HUKUM TIDUR DI DALAM MASJID

Soalan :

Ustaz, Apa hukum tidur di dalam Masjid?

Disoal oleh : Abu Muhammad

Jawapan :

Bismillah was salatu was salamu ‘ala rasulillah, amma ba’du,

Pertama, orang yang sedang beri’tikaf boleh tidur di masjid dengan sepakat ulama.

Dalam fikih i’tikaf dinyatakan,


يباح للمعتكف أن ينام في المسجد باتفاق الفقهاء

Dibolehkan bagi orang yang i’tikaf untuk tidur di masjid dengan sepakat ulama (Fiqh al-I’tikaf, Dr. Khalid al-Musyaiqih, hlm. 88).

Orang yang melakukan i’tikaf, disyariatkan untuk menetap di masjid dan tidak boleh keluar masjid, kecuali jika ada hajat yang tidak memungkinkan dilakukan di masjid.

A’isyah radhiyallahu ‘anha menceritakan,


وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَدْخُلُ الْبَيْتَ إِلَّا لِحَاجَةِ الْإِنْسَانِ

Rasulullah ﷺ ketika i’tikaf sama sekali tidak masuk rumah, kecuali kerana menunaikan hajat manusia. (HR. Muslim 297).

Kedua, hukum tidur bagi selain orang i’tikaf.

Majoriti ulama berpendapat, dibenarkan tidur di masjid bagi orang yang memerlukan istirehat atau orang miskin yang tidak memiliki tempat tinggal.

Diantara dalilnya

1. Hadis Ibnu Umar radhiyallahu ‘anhuma,


أَنَّهُ كَانَ يَنَامُ وَهُوَ شَابٌّ أَعْزَبُ لاَ أَهْلَ لَهُ فِي مَسْجِدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bahawa Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma ketika masih muda, bujang, dan belum berkeluarga, beliau tidur di masjid Nabawi. (HR. Bukhari 440)

2. Kisah Ahlus Sufah,

Ahlus sufah adalah para sahabat yang datang dari luar Madinah, dan mereka tidak memiliki tempat tinggal di Madinah. Oleh Nabi ﷺ buatkan atap di salah satu sudut di masjid untuk tempat tinggal mereka. Jumlah mereka boleh jadi mencapai 70 orang. Kadangkala berkurangan kerana mereka balik ke daerahnya, atau bertambah. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, menceritakan,


لَقَدْ رَأَيْتُ سَبْعِينَ مِنْ أَصْحَابِ الصُّفَّةِ مَا مِنْهُمْ رَجُلٌ عَلَيْهِ رِدَاءٌ

Aku bertemu dengan 70 ashabus sufah. Tidak ada seorangpun yang memakai kain penutup badan bahagian atas. (HR Bukhari 442)

3. Wanita hitam yang tinggal di Masjid,

A’isyah menceritakan bahawa ada seorang budak wanita hitam milik salah satu suku arab lalu mereka merdekakan. Ketika wanita ini mendatangi Nabi ﷺ, dia masuk Islam. A’isyah menceritakan,


فَكَانَ لَهَا خِبَاءٌ فِي المَسْجِدِ – أَوْ حِفْشٌ

Wanita ini memiliki khemah kecil dari dedaun dan bulu yang berada di dalam masjid. (HR. Bukhari 439).

4. Kisah Ali bin Abi Thalib yang tidur siang di masjid,

Di siang hari, Rasulullah ﷺ mengunjungi rumah puterinya Fatimah. Sesampainya di rumah Fatimah, baginda tidak menjumpai suami Fatimah, Ali bin Abi Thalib.

“Tadi ada masalah denganku, lalu dia marah dan keluar. Sehingga tidak tidur siang di rumah.” Jelas Fatimah.

Kemudian Rasulullah ﷺ memerintahkan seseorang untuk mencari dimanakah Ali.

"Ya Rasulullah, dia di masjid, sedang tidur.” Jawab sahabat.

Rasulullah ﷺ pun mendatangi Ali yang sedang tidur di masjid. Kain penutup bahunya terjatuh dan mengenai tanah. Lalu Nabi ﷺ membersihkan dan memanggilnya,


قُمْ أَبَا تُرَابٍ، قُمْ أَبَا تُرَابٍ

”Bangun! hai Abu Thurab…, bangun! hai Abu Thurab…”. (HR. Bukhari 441 dan Muslim 2409)

Kita sangat yakin, para sahabat yang tinggal di masjid memahami kemuliaan masjid. Mereka juga memahami bahawa masjid harus dijaga kesucian dan kebersihannya. Disamping itu, perbuatan mereka juga diketahui oleh Nabi ﷺ dan baginda ﷺ tidak melarangnya. Semua pertimbangan ini menunjukkan bahawa pada asalnya, tidur di masjid hukumnya dibolehkan.

Kemudian, sebahagian ulama memberikan batasan, bahawa hukum bolehnya tidur di masjid, berlaku bagi mereka yang memerlukan tempat istirahat sementara. Bukan tempat untuk menetap.

Syeikhul Islam menjelaskan,


ويجوز النوم في المسجد للمحتاج الذي لا مسكن له أحيانا وأما اتخاذه مبيتا ومقيلا فينهى عنه

Boleh tidur di masjid bagi orang yang memerlukan, yang tidak memiliki tempat tinggal, namun ianya bersifat kadang-kadang (sementara). Adapun menjadikan masjid sebagai tempat tinggal, tidur malam dan siang di sana maka hukumnya dilarang. (Mukhtashar al-Fatawa al-Mishriyah, 1/56).

Para ahlus sufah yang tidur di sudut masjid, mereka tinggal di Madinah hanya sementara. Setelah pertemuan mereka dengan Nabi ﷺ dirasa cukup, mereka pulang ke daerahnya.

Ketiga, harus dijaga ketertiban, kebersihan dan kesuciannya

Masjid dibangun sebagai tempat untuk mengagungkan Allah. Kerana itu, bagi sesiapapun yang melakukan hal mubah di masjid, seperti makan atau tidur , maka seharusnya dia menjaga masjid dari kotoran, mahupun najis, serta tidak boleh mengganggu orang lain yang sedang beribadah.

Keempat, mendapat izin Pentadbir Pengurusan Masjid

Jika pihak pentadbir menetapkan aturan larangan untuk tidur di masjid, maka jemaah berkewajiban menghormati peraturan ini dengan tidak tidur di masjid. Sebab utama pentadbir membuat aturan ini, tidak lain adalah untuk kemaslahatan dan keselamatan masjid.

Demikianlah jawapan untuk soalan yang dikemukakan. 

Allahu a’lam.

Dijawab oleh: Ustaz Ammi Nur Baits

Post a Comment

0 Comments