej-mesej yang memperkatakan soal Nisfu Sya'ban. Namun kali ini, dengan tema 'World Cup' pula menjadi sandaran bagi menarik minat umat Islam agar beribadah pada malam Nisfu Sya'ban. Namun adakah 'arah' yang ditarik mereka itu sebenar-benarnya arah menuju ke Sunnah Rasulullah Sallahualaihi Wassalam? Diharapkan artikel dibawah ini akan mampu memberikan gambaran jelas disebalik 'Nisfu Sya'ban' ini.

Pendahuluan

Sebentar lagi kita akan meninggalkan bulan Rejab dan masuk ke bulan Sya’ban. Tulisan ringkas ini akan membahaskan beberapa perkara penting yang berkaitan dengan bulan ini, mulai dari sebab penamaan bulan Sya’ban sampai perbahasan sunnah dan bid’ah yang berkaitan dengan bulan ini.

Alasan kenapa Bulan Sya’ban dinamakan Sya’ban

Al Imam Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan dalam tafsir beliau (4/1655), “As Sakhawi rahimahullah mengatakan bahawa Sya’ban (dalam bahasa Arab ertinya berpecah atau bercabang) berasal dari berbahagi atau berpisahnya para kabilah Arab untuk berperang. Mereka lalu berkumpul pada dua atau lebih regu pasukan.”

Al Hafizh Ibnu Hajar menyebutkan di dalam Fathul Bari (5/743),

“Bulan Sya’ban disebut sya’ban kerana pada bulan tersebut para kabilah Arab saling berpecah untuk mencari air atau untuk melakukan penyerbuan kepada kabilah yang lain setelah mereka keluar dari bulan Rajab (yang diharamkan untuk berperang di dalamnya). Dan yang tujuan untuk berperang inilah yang lebih mendekati kebenaran dari tujuan yang pertama (untuk mencari air). “[1]

Sya’ban adalah Gerbang Ramadhan

Bulan Ramadhan adalah bulan penuh keampunan dari Allah ta’ala. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” (Muttafaqun ‘alaihi dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Untuk mencapai keampunan yang Allah janjikan, maka kita perlu bersungguh-sungguh, membuat persiapan dan latihan terlebih dahulu di bulan Sya’ban. Oleh kerana itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam banyak melakukan ibadah puasa di bulan Sya’ban sebagai persiapan untuk memasuki Ramadhan.

Dari ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha, beliau berkata,


لَمْ يكن النبي – صلى الله عليه وسلم – يَصُومُ مِنْ شَهْرٍ أكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ ، فَإنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah berpuasa dalam suatu bulan lebih banyak daripada bulan Sya’ban. Dahulu baginda berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” (Muttafaq ‘alaihi)

Tanpa persiapan yang matang sebelumnya, seseorang boleh jadi akan melewatkan bulan Ramadhan sebagaimana bulan-bulan lainnya, tidak diampuni dosanya wal ‘iyadzu billah. [2]

Sunnah-sunnah di Bulan Sya’ban

Ada beberapa sunnah di bulan Sya’ban yang boleh diperhatikan:

1. Memperbanyakkan Puasa di Bulan Sya’ban

Sebagaimana hadis ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha, beliau berkata,


لَمْ يكن النبي – صلى الله عليه وسلم – يَصُومُ مِنْ شَهْرٍ أكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ ، فَإنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah berpuasa dalam suatu bulan lebih banyak daripada bulan Sya’ban. Dahulu beliau berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya.” (Muttafaq ‘alaihi)

Maksud ucapan Aisyah radhiyallahu ‘anha “… berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya” adalah baginda berpuasa pada kebanyakkan (majoriti) hari pada bulan Sya’ban, bukan pada keseluruhan harinya, kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam tidaklah pernah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. [3]

Oleh kerana itu sudah pastinya bagi seorang muslim untuk memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban ini dan melebihi daripada puasa-puasa di bulan lainnya. Para ulama menjelaskan bahawa hikmah dari puasa Sya’ban ini adalah agar seseorang terbiasa dengan bulan Ramadhan seperti solat rawatib dan solat wajib (maksudnya agar dia menjadikan puasa di bulan Sya’ban ini sebagai ibadah tambahan sebelum dia masuk ke dalam puasa Ramadhan) [4]

2. Menghitung Hari Bulan Sya’ban

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ، وَأفْطِرُوا لِرُؤيَتِهِ، فَإنْ غَبِيَ عَلَيْكُمْ ، فَأكمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

“Berpuasalah kalian ketika melihat hilal dan berbukalah ketika melihatnya. Apabila hilal tersebut tertutup atas kalian, maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban menjadi tigapuluh hari.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Sudah sepatutnya kaum muslimin menghitung bulan Sya’ban sebagai persiapan sebelum memasuki Ramadhan. Kerana satu bulan itu terkadang (29) dua puluh sembilan hari dan kadangkala (30) tiga puluh hari, maka puasa itu dimulai ketika melihat hilal bulan Ramadhan. Jika terhalang awan hendaklah disempurnakan bulan Sya’ban menjadi tiga puluh hari. Kerana Allah menciptakan langit-langit dan bumi serta menjadikan tempat-tempat tertentu agar manusia mengetahui jumlah tahun dan hisab. Satu bulan tidak akan lebih dari tiga puluh hari. [5]

3. Tidak Mendahului Ramadhan dengan Puasa Satu atau Dua Hari Sebelumnya

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


لاَ يَتَقَدَّمَنَّ أَحَدُكُم رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ ، إِلاَّ أنْ يَكُونَ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَومَهُ ، فَليَصُمْ ذَلِكَ اليَوْمَ

“Janganlah salah seorang di antara kalian mendahului Ramadhan dengan melakukan puasa satu atau dua hari sebelumnya kecuali seseorang yang telah menjadi rutin berpuasa maka hendaknya dia tetap berpuasa pada hari tersebut.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorang untuk mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya. Kecuali apa yang sudah menjadi rutin harian seseorang. Misalnya seseorang yang sudah terbiasa berpuasa di hari Isnin, ketika puasanya menghampiri dengan satu atau dua hari sebelum Ramadhan maka tidak mengapa baginya untuk berpuasa. [6]

4. Tidak Berpuasa pada Hari yang Diragukan

Dari ‘Ammar bin Yasir radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


مَنْ صَامَ اليَوْمَ الَّذِي يُشَكُّ فِيهِ ، فَقَدْ عَصَى أَبَا القَاسِمِ – صلى الله عليه وسلم -

“Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang diragukan, maka sesungguhnya dia telah bermaksiat kepada Abul Qosim (iaitu Rasulullah) sallallahu ‘alaihi wasallam.” (HR. Abu Daud dan At Tirmidzi, dan At Tirmidzi mengatakan, “Hadis hasan sahih.” Disahihkan oleh Al Albani di dalam Sahih Abi Dawud no. 2022)

Yaumus syak (hari yang diragukan) adalah hari ke tiga puluh dari bulan Sya’ban apabila hilal tertutup, mendung atau kerana langit berawan pada malam sebelumnya. Para ulama berbeza pendapat tentang larangan ini, apakah sifatnya pengharaman atau makruh. Dan yang kuat dari pendapat para ulama adalah pengharamannya. [7]

Faedah :

Di dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


إِذَا بَقِيَ نِصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ تَصُوْمُوْا

“Ketika masih tersisa separuh dari bulan Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa.” (HR. At Tirmidzi, beliau berkata “Hasan sahih.”)

Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin mengatakan [8],

“Meskipun At Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini adalah hasan sahih, akan tetapi hadis ini adalah hadis yang lemah. Al Imam Ahmad mengatakan bahwa hadis ini syadz[9]. Hadis ini menyelisihi riwayat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu di mana Nabi bersabda,

“Janganlah salah seorang di antara kalian mendahului Ramadhan dengan melakukan puasa satu atau dua hari sebelumnya.”

Difahami dari sini bahawa boleh berpuasa pada tiga hari sebelum Ramadhan, atau empat hari, atau bahkan sepuluh hari sebelumnya.

Kalau  pun hadisnya sahih, maka larangan di sini bukanlah bersifat pengharaman, hanya saja ianya dimakruhkan sebagaimana pendapat sebagian ulama. Kecuali apabila dia sudah memiliki rutin berpuasa, maka hendaklah dia tetap pada rutinnya itu, meskipun pada separuh kedua bulan Sya’ban. 

Dalam hal ini, puasa pada keadaan ini terbahagi menjadi tiga :

1. Setelah pertengahan Sya’ban sampai tanggal dua puluh lapan, maka hukumnya makruh kecuali bagi yang sudah mempunyai rutin berpuasa. Akan tetapi pendapat ini dibangun atas anggapan bahawa hadis larangan puasa tersebut sahih. Al Imam Ahmad tidaklah mensahihkan hadis ini, maka dengan demikian tidaklah dimakruhkan sama sekali.

2. Satu atau dua hari sebelum Ramadhan, maka hukumnya haram kecuali bagi yang sudah punya rutin berpuasa sebelumnya.

3. Pada yaumus syak, hari yang diragukan. Maka ini haram secara mutlak. Tidak boleh berpuasa pada hari syak kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah melarangnya.

Bid’ah-bid’ah pada Bulan Sya’ban

Bid’ah secara bahasa ertinya perkara yang baharu dibuat (direka-reka). Adapun secara syar’i, bid’ah ertinya jalan atau metodologi baru dalam agama yang menyerupai syariat yang dimaksudkan dengannya untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah ta’ala. [10]

Bid’ah hukumnya haram. Allah ta’ala berfirman,


أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?” (Asy Syura: 21)

Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيهِ أمرُنا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa yang beramal dengan sebuah amalan yang bukan dari ajaran kami maka amalan itu akan tertolak.” (Muttafaqun ‘alaih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha)

Baginda juga bersabda,


وَشّرُّ الْأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلًّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِيْ النَّارِ

“Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang baru (dalam agama). Semua perkara yang baru dalam agama adalah bid’ah, dan semua bid’ah adalah kesesatan, dan semua kesesatan tempatnya di neraka.” (HR. An Nasa’i, Ibnu Majah dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhuma. Disahihkan oleh Al Albani dalam Al Irwa’ No. 608)

Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu berkata,


كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَ إِنْ رَآهاَ النَّاسُ حَسَنَةً

“Setiap bid’ah adalah sesat, meskipun oleh manusia hal itu dianggap sebuah kebaikan.”

Dan di antara bid’ah yang tersebar di kalangan manusia pada bulan Sya’ban adalah :

1. Peringatan Malam Nisfu Sya’ban

Asy Syaikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah, Mufti Kerajaan Arab Saudi mengatakan,

“Di antara bid’ah yang biasa dilakukan oleh kebanyakkan orang ialah bid’ah upacara memperingati malam Nisfu Sya’ban dan mengkhususkan pada hari tersebut dengan puasa tertentu. Padahal tidak ada satu pun dalil yang dapat dijadikan sandaran. Memang ada hadis-hadis tentang keutamaan malam tersebut, akan tetapi hadis-hadis tersebut adalah hadis yang lemah sehingga tidak dapat dijadikan landasan. Adapun hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan solat pada hari itu adalah hadis yang palsu.

Dalam hal ini, banyak di antara para ulama yang menyebutkan tentang lemahnya hadis-hadis yang berkenaan dengan pengkhususan puasa dan keutamaan solat pada hari Nisfu Sya’ban.

Al Hafiz Ibnu Rajab dalam kitab beliau Lathaiful Ma’arif mengatakan bahawa sambutan malam Nisfu Sya’ban adalah bid’ah dan hadis-hadis yang menerangkan keutamaannya lemah. Hadis-hadis lemah boleh diamalkan dalam ibadah jika asalnya didukung oleh hadis-hadis sahih, sedangkan upacara malam Nisfu Sya’ban tidak ada dasar hadis yang sahih sehinggakan tidak boleh didukung dengan dalil hadis-hadis dhaif.”[11]

2. Ziarah Kubur

Ziarah kubur pada asalnya adalah perkara yang disyariatkan. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِ فَزُوْرُوْهَا, فَإِنَّ فِيْهَا عِبْرَةً, وَلاَ تَقُوْلُوا مَا يُسْخِطُ الرَّبُّ

“Sesungguhnya dulu aku melarang kalian dari menziarahi kubur. Maka sekarang ziarahilah kubur, kerana dalam ziarah kubur ada pelajaran. Namun jangan kalian mengeluarkan ucapan yang membuat Rabbmu murka.” (HR. Ahmad dan yang selainnya dari Ali radhiyallahu ‘anhu. Disahihkan oleh Asy Syaikh Al Albani dalam Silsilah Ash Shahihah no. 886)

Baginda juga bersabda,


فَزُوْرُوْا الْقُبُوْرَ, فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

“Ziarahilah kubur kerana sesungguhnya ziarah kubur itu mengingatkan kepada kematian.” (HR. Muslim dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Al Imam Ash Shan’ani mengatakan,

“Hadis-hadis ini menunjukkan disyariatkannya ziarah kubur, menerangkan hikmahnya, dan dilakukannya dalam rangka mengambil pelajaran. Maka bila dalam ziarah kubur tidak tercapai hal ini bererti ziarah itu bukanlah ziarah yang diinginkan secara syar’i.” [12]

Akan tetapi, mengkhususkan ziarah kubur pada bulan Sya’ban, atau menjelang Ramadhan adalah perkara yang tidak pernah dituntutkan di dalam syariat.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan,

“Bahkan di sebahagian kuburan, orang-orang berkumpul di sekitarnya pada hari tertentu dalam setahun, mereka melakukan perjalanan jauh ke kuburan tersebut baik pada bulan Muharram, Rajab, Sya’ban, Dzulhijjah atau di bulan selainnya. Sebahagian mereka berkumpul pada hari ‘Asyura  (10 Muharram), sebahagiannya lagi pada hari Arafah, yang lainnya pada hari Nisfu Sya’ban dan sebahagian lagi di waktu yang berbeza. Mereka mengkhususkan hari tertentu dalam setahun untuk mengunjungi kuburan tersebut.” [13]

Perkara ini dilarang kerana tidak ada tuntunannya di dalam agama. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيهِ أمرُنا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa yang beramal dengan sebuah amalan yang bukan dari ajaran kami maka amalan itu akan tertolak.” (Muttafaqun ‘alaih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha)

Selain itu baginda juga melarang untuk melakukan safar untuk berziarah kecuali ke tiga masjid. Dari Abu Said Al Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,


لاَ تَشُدُّوا الرِّحاَلَ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَساَجِدَ. مَسْجِدِي هَذاَ وَالْمَسْجِدِ الْحَراَمِ وَالْمَسْجِدِ اْلأَقْصَى

“Janganlah kalian bepergian / bermusafir (mengadakan safar dengan tujuan ibadah) kecuali kepada tiga masjid: Masjidku ini, Masjid Al Haram, dan Masjid Al Aqsha.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Larangan ini semakin keras apabila ziarah tersebut diiringi dengan tawasul atau berdoa meminta kepada kuburan yang diziarahi. Allah berfirman,


وَأَنَّ الْمَساَجِدَ ِللهِ فَلاَ تَدْعُوا مَعَ اللهِ أَحَدا

“Dan bahawa masjid-masjid itu milik Allah maka janganlah kalian berdoa kepada seorangpun bersama Allah.” (Al Jin: 18)

Apabila seseorang berdoa kepada selain Allah, maka sesungguhnya dia telah terjatuh ke dalam perbuatan syirik yang tidak diampuni oleh Allah subhanahu wata’ala. Allah berfirman,


إِنَّ اللهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ ماَ دُوْنَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشآءُ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya.” (An Nisa: 48)

3. Solat Alfiyah

Di dalam kitab beliau Al Bida’ Al Hauliyyah, ketika menyebutkan tentang bid’ahnya solat Alfiyah di Bulan Sya’ban, Asy Syaikh Abdullah At Tuwaijiri mengatakan,

“Solat bid’ah ini dinamakan Solat Alfiyah kerana di dalamnya dibacakan surat Al Ikhlas sebanyak seribu kali. Jumlah raka’atnya seratus, dan pada setiap rakaat dibacakan surat Al Ikhlas sepuluh kali. Tata cara solat ini dan pahala amalannya telah diriwayatkan dari banyak jalan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnul jauzi dalam kitab beliau Al Maudhu’at (kumpulan hadis-hadis palsu). Beliau berkata, “Kami tidaklah ragu lagi kalau hadis ini benar-benar palsu. Kebanyakan perawi hadis ini dalam tiga jalannya adalah para majahil (tidak diketahui ketsiqahan/kebenaran riwayatnya), dan di dalamnya terdapat perawi yang sangat lemah, sehingga hadisnya tidaklah dianggap hadis sama sekali.” [14]

4. Mandi Malam Bulan Sya'ban

Acara mandi bersama yang dilakukan pada akhir bulan Sya’ban, menjelang masuknya bulan Ramadhan. Biasanya orang-orang berkumpul di sungai, danau, air terjun atau kolam, lalu mandi bersama dengan keyakinan perkara tersebut akan membersihkan dosa-dosa mereka sebelum mereka masuk ke dalam bulan Ramadhan.

Di sebagian tempat, acara mandi-mandi ini dilakukan dengan menurunkan air dari dalam bejana yang telah dicampur dengan berbagai bunga dan limau.

Acara seperti ini memiliki kemungkaran dari berbagai sisi :

a. Merupakan bid’ah yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan tidak pernah pula dikerjakan oleh generasi awal Islam, dan telah berlalu penjelasan tentang keharamannya.

b. Di dalamnya terdapat keyakinan yang rosak bahawa dengan acara mandi-mandi tersebut akan membersihkan dosa-dosa. Ini adalah keyakinan yang keliru kerana sesungguhnya dosa-dosa tidaklah akan terhapus dengan acara mandi seperti itu. Dosa-dosa akan terhapus dengan taubat, meminta keampunan dari Allah serta memperbanyak amalan salih.

Allah ta’ala berfirman,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Rabb kalian akan menghapus kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (At Tahrim: 8)


وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ وَيَعْمَلْ صَالِحًا يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ

“Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan mengerjakan amal soleh niscaya Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (At Taghabun: 9)

c. Di dalam acara semacam ini juga terjadi ikhtilath, campur baur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dengan tujuan yang buruk, maka ini tidak diragukan lagi keharamannya. [15]

5. Kenduri Arwah

Di beberapa tempat di Nusantara , sering diadakan kenduri arwah. Kenduri arwah adalah acara kenduri (makan-makan) yang tujuannya dapat mengumpulkan orang ramai untuk membacakan tahlil dan surah Yasin bagi dihadiahkan kepada arwah orang tua atau sahabat karib dan kerabat kerabat yang telah meninggal dunia. Acara ini juga termasuk bid’ah yang tidak pernah dicontohi oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kemungkaran di dalam acara ini juga bertambah apabila diiringi dengan khurafat, keyakinan yang batil bahawa arwah orang yang telah meninggal akan ikut hadir untuk mengunjungi saudara-saudaranya yang masih hidup. Wallahul musta’an.

Peringatan :

Selain perkara yang disebutkan di atas, masih ada tradisi yang seharusnya ditinggalkan. Tradisi tersebut adalah bermaaf-maafan sebelum memasuki bulan Ramadhan. Kalau memang seseorang itu mempunyai kesalahan terhadap orang tua, saudara mara, kerabat atau teman-temannya, maka hendaklah dia segera meminta maaf. Tidak perlu mengkhususkan sebelum masuk bulan puasa kerana yang demikian itu menyelisihi sunnah.[16]

Bagi yang mendukung kegiatan saling memaafkan sebelum Ramadhan ini, sebagian orang membawakan hadis yang bunyinya,

“Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); Tidak berma’afan terlebih dahulu antara suami isteri; Tidak berma’afan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Dan barang siapa yang menyambut bulan Ramadhan dengan suka cita , maka diharamkan kulitnya tersentuh api neraka.”

Hadis ini tidaklah diketahui dari mana asalnya (wallahu a’lam), siapa sahabat perawinya, diriwayatkan di kitab apa, bagaimana keadaan sanadnya.

Apabila hadis ini direka-reka oleh orang tertentu, kemudian disandarkan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, maka ditakuti dia akan terjatuh ke dalam sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,


مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Barangsiapa yang dengan sengaja berdusta atas kami, maka hendaknya dia mengambil tempat duduknya dari api neraka.” (Muttafaqun ‘alaih dari hadits Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Adapun hadis yang mirip dengan hadis tersebut, lafazhnya adalah sebagai berikut,


أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَر فَقَال: “آمين، آمين، آمين” قِيْلَ لَهُ : يَا رَسَوْلَ اللهِ! مَا كُنْتَ تَصْنَعْ هَذَا؟ فَقَالَ: ” قَالَ لِيْ جِبْرِيْلُ : رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ أَدْرَكَ أَبَوْيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا لَمْ يُدْخِلْهُ الْجَنَّةَ. قُلْتُ: آمين. ثم قال: رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ لَمْ يَغْفِرْ لَهُ. فقُلْتُ : آمين. ثُمَّ قَالَ : رَغِمَ أَنْفُ امرئ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ، فقُلْتُ: آمين “.

Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.
Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, kenapa engkau mengatakan perkara tersebut?” Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jibril berkata kepadaku, ‘Celaka seorang hamba yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup akan tetapi tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ Maka kukatakan, ‘Amin.’” Kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seorang hamba yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’ Maka aku katakan, ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata, ‘Wahai Muhammad, celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah amin!’  Maka kukatakan, ‘Amin.’” (HR. Al Bukhari dalam Adabul Mufrad, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Asy Syaikh Al Albani mengatakan bahawa haditsnya hasan sahih).

Penutup

Demikianlah sedikit permbahasan yang berkaitan dengan bulan Sya’ban. Semoga Allah menjadikan tulisan ini sebagai amalan salih bagi penulis dan boleh memberikan manfaat bagi kaum muslimin. Wallahu ta’ala a’lam, semoga selawat dan salam tercurah pada junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

(Ditulis pada hari Rabu tanggal 23 Rajab 1433 H – bertepatan dengan 13 Jun 2012 di Darul hadis Syihir, Hadramaut. Yaman. Semoga Allah senantiasa menjaga dan mengukuhkannya)

Nota kaki :

[1] Sya’ban Fadhail wa Ahkam, Abu Nafi’ Salim Al Kilali, hal. 1
[2] Faidah dari Muhadharah bertema Hal Al Muslim fi Sya’ban (Rajab 1432 H), Abu Hasyim Asy Syihri
[3] Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqalani (4/214)
[4] Syarh Riyadhis Shalihin, Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin (3/408)
[5] Shifat Shaumin Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Asy Syaikh Salim Al Hilali dan Asy Syaikh Ali Hasan Al Halabi, hal. 27
[6] Syarh Riyadhis Shalihin, Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin (3/393)
[7] Idem (3/394).
[8] Idem (3/394-395).
[9] Hadis syadz adalah hadis yang diriwayatkan oleh rawi yang tsiqah, akan tetapi menyelisihi rawi lain yang lebih tsiqah atau menyelisihi sekelompok rawi yang lebih banyak jumlahnya.
[10] Al I’tisham, Al Imam Asy Syatibi (1/26)
[11] At Tahdzir minal Bida’, Asy Syaikh Abdul Aziz bin Baaz hal. 20
[12] Subulus Salam, Al Imam Ash Shan’ani (2/114).
[13] Iqtidha’ Sirathil Mustaqim, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah, hal. 257.
[14] Al Bida’ Al Hauliyyah, Asy Syaikh Abdullah At Tuwaijiri, hal 291.
[15] At Tahdzir minal Ikhtilath, Syaikhuna Abdullah bin Al Mar’ie bin Buraik, hal 3.
[16] Demikian penjelasan dari guru kami Asy Syaikh Abdullah bin Umar Al Mar’ie ketika ditanya hukum bermaaf-maafan sebelum masuk Ramadhan. Beliau menjawab, “Apabila seseorang memang memiliki kesalahan maka hendaknya dia segera meminta maaf. Namun mengkhususkannya pada waktu sebelum masuk Ramadhan maka ini khilafus sunnah, menyelisihi sunnah.” Wallahu ‘alam

Artikel asal boleh diperolehi dari : http://www.darussalaf.or.id/aqidah/bulan-syaban-antara-sunnah-dan-bidah/

Post a Comment

0 Comments