Pengenalan
Peperangan British-China 1839-1842 juga dikenali sebagai Perang Candu I. Peperangan ini merupakan titik peralihan dalam sejarah moden negeri China kerana selepas peperangan ini, khususnya selepas termeterai Perjanjian Nanking pada 29 Ogos 1842, China terpaksa menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan dengan kuasa-kuasa barat. Orang Cina menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah candu. Orang-orang barat pula menganggap peperangan ini berlaku kerana masalah politik, ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan hubungan diplomatic, perdagangan bebas dan sistem keadilan. Masalah candu hanya merupakan faktor sampingan yang mempercepatkan peperangan. Ramai ahli sejarah mendakwa peperangan ini berlaku akibat pertembungan dua kebudayaan.
Sebab-sebab
1. Hubungan Diplomatik
Ahli-ahli sejarah seperti Fairbank, Edgar Holt dan Soothills menganggap keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf dengan kuasa-kuasa barat menjadi sebab utama berlakunya Perang Candu Pertama. Orang-orang Cina menganggap China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Maharaja China dianggap sebagai anak syurga dan pemerintah universal. Orang-orang asing dianggap sebagai orang gasar atau barbarian atau fan kwae, iaitu hantu-hantu asing yang tidak bertamadun.
Kedatangan orang asing dianggap sebagai kehadiran wakil-wakil negara pembayar ufti yang mahu tunduk di bawah kekuasaaan China. Dasar ini tidak dipersetujui oleh orang-orang barat, terutamanya British kerana mereka mengamalkan konsep persamaan taraf, lebih-lebih lagi selepas termeterainya Perjanjian Westphalia 1648 antara negara-negara Eropah yang menegaskan hubungan antara negara mesti dijalankan atas dasar sama taraf, tidak kira negara itu kecil atau besar.
Sebelum Perang Candu, China tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan kuasa-kuasa barat kecuali dua perjanjian mengenai sempadan dengan Rusia, iaitu Perjanjian Nerchinsk 1689 dan Perjanjian Kiachta 1727. Usaha-usaha British untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China gagal kerana China tidak dapat menerima konsep persamaan taraf yang diamalkan oleh British. Antara utusan British yang dihantar ke negeri China ialah utusan Lord Macartney 1793, utusan Lord Amherst 1816 dan utusan Napier 1834.
Faktor utama yang menggagalkan utusan tersebut ialah masalah “kow tow” (adat menyembah raja) yang dikenakan ke atas utusan-utusan tersebut.
Orang-orang barat tidak boleh mengadakan hubungan secara langsung dengan Kerajaan China. Hubungan mesti dijalankan melalui sebuah badan iaitu “cohong” yang ditubuhkan pada 1720. Keengganan China untuk mewujudkan hubungan diplomatik atas dasar sama taraf telah menyebabkan kuasa-kuasa barat terutamanya British terpaksa mengambil tindakan secara kekerasan.
Edgar Holt dalam bukunya “The Opium Wars in China” menegaskan “the opium war was fought to end forever China’s assumption of superiority to all other nations”.
Pembubaran monopoli perdagangan China Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1833 telah menyebabkan ramai pedagang British datang ke negeri China. Untuk melindungi mereka, seorang penguasa perdagangan atau Taipan telah dilantik di Canton. Penguasa perdagangan yang pertama dilantik pada Mac 1834 ialah Lord Napier.
Kegagalan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China telah mengecewakan beliau sehingga meninggal dunia di Macau pada Oktober 1834. beliau digantikan oleh L.V. Davies pada tahun 1835. L.V. Davies juga gagal mewujudkan hubungan diplomatic dengan China dan terpaksa bersara pada 1837. Beliau digantikan oleh GeorgeBest Robinson. Robinson juga menerima nasib yang sama sehingga terpaksa bersara pada 1839 dan digantikan oleh Charles Elliot. Semasa Charles Elliotlah berlaku Perang Candu 1839-1842.
2. Perdagangan bebas
Christopher Hibbert dalam bukunya “The Dragon Wakes” dan Kenneth Scott Latourette dalam bukunya “A History of Modern China” menegaskan masalah perdagangan bebas khususnya sekatan China ke atas perdagangan asing merupakan faktor utama berlakunya Perang Candu I 1839-1842. Dewasa itu, British mengamalkan dasar perdagangan bebes yang menganggap mereka berhak berdagang di mana sahaja dan dengan siapa sahaja. Akibat perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan negeri China sebagai pasaran kepada barang-barang keluaran industri mereka serta untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Bagi British, perdagangan dianggap sebagai hak manakala China menganggapnya sebagai keistimewaan yang diberi dan boleh ditarik balik jika difikirkan perlu.
China bersikap anti perdagangan asing. Mereka menganggap perdagangan asing tidak penting kerana keperluan dalam negeri khususnya makanan mencukupi disebabkan pertanian merupakan punca utama ekonomi China. Dalam susunlapis masyarakat China, peniaga/pedagang merupakan golongan yang terendah dan kegiatan perdagangan atau perniagaan sebagai pekerjaan yang hina. Malah orang-orang Cina yang berdagang dengan orang-orang asing dianggap sebagai pengkhianat. Akibat daripada itu, China telah mengenakan pelbagai sekatan ke atas perdagangan asing. Sekatan-sekatan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing.
Mengikut perintah diraja 1757 yang dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung, pedagang-pedagang asing hanya dibenarkan berdagang di Canton. Pedagang-pedagang asing di Canton telah dikenakan pelbagai sekatan. Mereka hanya dibenarkan berada di Canton dalam musim perdagangan dari bulan Oktober hingga Januari. Di luar musim perdagangan, pedagang-pedagang asing dikehendaki meninggalkan Canton. Untuk menjamin mereka tidak menetap di Canton, pedagang-pedagang asing tidak dibenarkan membawa keluarga mereka. Keluarga mereka mesti ditinggalkan di Macau (wilayah Portugis).
Mereka juga tidak boleh bergerak bebas kecuali pada 8, 18 dan 28 hari bulan tiap-tiap bulan dalam musim perdagangan. Selain itu, pedagang-pedagang asing tidak boleh berdagang secara langsung dengan orang Cina. Perdagangan mesti dijalankan melalui cohong yang dianggotai oleh 13 pegawai dan ketuanya bergelar Hoppo. Cohong mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, kebenaran menggunakan sungai, menetapkan harga dan cukai, menentukan jenis perdagangan dan sebagainya. Malah hubungan antara orang asing dengan Kerajaan China mesti dijalankan melalui cohong.
Pedagang-pedagang asing mahu berdagang di bahagian-bahagian lain di China selain di Canton. Mereka mahu berdagang secara bebas dan mendapatkan harga yang berpatutan bagi barang-barang China. Tindakan cohong mengenakan cukai dan harga yang tinggi serta tidak tetap menimbulkan perasaan tidak puas hati pedagang-pedagang asing. Sekatan China ke atas pedagang asing telah menyebabkan peperangan tidak dapat dielakkan antara British yang merupakan negara progresif, perindustrian dan kapitalis dengan China yang merupakan negara pertanian, tidak progresif dan bersikap anti perdagangan asing.
3. Sistem keadilan
Dari segi sosial, timbul masalah keadilan kerana konsep keadilan China berbeza dengan konsep keadilan British. Kerajaan China telah mengeluarkan arahan supaya semua orang asing yang berada di China mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan di China. Arahan ini tidak dipersetujui oleh pedagang asing kerana mereka menganggap undang-undang China sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Contohnya, pada 1784, seorang anak kapal “Lady Hughes” telah dijatuhkan hukuman dicekik sampai mati kerana kesalahannya membunuh secara tidak sengaja seorang rakyat China semasa upacara kehormatan di Whampoa.
Hukuman yang sama juga dikenakan kepada Terranova iaitu anak kapal “Emily” pada 1821. Pada 12 Julai 1839, 3 orang British yang mabuk telah membunuh seorang rakyat China iaitu Lin Wei Hsi. Pesuruhjaya Tinggi China di Canton, Lin Tse Hsu telah mengarahkan penguasa perdagangan British Charles Elliot menyerahkan ketiga-tiga orang British yang terlibat dalam pembunuhan tersebut kepada pihak China untuk diadili. Charles Elliot yang menyedari hukuman yang akan dijatuhkan enggan menyerahkan mereka. Sebaliknya beliau membicarakan mereka dan menjatuhkan hukuman penjara. Tindakan Charles Elliot sudah tentu menjejaskan hubungan antara British dan China.
Mengikut undang-undang China, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tetap bersalah sehingga beliau dapat membuktikan dirinya tidak bersalah. Mengikut undang-undang British pula, seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tidak bersalah sehingga pihak pendakwa dapat membuktikan beliau bersalah. China mengamalkan undang-undang kumpulan dan tanggungjawab ketua. Mengikut undang-undang kumpulan, jika seseorang melakukan kesalahan, semua anggota dalam kumpulannya bertanggungjawab dan boleh dijatuhkan hukuman.
Mengikut undang-undang tanggungjawab ketua, sekiranya anak buah melakukan kesalahan ketuanya juga bertanggungjawab dan juga boleh dijatuhkan hukuman. Undang-undang ini tidak dipersetujui oleh British kerana mereka mengamalkan undang-undang tanggungjawab individu. Hanya mereka yang melakukan kesalahan bertanggungwab di atas kesalahannya dan boleh dijatuhkan hukuman. Di negeri China, tidak ada perbezaan antara undang-undang dan perintah. Perintah pegawai lebih-lebih lagi perintah maharaja sudah dianggap sebagai undang-undang yang mesti dilaksanakan.
4. Masalah candu
Perdagangan antara British dan China tidak seimbang. British memerlukan barang-barang China terutamanya teh dan sutera tetapi China tidak memerlukan barang-barang British. Akibatnya banyak wang British mengalir ke negeri China.
1780-1790 14 juta taels
1790-1800 26 juta taels
Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada British. Untuk mengimbangi perdagangan, British membawa masuk candu dari India dan Turki sejak 1773.
Sebelum
1720
|
200
peti candu setahun
|
Sebelum
1750
|
400
peti candu setahun
|
Sejak
1773
|
1000
peti candu setahun
|
1800
|
4500 peti candu setahun
|
1810
|
10000
peti candu setahun
|
1820
|
20000
peti candu setahun
|
1830
|
30000
peti candu setahun
|
1837-1840
|
40000-60000
peti candu setahun
|
Kemasukan candu telah menjejaskan negeri China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China menjadi penagih candu. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa arahan telah dikeluarkan oleh Maharaja Chien Lung (1736-1796), Maharaja Chia Ching (1796-1820) dan Maharaja Tao Kuang (1820-1850) mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu. Arahan ini tidak mendapat layanan pedagang-pedagang asing dan mereka enggan menghentikan perdagangan candu yang amat menguntungkan mereka.
Pada 1 Mac 1839 Maharaja Tao Kuang telah melantik Lin Tse Hsu sebagai Pesuruhjaya Tinggi China di Canton dengan tugas khas untuk menghapuskan perdagangan, penyeludupan dan penggunaan candu. Beliau tiba di Canton pada 10 Mac 1839. Pada 18 Mac 1839, beliau mengeluarkan arahan mendesak pedagang-pedagang asing menghentikan perdagangan serta penyeludupan candu, menyerahkan candu kepada pihak China untuk dimusnahkan dan menandatangani surat sumpah tidak akan menjalankan perdagangan dan penyeludupan candu.
Bila arahannya tidak mendapat layanan, Lin Tse Hsu telah mengepung 350 orang pedagang asing yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang British termasuk penguasa perdagangan Charles Elliot di Canton. Apabila terdesak, Charles Elliot telah mengarahkan pedagang-pedagang asing menyerahkan candu kepada pihak China. Sebanyak 20283 peti candu diserahkan dan dimusnahkan oleh pihak China. Peristiwa inilah yang memulakan peperangan antara British dengan China. Setiausaha Luar British, Lord Palmestone telah menjadikan peristiwa candu sebagai alasan menyerang China. Ahli-ahli sejarah menganggap masalah candu hanya merupakan faktor segera yang mempercepatkan Perang Candu I. W.E. Soothills dalam bukunya “China and the west” menegaskan “opium was the accidental cause”.
Peristiwa peperangan
British mengisytiharkan perang ke atas China pada 31 Januari 1840. Angkatan British diketuai oleh Charles Elliot dan Laksamana George Elliot. Mereka telah menyerang Canton, Amoy, Foochow dan Pulau Chu Shan. Kemaraan tentera British membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. China diwakili oleh Chi Shan dan British diwakili oleh Charles Elliot. Hasil daripada rundingan tersebut, Konvensi Chuenpi ditandatangani pada 20 Januari 1841.
Syarat-syaratnya :
1. Hong Kong Diserahkan kepada British.
2. China dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 6 juta taels ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China.
3. Hubungan antara British dengan China mesti dijalankan atas dasar sama taraf.
4. Canton dibuka semula kepada pedagang asing.
Konvensi Chuenpi tidak diterima oleh Setiausaha Luar iaitu Lord Palmestone dan Maharaja Tao Kuang. Akibatnya peperangan antara British dan China berterusan. Pada Ogos 1841, Henry Pottingger menggantikan Charles Elliot. Di bawah Henry Pottingger angkatan British menyerang Canton, Amoy, Foochow, Ningpo, Shanghai dan Chinkiang. Pada 9 Ogos 1842 mereka menyerang Nanking dan berjaya memusnahkannya pada 14 Ogos 1842. Kejatuhan Nanking membimbangkan China menyebabkan mereka bersetuju mengadakan rundingan. Rundingan diadakan di atas kapal perang British Cornwallis sejak 20 Ogos 1842. China diwakili oleh Ki Ying, Nieu Chien dan Illippi. British diwakili oleh Henry Pottingger. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian Nanking telah ditandatangani pada 29 Ogos 1842.
Syarat-syarat perjanjian ialah :
1. Hong Kong diserahkan kepada British.
2. China bersetuju membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels, iaitu 12 juta taels ganti rugi peperangan, 6 juta taels ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British.
3. Sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing dihapuskan.
4. China membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
5. Konsul British akan ditempatkan di setiap pelabuhan perjanjian.
6. Pedagang-pedagang asing bebas berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.
7. Hubungan antara British dengan China akan dijalankan atas dasar sama taraf.
8. Sistem cukai yang tetap dan adil akan dilaksanakan.
9. Sebarang pindaan ke atas syarat perjanjian perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
10. Selepas perjanjian ini, sekiranya China memberi sebarang keistimewaan kepada kuasa-kuasa lain, maka British berhak menikmatinya.
Kesan-kesan
1. Merugikan China
Perjanjian Nanking yang ditandatangani pada 29 Ogos 1842 amat merugikan pihak China. China bukan sahaja terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada British, malah dikehendaki membayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels kepada British, iaitu 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Selain itu, China juga terpaksa membuka 5 pelabuhannya kepada pedagang asing, iaitu Canton, Amoy, Foochow, Ningpo dan Shanghai.
2. Menguntungkan British
Di pihak lain, Perjanjian Nanking amat menguntungkan British. Pihak British bukan sahaja mandapat Hong Kong, malah dibayar ganti rugi sebanyak 21 juta taels yang terdiri daripada 12 juta taels untuk ganti rugi peperangan, 6 juta taels untuk ganti rugi ke atas candu yang dimusnahkan oleh pihak China dan 3 juta taels hutang cohong kepada pedagang-pedagang British. Pada masa yang sama, pedagang-pedagang British juga dibenarkan berdagang sepanjang tahun di pelabuhan-pelabuhan yang dibuka untuk pedagang asing iaitu Amoy, Foochow, Canton, Ningpo dan Shanghai. Di samping itu, China juga menjadi pasaran kepada barangan keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya
the dan sutera.
3. Perjanjian
Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada termeterainya perjanjian-perjanjian lain antara China dengan kuasa-kuasa barat. Perjanjian Bogus ditandatangani pada 8 Oktober 1843 dengan British yang diwakili oleh Henry Pottingger. Perjanjian Bogus menetapkan cukai import dan eksport sebanyak 5%. Perjanian tersebut juga memberi keistimewaan-keistimewaan tambahan kepada British seperti “Hak Wilayah Asingan” dan “layanan negara yang diutamakan”. Perjanjian Wanghsia ditandatangani pada 3 Julai 1844 dengan Amerika yang diwakili oleh Caleb Kushing.
Perjanjian Wanghsia memberi keistimewaan kepada Amerika seperti yang dinikmati oleh British. Perjanjian Whampoa ditandatangani pada 24 Oktober 1844 dengan Perancis yang diwakili oleh Theodore da Lagrini. Perjanjian tersebut memberi keistimewaan kepada Perancis seperti yang dinikmati oleh British dan Amerika. Selain itu, Perancis juga dibenarkan menyebarkan agama Kristian serta mendirikan gereja di pelabuhan-pelabuhan perjanjian. Pada 20 Mac 1847, China menandatangani perjanjian dengan Norway dan Sweden.
4. Cohong
Perjanjian Nanking telah menamatkan sistem monopoli cohong dalam perdagangan asing. Pedagang-pedagang asing bebas menjalankan perdagangan secara langsung dengan pihak China. Sebelum Perang Candu, pedagang-pedagang asing terpaksa berdagang melalui cohong yang mempunyai kuasa penuh dalam perdagangan asing seperti memberi kebenaran berdagang, menetapkan cukai dan sebagainya.
5. Persamaan taraf
Buat pertama kalinya China terpaksa menerima konsep persamaan taraf dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa barat. Sebelum Perang Candu, orang-orang Cina menganggap negeri China sebagai “Middle Kingdom” atau “Chung Koa” yang lebih bertamadun. Orang-orang asing merupakan Barbarian yang tidak bertamadun.
6. Tidak menyelesaikan masalah
Perjanjian Nanking hanya menamatkan peperangan antara British dengan China tetapi tidak menyelesaikan masalan dalam hubungan antara mereka. Hubungan natara mereka tetap runcing sehingga mengakibatkan perang yang kedua pada 1856-1860 yang dikenali sebagai Perang Candu Kedua atau Perang Arrow.
7.,Candu
Orang-orang Cina mendakwa perjanjian tersebut berlaku kerana masalah candu. Walau bagaimanapun dalam Perjanjian Nanking, tidak terdapat syarat yang berkaitan dengan perdagangan Candu. Candu terus dibawa masuk dengan kadar yang lebih banyak.
1843 – 33000 peti
1848 – 46000 peti
1850 – 52929 peti
Kemasukan candu menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai kerajaan telah menjadi penagih candu.
Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu telah melebihi nilai eksport barang-barang lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China
Dari segi sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana rakyat China telah menjadi penagih candu. Desakan China supaya British menghentikan perdagangan candu dan keengganan British untuk mematuhi arahan China telah meruncingkan hubungan antara mereka.
8. Perkembangan perdagangan
Pembukaan 5 pelabuhan China kepada pedagang asing serta keistimewaan-keistimewaan yang diberi telah mengakibatkan perkembangan perdagangan asing di China. Negeri China telah menjadi pasaran barang-barang keluaran industri barat serta tempat untuk mendapatkan bahan mentah terutamanya teh dan sutera. Perkembangan perdagangan terbukti daripada pertambahan nilai eksport. Contohnya, eksport teh pada 1850 telah meningkat ₤100 juta.
9. Krisis ekonomi
Perang Candu telah menyebabkan negeri China mengalami krisis ekonomi. China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menghadapi peperangan serta bayaran ganti rugi. Kemasukan barang-barang barat telah menjejaskan pasaran barang-barang tempatan. Akibatnya, banyak industri tempatan terpaksa ditutup. Kemasukan candu meruncingkan lagi masalah ekonomi negeri China. Bagi mengatasi masalah ekonomi, China telah marayu supaya British mengurangkan bayaran ganti rugi. Keengganan British untuk berbuat demikian telah menjejaskan hubungan antara mereka.
10. Pengaruh barat
Pembukaan pelabuhan China kepada orang asing telah mengakibatkan kemasukan pengaruh barat. Ramai rakyat China terutamanya golongan muda di pelabuhan-pelabuhan perjanjian telah terpengaruh dengan budaya barat. Selain itu, berlaku perkembangan agama Kristian di pelabuhan-pelabuhan perjanjian.
11. Menjatuhkan maruah Manchu
Buat pertama kalinya China telah dikalahkan oleh kuasa-kuasa barat. Kekalahan ini telah menjatuhkan maruah negeri China serta menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan Dinasti Manchu. Kekalahan ini mendedahkan kelemahan Manchu sehingga mengakibatkan bertambahnya gerakan anti-Manchu, terutamanya di wilayah selatan. Antara gerakan anti-Manchu ialah Pemberontakan Taiping, Pemberontakan Nien dan Pemberontakan Muslim.
12. Permulaan kepada bertapaknya kuasa asing
Perjanjian Nanking menandakan permulaan kepada bertapaknya kuasa asing di China. Mengikut perjanjian ini, 5 pelabuhan China dibuka kepada pedagang asing, iaitu Amoy, Ningpo, Shanghai, Foochow dan Canton. Seterusnya dalam perjanjian Tientshin pada 26 Jun 1858, 11 lagi pelabuhan China dibuka kepada perdagangan asing iaitu Newchwang, Tungchow, Chefoo, Chinkiang, Hankow, Kiukiang, Swatow, Tainan, Tanshui, Kiungchow dan Nanking
13. Dasar isolasi
Selepas Perjanjian Nanking ditandatangani, China terpaksa menamatkan dasar isolasinya yang diamalkan selama ini. Sejak itu, China mula melaksanakan dasar buka pintu kepada orang-orang asing yang kebanyakannya terdiri daripada
pedagang.
14. Penghijrahan
Selepas Perang Candu, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut, terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat bila British menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara. Orang-orang sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China.
15. Pengajaran
Buat pertama kalinya China terpaksa menerima hakikat bahawa kuasa-kuasa barat lebih superio daripada China. Sarjana-sarjana China telah mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barat dalam usaha untuk menguatkan negeri China. Contohnya Wei Yuan dalam bukunya “Hai Koa Tu Chih” mencadangkan supaya China meniru teknik-teknik barbarian dalam usaha untuk mengalahkan barbarian. Pendapat ini disokong oleh sarjana-sarjana lain seperti Liang Ting Nan dalam bukunya “Ro Chung Kao Shuo” dan “I Fen Chi Wan” dan Hsu Chi Yu dalam bukunya “Ying Huan Chih
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.