Alih bahasa ke Bahasa Melayu Malaysia oleh : Jebat
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kepada Nabi kita Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam, keluarga dan sahabatnya.
Di sebahagian kalangan masyarakat masih tersebar ritual-ritual pada malam Nisfu Sya’ban dengan segala macam ritual solat atau berdoa secara berjama’ah. Sebenarnya amalan ini muncul kerana dorongan yang terdapat dalam pelbagai hadis yang menceritakan tentang keutamaan malam tersebut. Lalu bagaimanakah darjat hadis yang dimaksud? Benarkah ada amalan tertentu ketika itu? Semoga tulisan kali ini mampu memberikan jawapannya.
Meninjau Hadis Keutamaan Malam Nisfu Sya’ban
Penulis Tuhfatul Ahwadzi (Abul ‘Alaa Al Mubarokfuri) telah menyebutkan satu per satu hadis yang membicarakan keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Awalnya beliau berkata, “Ketahuilah bahawa telah terdapat beberapa hadis mengenai keutamaan malam Nisfu Sya’ban, keseluruhannya menunjukkan bahawa hadis tersebut tidak ada asalnya (landasannya).” Lalu beliau memperincikan satu per satu hadis yang dimaksud.
Pertama: Hadis Abu Musa Al Asy’ari, dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِى لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Kedua: Hadis ‘Aisyah, dia berkata,
قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ اللَّيْلِ فَصَلَّى فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى ظَنَنْت أَنَّهُ قَدْ قُبِضَ ، فَلَمَّا رَأَيْت ذَلِكَ قُمْت حَتَّى حَرَّكْت إِبْهَامَهُ فَتَحَرَّكَ فَرَجَعَ ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ السُّجُودِ وَفَرَغَ مِنْ صَلَاتِهِ قَالَ : ” يَا عَائِشَةُ أَوْ يَا حُمَيْرَاءُ أَظَنَنْت أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ خَاسَ بِك ؟ ” قُلْت : لَا وَاَللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَكِنِّي ظَنَنْت أَنْ قُبِضْت طُولَ سُجُودِك ، قَالَ ” أَتَدْرِي أَيَّ لَيْلَةٍ هَذِهِ ؟ ” قُلْت : اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ، قَالَ : ” هَذِهِ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَطَّلِعُ عَلَى عِبَادِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِلْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَرْحَمُ الْمُسْتَرْحِمِينَ وَيُؤَخِّرُ أَهْلَ الْحِقْدِ كَمَا هُمْ
Ketiga: Hadis dari Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda,
يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Keempat: Hadis ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِعِبَادِهِ إِلَّا اِثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ وَقَاتِلِ نَفْسٍ
Kelima: Hadis Makhul dari Katsir bin Murroh, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, baginda bersabda di malam Nisfu Sya’ban,
يَغْفِرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لِأَهْلِ الْأَرْضِ إِلَّا مُشْرِكٌ أَوْ مُشَاحِنٌ
يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى عِبَادِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْهِلُ الْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ
Keenam: Hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَّا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ
Penulis Tuhfatul Ahwadzi setelah meninjau riwayat-riwayat di atas, beliau mengatakan, “Hadis-hadis ini dilihat dari banyak jalannya boleh dijadikan sebagai hujjah bagi orang yang mendakwa bahawa tidak ada satu pun hadis sahih yang menerangkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Wallahu Ta’ala a’lam.”[1]
Keterangan Ulama Mengenai Kelemahan Hadis Keutamaan Malam Nisfu Sya’ban
Ibnu Rajab di beberapa tempat dalam kitabnya Lathoif Al Ma’arif memberikan tanggapan tentang hadis-hadis yang membicarakan keutamaan malam Nishu Sya’ban.
Pertama: Mengenai hadis ‘Ali tentang keutamaan solat dan puasa Nisfu Sya’ban, Ibnu Rajab mengatakan bahawa hadis tersebut dho’if.[2]
Kedua: Ibnu Rajab rahimahullah mengatakan, “Hadis yang menjelaskan keutamaan malam Nisfu Sya’ban ada beberapa. Para ulama berselisih pendapat mengenai statusnya. Kebanyakan ulama mendhoifkan hadis-hadis tersebut. Ibnu Hibban mensahihkan sebahagian hadis tersebut dan beliau masukkan dalam kitab sahihnya.”[3] [Tanggapan kami, “Ibnu Hibban adalah di antara ulama yang dikenal mutasahil, iaitu orang yang mudah dalam mensahihkan hadis. Sehingga pensahihan dari sisi Ibnu Hibban perlu disemak kembali.”]
Ketiga: Mengenai menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan solat malam, Ibnu Rajab rahimahullah mengatakan, “Mengenai solat malam di malam Nisfu Sya’ban, maka tidak ada satu pun dalil dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan juga para sahabatnya. Namun terdapat riwayat dari sekelompok tabi’in (para ulama negeri Syam) yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan solat.”[4]
Ada tanggapan yang terbaik pula dari ulama kontemporari ketika ini, iaitu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah bin Baz, ulama yang pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Lajnah Ad Da’imah (Lembaga fatwa di Arab Saudi). Beliau rahimahullah mengatakan, “Hadis yang menerangkan keutamaan malam nisfu Sya’ban adalah hadis-hadis yang lemah yang tidak boleh dijadikan sandaran. Adapun hadis yang menerangkan mengenai keutamaan solat pada malam nisfu sya’ban, semuanya adalah berdasarkan hadis palsu (maudhu’). Sebagaimana hal ini dijelaskan oleh kebanyakan ulama.”[5]
Syaikh Ibn Baz menjelaskan lagi, “Hadis dhoif barulah boleh diamalkan dalam masalah ibadah, jika memang terdapat penguat atau pendukung dari hadis yang sahih. Adapun untuk hadis tentang menghidupkan malam nisfu sya’ban, tidak ada satu dalil sahih pun yang boleh dijadikan penguat untuk hadis yang lemah tadi.”[6]
Memang benar sebahagian ulama ada yang mensahihkan sebahagian hadis yang telah dibahas oleh penulis Tuhfatul Ahwadzi. Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rahimahullah mensahihkan hadis Abu Musa Al Asy’ari di atas. Beliau rahimahullah menyatakan bahawa hadis tersebut sahih kerana diriwayatkan dari banyak sahabat dari berbagai jalan yang saling menguatkan, iaitu dari Mu’adz bin Jabal, Abu Tsa’labah Al Khusyani, ‘Abdullah bin ‘Amru, Abu Musa Al Asy’ari, Abu Hurairah, Abu Bakr As Sidiq, ‘Auf bin Malik dan ‘Aisyah. Lalu beliau rahimahullah memperincikan satu per satu dalam periwayatan masing-masing.[7]
Namun sebagaimana dijelaskan oleh Abul ‘Alaa Al Mubarakfuri, hadis Abu Musa Al Asy’ari adalah munqothi’ (terputus sanadnya). Hadis yang semisal itu pula tidak lepas dari kedho’ifan. Sehingga kami lebih cenderung pada pendapat yang dipegang oleh penulis Tuhfatul Ahwadzi tersebut. Ini lebih menenangkan hati kami kerana pendapat ini dipegang oleh kebanyakan ulama. Itulah sebab mengapa beliau, penulis Tuhfatul Ahwadzi memberi kesimpulan terakhir bahawa tidak ada hadis yang sahih yang membicarakan keutamaan bulan Sya’ban. Wallahu a’lam bissawab.
Pendapat Ulama Mengenai Menghidupkan Malam Nisfu Sya’ban
Majoriti fuqoha yang berpendapat dianjurkannya menghidupkan malam nisfu sya’ban adalah berdasarkan penganggan dari hal hadis dho’if yang telah diterangkan di atas, iaitu dari Abu Musa Al Asy’ari, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِى لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلاَّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Dan juga beberapa hadis dho’if lainnya jadi pegangan semacam hadis dari ‘Ali bin Abi Tholib.
Imam Al Ghazali menjelaskan tata cara tertentu dalam menghidupkan malam nisfu sya’ban dengan tata cara yang khusus. Namun ulama Syafi’iyah mengingkari tata cara yang dimaksudkan dengan erti kata lain ulama Syafi’iyah menganggapnya sebagai bid’ah qobihah (bid’ah yang buruk).
Suffiyan Ats Tsauri mengatakan bahawa solat Nisfu Sya’ban adalah bid’ah. yang dibuat-buat, yang qobihah (buruk) dan mungkar.
Majoriti fuqoha memakruhkan amalan menghidupkan malam nisfu Sya’ban secara berjama’ah. Ada berpendapat dengan tegas terutama dari ulama bermazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Dalam hal ini, mereka menganggap menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjama’ah adalah bid’ah. Para ulama yang juga melarang hal ini adalah Atho’ ibnu Abi Robbah, dan Ibnu Abi Malikah.
Adapun Al Auza’i, beliau berpendapat bahawa menghidupkan malam nisfu sya’ban secara berjama’ah dengan solat berjama’ah di masjid adalah suatu yang dimakruhkan. Alasannya, menghidupkan dengan berjama’ah ini tidak dinukil dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan tidak pula dilakukan oleh seorang sahabat nabi sekalipun.
Sedangkan Khalid bin Mi’dan, Luqman bin ‘Amir, Ishaq bin Rohuyah mensunnahkan menghidupkan malam nisfu sya’ban secara berjama’ah.[8]
Apabila kita melihat dari berbagai pendapat di atas, jika ulama tersebut menganggap dianjurkannya menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, maka ada dua cara untuk menghidupkannya.
Pertama, dianjurkan menghidupkan secara berjama’ah di masjid dengan melaksanakan solat, membaca kisah-kisah atau berdo’a. Menghidupkan malam Nisfu Sya’ban semacam ini dilarang menurut majoriti ulama.
Kedua, dianjurkan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, namun tidak secara berjama’ah. Hanya seorang diri. Inilah pendapat salah seorang ulama negeri Syam, iaitu Al Auza’i. Pendapat ini dipilih pula oleh Ibnu Rajab Al Hambali dalam Lathoif Al Ma’arif.[9]
Ibnu Taimiyah ketika ditanya mengenai solat Nisfu Sya’ban, beliau rahimahullah menjawab, “Jika seseorang solat pada malam nisfu sya’ban secara bersendirian atau di jama’ah yang khusus sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian salaf, maka itu suatu hal yang baik. Adapun jika dilakukan dengan berkumpul-kumpul di masjid untuk melakukan solat dengan bilangan tertentu, seperti berkumpul dengan mengerjakan solat 1000 raka’at, dengan membaca surat Al Ikhlas terus menerus sebanyak 1000 kali, ini jelas suatu perkara bid’ah, yang sama sekali tidak dianjurkan oleh para ulama.”[10]
Ibnu Taimiyah juga mengatakan, “Adapun tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban, terdapat beberapa hadis dan atsar, juga ada nukilan dari beberapa ulama salaf bahawa mereka melaksanakan solat pada malam tersebut. Jika seseorang melakukan solat seorang diri ketika itu, maka ini telah ada contohnya di masa lalu dari beberapa ulama salaf. Inilah dijadikan sebagai hujjah sehingga tidak perlu diingkari.”[11]
Setelah menyebutkan perkataan Ibnu Rajab dalam Lathoif Al Ma’arif, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz pun lantas memberikan komentar terhadap pendapat Al Auza’i dan Ibnu Rajab. Beliau As-Syaikh Ibn Baz rahimahullah mengatakan, “Dalam perkataan Ibnu Rajab sendiri terdapat kata tegas bahawa tidak ada satu pun dalil dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang sahih tentang malam Nisfu Sya’ban. Adapun pendapat yang dipilih oleh Al Auza’i rahimahullah mengenai dibenarkan beribadah secara bersendirian (bukan berjama’ah) dan pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Rajab, maka ini adalah pendapat yang aneh dan lemah. Kerana sesuatu yang tidak ada landasan dalilnya sama sekali, maka tidak boleh bagi seorang muslim mengada-adakan suatu ibadah ketika itu, baik secara sendiri atau berjama’ah, baik pula secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan.”[12]
Malam Nisfu Sya’ban Sama Seperti Malam Lainnya
Dalam masalah ini, jika memang kita memilih pendapat majoriti ulama yang berpendapat bolehnya menghidupkan malam nisfu sya’ban, tetapi sebaiknya tidak dilakukan secara berjama’ah baik dengan solat ataupun dengan membaca secara berjama’ah doa malam nisfu sya’ban. Kerana Inilah yang menjadi pendapat majoriti ulama.
Sedangkan bagaimanakah menghidupkan malam tersebut secara bersendirian atau dengan jama’ah tersendiri?
Jawabnya, sebagian ulama membolehkan hal ini. Namun yang lebih dekat dihati hati kami, tidak perlu malam Nisfu Sya’ban diistimewakan dari malam-malam yang lain. Kerana sekali lagi, dasar yang dibangun dalam masalah keutamaan malam nisfu Sya’ban dan solatnya adalah dalil-dalil yang lemah atau hanya dari riwayat tabi’in saja. Tidak wujud disana hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam dan atsar sahabat yang sahih yang menerangkan hal ini.
Jadi di sini bukan maksud kami untuk melarang atau menghalang anda dari melaksanakan solat di malam Nisfu Sya’ban. Tidak sama sekali!!! Maksud kami adalah jangan dikhususkan malam Nisfu Sya’ban lebih dari malam-malam lainnya.
Perkataan yang amat baik dari Syaikh Muhammad bin Soleh Al Utsaimin, As-Syaikh rahimahullah mengatakan, “Malam Nisfu Sya’ban sebenarnya seperti malam-malam lainnya. Janganlah malam tersebut dikhususkan dengan solat tertentu. Jangan pula mengkhususkan puasa tertentu ketika itu. Namun catatan yang perlu diperhatikan, kami sama sekali tidak katakan, “Barangsiapa yang biasa bangun solat malam, janganlah dia bangun pada malam Nisfu Sya’ban. Atau barangsiapa yang biasa berpuasa pada ayyamul biid (tanggal 13, 14, 15 H), janganlah dia berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban (15 Hijriyah).” Ingat!!! Yang kami maksudkan adalah janganlah mengkhususkan malam Nisfu Sya’ban dengan solat tertentu atau siang harinya dengan puasa tertentu.”[13]
Dalam hadis-hadis tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban disebutkan, bahawa Allah akan mendatangi hamba-Nya atau akan turun ke langit dunia. Perlu diketahui bahawa turunnya Allah di sini tidak hanya pada malam Nisfu Sya’ban. Sebagaimana disebutkan dalam Bukhari-Muslim bahawa Allah turun ke langit dunia pada setiap 1/3 malam setiap malam.Bukan pada malam Nisfu Sya’ban saja. Oleh kerana yang sebenarnya keutamaan malam Nisfu Sya’ban sudah masuk pada keumuman malam, jadi tidak perlu diistimewakan.
‘Abdullah bin Al Mubarok pernah ditanya mengenai turunnya Allah pada malam Nisfu Sya’ban, lantas beliau pun memberi jawapan kepada si penyoal, “Wahai orang yang lemah! Yang engkau maksudkan adalah malam Nisfu Sya’ban?! Perlu engkau tahu bahawa Allah itu turun di setiap malam (bukan pada malam Nisfu Sya’ban saja,).” Dikeluarkan oleh Abu ‘Utsman Ash Sobuni dalam I’tiqod Ahlis Sunnah (92).
Al ‘Aqili rahimahullah mengatakan, “Mengenai turunnya Allah pada malam Nisfu Sya’ban, maka hadis-hadisnya itu layyin (mendapat kritikan). Adapun riwayat yang menerangkan bahawa Allah akan turun setiap malam, itu terdapat dalam berbagai hadis yang sahih. Ketahuilah bahawa malam Nisfu Sya’ban itu sudah termasuk pada keumuman hadis semacam itu, insya Allah.” Disebutkan dalam Adh Dhu’afa’ (3/29).[14]
Semoga tulisan ini dapat memberikan manfaat kepada kita dalam usaha untuk memperbaiki amal ibadah kita.
Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi wa tatimmush solihaat.
Rujukan :
Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaitiyah, Asy Syamilah.
Fatawa Al Islam Sual wa Jawab, Syaikh Soleh Al Munajjid, www.islamqa.com/ar.
Lathoif Al Ma’arif fii Maa lii Mawaasimil ‘Aam minal Wazhoif, Ibnu Rajab Al Hambali, Al Maktab Al Islami, cetakan pertama, 1428 H.
Liqo’ Al Bab Al Maftuh, Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin.
Majmu’ Al Fatawa, Ahmad Ibnu Taimiyah,Darul Wafa’, cetakan ketiga, 1426 H.
Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, Mawqi’ Al Ifta’.
Tuhfatul Ahwadzi bi Syarh Jaami’ At Tirmidzi, Muhammad ‘Abdurrahman bin ‘Abdurrahim Al Mubarakfuri Abul ‘Alaa, Darul Kutub Al ‘Ilmiyyah, Beirut.
Selesai disusun di pada 4 Sya’ban 1431 H (16/07/2010)
Nota Kaki :
[1] Lihat Tuhfatul Ahwadzi, 3/365-367. Kata yang didalam kurung [...] adalah kesimpulan dari kami.
[2] Lathoif Al Ma’arif, 245.
[3] Lathoif Al Ma’arif, 245.
[4] Lathoif Al Ma’arif, 248.
[5] Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, 1/188.
[6] Idem.
[7] Lihat As Silsilah Ash Sohihah, no. 1144.
[8] Lihat Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah (2/594) pada pembahasan “Ihyaul Lail”.
[9] Lathoif Al Ma’arif, 247-248.
[10] Majmu’ Al Fatawa, 23/131.
[11] Majmu’ Al Fatawa, 23/132.
[12] Majmu’ Fatawa Ibnu Baz, 1/190.
[13] Liqo’ Al Bab Al Maftuh, kaset no. 115.
[14] Lihat Fatwa Al Islam Sual wa Jawab, no. 49678.
Artikel asal boleh dirujuk disini : http://muslim.or.id/manhaj/meninjau-ritual-malam-nishfu-syaban.html
0 Comments
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.