PANDANGAN SYARAK TERHADAP PERBUATAN MEMBOIKOT PRODUK ORANG KAFIR

Oleh : Ustaz Idris Sulaiman

Dalam keadaan Umat Islam dihina, ditindas dan diperangi oleh musuh-musuhnya daripada kalangan orang kafir seperti mana di Palestin dan di tempat-tempat yang lain, timbul persoalan di kalangan mereka yang cintakan Islam dan ingin membantu saudara Islam mereka yang dizalimi tentang apakah tindakan yang boleh diambil oleh Umat Islam dalam hal ini.

Antara yang sering dilaungkan adalah memboikot barangan orang kafir sebagai hukuman buat mereka dan supaya ekonomi mereka terkesan dan menjadi lemah. Ia akan membuatkan mereka takut dan menghentikan penindasan mereka.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini dan jika ia berkesan, apakah garis panduan yang perlu diraikan dalam melaksanakannya?

DEFINASI BOIKOT

Enggan berurus dengan seseorang, organisasi, negara dan lain-lain; memulaukan (Kamus Dewan).

DEFINASI BARANGAN

Benda atau perkhidmatan yang dijualbelikan (Kamus Dewan).

PRINSIP-PRINSIP ASAS

Prinsip Pertama: Syarak Membolehkan Bermuamalah (Berurusan) Dengan Orang Kafir dalam Jual Beli

Tidak kira sama ada mereka Kafir Zimmi, Kafir Mu’ahad, Kafir Musta’man mahupun Kafir Harbi[1] selagi mana ia membabitkan suatu yang halal di sisi Syarak. Hal ini tidak dianggap sebagai wala’ (taat setia) terhadap mereka.

Imam Al-Bukhari rahimahullah dalam kitab Sahihnya ada menyebutkan bab berjudul ‘Bab Jual Beli dengan Orang Musyrikin dan Golongan Kafir Harbi’.

Ibnu Abbas radiallahu anhuma meriwayatkan bahawa:

“Rasulullah sallalahu alaihi wasallam telah wafat sedang baju perisainya tergadai dengan seorang Yahudi dengan sebanyak tiga puluh gantang barli untuk keluarganya” (Sahih. Riwayat Al-Nasaai).

Aisyah radiallahu anha pula meriwayatkan bahawa:

“Nabi sallalahu alaihi wasallam telah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara hutang”  (Bukhari dan Muslim).

Jual beli dengan orang kafir dibolehkan sama ada dengan cara orang Islam pergi ke negara kafir atau orang kafir datang ke negara Islam.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah:

“Sekiranya seseorang itu pergi ke negara orang Kafir Harbi untuk membeli daripada sana hal ini dibolehkan di sisi kami. Ini sebagaimana yang dapat difahami daripada perbuatan perniagaan Abu Bakar radiallahu anhu berniaga ke Tanah Syam semasa hidup Rasulullah sallalahu alaihi wasallam sedangkan ketika itu ia adalah negara  Kafir Harbi, dan di samping hadis-hadis yang lain” (Iqtidha’ Al-Siratal Mustaqim, 2/15).

Berkata Ibnu Hajar rahimahullah:

“Dibolehkan bermuamalah dengan orang kafir dalam hal-hal yang tidak sabit haramnya, dan rosaknya akidah kepercayaan mereka dan cara muamalah mereka sesama mereka tidak diambil kira dalam hal ini” (Fathul Bari, 9/280).

Ini adalah prinsip asasnya dalam bermuamalah dengan orang kafir. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian dalam hal ini iaitu:

Tidak dibolehkan bagi orang Islam untuk menjual kepada orang kafir apa yang mereka boleh gunakan untuk memerangi orang Islam. Ini berdasarkan firman Allah,


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan tolong menolonglah dalam perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong menolong dalam hal-hal dosa dan permusuhan” (Al-Maa’idah, 2).

Prinsip Kedua: Cara-Cara Jual-Beli dengan Orang Kafir

Terdapat pelbagai cara barangan orang kafir dibeli pada hari ini. Cara-cara ini perlu dikenal pasti agar hukum yang tepat dapat dikeluarkan buatnya. Dapat disimpulkan bahawa barangan orang kafir dibeli melalui salah satu cara yang berikut:

Barangan itu dibeli terus daripada orang kafir yang menjualnya atau yang mengeluarkannya;
Barangan itu dibeli melalui wakilnya yang muslim yang bertindak mencari pembeli lalu dia menghubungkan antara pembeli dan penjual. Si wakil muslim itu akan menerima imbuhan daripada syarikat atau kilang jualan itu.

Dalam cara ini, pembeli membayar terus kepada penjual asli. Maka ia adalah seperti cara yang pertama daripada sudut manfaat yang diperolehi daripada jualan atau mudarat yang dihadapi akibat boikot yang akan dirasai oleh syarikat kafir itu secara langsung;

Barangan dibeli daripada agen jualan muslim yang mengimport barangan itu atas nama syarikatnya dengan modalnya sendiri.

Apa yang membezakan antara cara ini dan cara yang sebelumnya adalah pengimport muslim ini akan membeli barangan itu lalu menjualnya atas namanya. Berbeza dengan yang sebelumnya, si wakil muslim itu hanya menjadi penghubung antara pembeli dan penjual. Itu sahaja peranannya.

Berbeza dengan dua cara yang sebelum ini, agen jualan muslim ini akan mendapat manfaat daripada jualan atau mudarat daripada boikot secara langsung; dan

Belian barangan francais yang pada asalnya dikeluarkan oleh orang kafir lalu kilang atau kedainya dibuka di negara Islam di bawah pemiliknya yang muslim yang memiliki hak atau kebenaran istimewa daripada syarikat induk atas bayaran tertentu yang perlu dibayar kepada syarikat pengeluar induk tersebut secara berkala.

Syarikat muslim ini akan mendapat manfaat daripada jualan atau mudarat daripada boikot secara langsung. Berbeza dengan syarikat kafir pengeluar induk yang hanya mendapat mudarat secara tidak langsung akibat tidak lagi menerima bayaran untuk hak-hak francais tersebut.

Prinsip Ketiga: Jenis Barangan Jualan Orang Kafir

Barangan-barangan jualan secara amnya sama ada yang dijual oleh orang Islam atau kafir tidak lari daripada tiga jenis: 1. Barangan keperluan asas; 2. Keperluan sampingan; atau 3. Kelengkapan.[2]

Tidak dinafikan adanya perbezaan ketara antara ketiga-tiga kategori ini. Syariat Islam membezakan antara keperluan asas dan selainnya. Bahkan sehingga mengharuskan yang haram tatkala darurat dan dalam keadaan mendesak sekiranya nyawa sudah terancam.

Firman Allah,


وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

“Dia telah menjelaskan apa yang haram buat kamu kecuali apa yang kamu terdesak kepadanya” (Al-An’aam, 119).

Berdasarkan banyak nas-nas Al-Quran dan Hadis, para ulama telah menetapkan kaedah:


الضَرُورَةُ تُبِيحُ المحضُورَة

“Keadaan Terdesak (Darurat) Akan Mengharuskan yang Terlarang (Haram)” (Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, 93).

Mereka juga menetapkan bahawa keperluan akan mengambil tempat darurat sekiranya ia melibatkan perkara-perkara yang umum (الحَاجَة تُنَزَّل مَنْزِلَةَ الضَّرُورَة)   (Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, 97).

Oleh itu, kita perlu membezakan antara barangan keperluas asas seperti beras, barangan keperluan sampingan seperti kenderaan atau barangan kehendak seperti kereta mewah dan seumpamanya.

Perbuatan memboikot barangan keperluan asas jelas boleh mengancam nyawa orang Islam berbanding memboikot barangan sampingan dan kehendak.

Prinsip Keempat: Menutup Jalan Kerosakan ( سَدُّ الذَّرِيعَة ) 

Ia adalah antara kaedah yang digunakan oleh para ulama. Apa yang dimaksudkan dengan kaedah ini adalah perkara-perkara yang pada asalnya  harus boleh menjadi haram sekiranya ia membawa kepada mudarat.

Jalan-jalan yang boleh membawa kepada mudarat ini sama ada ia pasti (قطعي), samar-samar (ظني)  atau suatu yang jarang berlaku (نادر) dengan erti kata ia jarang menyebabkan mudarat.

Sekiranya ia pasti (قطعي) membawa mudarat maka para ulama sepakat menyatakan ia haram. Jika ia jarang (نادر) menyebabkan mudarat maka para ulama juga sepakat dalam menyatakan bahawa ia tidak haram dan ia kekal pada hukum asalnya iaitu harus.

Adapun sekiranya ia samar-samar(ظني)  iaitu boleh jadi tidak membawa kepada mudarat,  di sini para ulama berbeza pendapat sama ada ia haram atau tidak (Ihkaam Al-Fusuul oleh Al-Baji, 690).

Boleh kita simpulkan bahawa dalam keadaan samar-samar (ظني) ia kembali kepada kebaikan (maslahat) dan keburukan (mafsadah) suatu perbuatan itu.

Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah :

“Jalan-Jalan ini sekiranya ia secara kebiasaannya akan membawa kepada yang haram maka Syarak mengharamkannya secara mutlak… Sekiranya ia hanya kadang-kadang membawa kepada yang haram maka jika tidak ada maslahat yang lebih pada jalan-jalan ini Syarak akan mengharamkannya juga” (Al-Fatawa Al-Kubra, 3/257).

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, Syarak sentiasa melihat kepada jalan (cara) yang digunakan untuk sampai kepada sesuatu dalam menentukan hukumnya. Maka jalan-jalan yang membawa kepada yang haram atau makruh akan mengambil hukum yang serupa.

Oleh itu para ulama mengingatkan bahawa dalam menentukan hukum suatu perbuatan manusia, ia hanya boleh ditentukan setelah melihat natijah hasil perbuatan tersebut daripada sudut kebaikan atau keburukannya. Maka suatu perbuatan tidak akan diizinkan walaupun ia boleh mendatangkan maslahat melainkan setelah dilihat kesudahannya agar jangan kebaikan (maslahat) yang diperolehi turut mendatangkan keburukan (mafsadah) yang sama atau lebih daripadanya (Al-Muawaqaat oleh Imam Syatibi, 4/194).

Terdapat dua kaedah yang menjadi sandaran dalam menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perbuatan. Dua kaedah ini ialah:

Sekiranya suatu perbuatan menjurus kepada keburukan (mafsadah) dan tidak ada kebaikan (maslahat) yang mendominasi perbuatan itu, maka ia dilarang.

Ini kerana Syarak menitip beratkan langkah berjaga-jaga ( الاحتياط ), mengambil langkah tegas ( الأخذ بالحزم ) serta mengelak daripada jalan-jalan yang membawa kepada kerosakan dan keburukan (mafsadah) ( سد الذريعة ) (Al-Muawaqaat oleh Imam Syatibi, 2/364).

Terdapat banyak contoh dalam Al-Quran dan Sunnah tentang hal ini. Seperti mana larangan Syarak membuat binaan atas kubur, wanita bermusafir tanpa mahram, khalwat antara lelaki dan perempuan bukan mahram, berhias buat wanita yang kematian suaminya dalam tempoh iddah, pembunuh mewarisi harta saudaranya yang dibunuh dan lain-lain.

Sebaliknya, sekiranya suatu perbuatan yang secara dasarnya adalah haram tetapi dalam suatu situasi yang tertentu ia boleh membawa kepada kebaikan (maslahat) yang mendominasi perbuatan tersebut, ia dibolehkan.

Contohnya memberi wang tebusan kepada kafir harbi untuk membebaskan orang Islam yang mereka tawan, atau memberi wang kepada seorang yang akan menggunakannya pada jalan yang haram sesudah dia mengugut akan membunuh jika wang tersebut tidak diberikan kepadanya.

2. Dalam menilai kebaikan (maslahat) atau keburukan (mafsadah) suatu perbuatan, cukup dengan sangkaan kuat (غلبة الظن). Tidak perlu sampai yakin (يقين) akan kebaikan atau keburukan yang terhasil daripada perbuatan itu.

Ini kerana menilai kebaikan atau keburukan sesuatu perbuatan hanya dapat dilakukan secara andaian atau anggaran. Adapun menilainya secara tepat, kebiasaannya ia adalah sukar.

Berkata Al-Izz bin Abdul Salam:

“Kebanyakan maslahat dan mafsadah tidak dapat ditentukan kedudukannya secara tepat. Ia hanya dapat ditetapkan secara andaian mengenangkan betapa susahnya menetapkannya secara tepat” (Al-Qawaa’id Al-Sughra, 100).

Prinsip Kelima : Merosakkan Ekonomi Musuh adalah antara Cara Jihad yang Syarie

Nabi sallalahu alaihi wasallam telah menggunakan cara tekanan ekonomi melalui pasukan-pasukan tentera yang diutus untuk menyerang kafilah-kafilah perniagaan orang kafir Quraisy.

Sebagaiman dalam peristiwa Nabi sallalahu alaihi wasallam mengutus 300 anggota tentera berkuda yang dikepalai oleh Abu Ubaidah bin Al-Jarrah radiallahu anhu untuk menyerang kafilah Quraisy (Sahih. Riwayat Abu Daud).

Begitu juga dalam Peperangan Badar yang pada asalnya berlaku akibat Nabi sallalahu alaihi wasallam keluar daripada Madinah untuk mendapatkan kafilah Abu Sufyan (Riwayat Muslim).

Lebih daripada itu, ketika di Mekkah Nabi sallalahu alaihi wasallam pernah mendoakan atas kaum Quraisy agar mereka ditimpakan kemarau dan agar kehidupan mereka menjadi susah.

Berkata Abdullah bin Masud radiallahu anhu:

Apabila Kaum Quraish bertindak derhaka terhadap Rasulullah sallalahu alaihi wasallam dan enggan menerima Islam Baginda berdoa,


اللَّهُمَّ أعِنِّي عَلَيْهِمْ بِسَبْعٍ كَسَبْعِ يُوسُف

“Ya Allah, bantulah aku dengan kemarau seperti mana kemarau (Nabi) Yusof”

Akibatnya penduduk Mekah kekurangan makanan yang teramat sangat sehingga ada yang memakan bangkai. Hal ini berterusan sehingga Nabi sallalahu alaihi wasallam diminta supaya berdoa kepada Allah agar kemarau dihentikan  (Sahih. Riwayat Tirmizi).

Jika perkara ini sudah jelas, adalah penting untuk kita kenal pasti bidang-bidang perniagaan atau produk-produk jualan yang boleh dijadikan sebagai fokus dalam boikot agar ia benar-benar memberi impak dan kesan yang diharapkan untuk melemahkan orang kafir yang menindas Umat Islam.

Amat malang sekiranya produk-produk kafir yang perlu diboikot tidak diboikot sebaliknya syarikat francais yang dimiliki muslim pula yang menjadi mangsa. Akhirnya pihak yang sepatutnya dihukum terus bermaharajalela manakala orang yang tidak bersalah pula dizalimi.

Apa yang pasti, bank-bank riba serta syarikat-syarikat media dan hiburan antarabangsa yang sememang dikuasai oleh Yahudi dan Nasrani perlu diboikot. Ini kerana ia menjadi asas kekuatan dan pengusaan mereka terhadap dunia di samping menjadi alat propaganda untuk terus melemahkan Umat Islam. Mata wanga Dolar juga sewajarnya diboikot.

Prinsip Keenam: Boikot Berkait Rapat dengan Izin Pemerintah

Antara prinsip yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah ‘Kewajipan Taat dan Patuh Terhadap Pemerintah Islam dalam Hal-Hal yang Makruf’.

Badan Pembesar Ulama dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa, Arab Saudi telah diajukan soalan yang berikut:

“Kini kedengaran seruan supaya memboikot barangan dagangan Amerika seperti Pizza Hut, McDonalds dan lain-lain. Adakah kita perlu menyahut seruan ini? Dan adakah urusan jual beli dengan orang kafir di negara kafir harbi dibolehkan? Atau adakah ia hanya dibolehkan dengan orang kafir mu’ahad, zimmi dan musta’man di negara kita sahaja?”

Jawapan:

“Dibolehkan membeli barangan yang halal tidak kira daripada mana jua ia dikeluarkan selagi mana pemerintah tidak memerintahkan supaya ia diboikot demi maslahat Islam dan orang Islam. Ini kerana asal hukum jual beli adalah harus sebagaimana firman Allah, “Dan Allah menghalalkan jual beli” (Al-Baqarah, 275) dan Nabi sallalahu alaihi wasallam telah membeli daripada orang Yahudi” (Fatwa no. 21776 bertarikh 25.12.1421H).

Syeikh Soleh Fauzan Al-Fauzan hafidahullah, Anggota Badan Pembesar Ulama dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa, Arab Saudi telah ditanya dengan soalan yang berikut:

“Kini tersebar di akhbar laungan supaya diboikot barangan Amerika dan tidak membeli atau menjualnya. Antaranya apa yang ditulis di salah satu akhbar hari ini bahawa para ulama Islam menyeru kepada boikot dan bahawa hal ini adalah fardu ain wajib atas setiap seorang muslim manakala membeli barangan ini adalah haram dan pelakunya melakukan dosa besar kerana membantu golongan Yahudi dalam memerangi orang Islam. Mohon agar Syeikh menjelaskan hal ini dan adakah seseorang itu akan mendapat pahala kerana melakukannya?

Jawapan:

“Pertama: Saya minta agar diberi satu salinan atau potongan daripada akhbar yang menyebutkan tentang perkara yang dinyatakan oleh si penanya.

Kedua: Ini tidak benar. Para ualam yang muktabar tidak mengeluarkan fatwa melarang membeli barangan dagangan Amerika. Barangan dagangan Amerika masih diimport dan dijual di pasaran orang Islam.

Barangan dagangan ini tidak akan diboikot kecuali jika ada arahan daripada pemerintah menuntut supaya ia diboikot dan supaya mana-mana negara diboikot. Dalam keadaan ini barulah ia perlu diboikot.

Adapun sekadar laungan individu mengharamkan (barangan tertentu); perbuatan ini termasuk dalam mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Ia tidak dibolehkan” (Al-Fatawa Al-Muhimmah fi Tabsiir Al-Ummah, oleh Jamal bin Furaihan Al-Harithi, 110).

Boikot yang dilakukan dengan izin pemerintah sesudah maklumat dan langkah yang tepat dikenal pasti akan menjamin keberkesanan boikot tersebut di samping memperoleh kerja sama daripada semua pihak; sama ada rakyat jelata yang terdiri daripada pengguna dan pembeli, pihak pengimpot dan penjual, serta penguatkuasaan arahan boikot daripada pemerintah.

Adapun laungan individu atau badan-badan bukan kerajaan supaya diboikot barangan-barangan tertentu, ia hanya akan mengakibatkan perselisihan dan perbalahan di kalangan masyarakat Islam. Bahkan berkemungkinan besar langkah yang tidak tepat akan diambil akibat kurang data dan maklumat di mana akhirnya ia lebih merugikan orang Islam berbanding orang kafir.

HUKUM BOIKOT BARANGAN ORANG KAFIR

Dapat kita simpulkan bahawa hukum boikot berbeza antara satu situasi dengan situasi yang lain iaitu:

Keadaan Pertama: Jika Ia Diarahkan oleh Pemerintah

Jika pemerintah sebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan tersebut.

Firman Allah,


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah RasulNya dan para pemerintah daripada kalangan kamu” (Al-Nisaa’, 59).

Kisah Ka’ab bin Malik radiallahu anhu diboikot (dipulau) oleh penduduk Madinah atas arahan Nabi sallalahu alaihi wasallam dalam riwayat Bukhari dan Muslim boleh dijadikan hujjah dalam hal ini.

Keadaan Kedua: Sekiranya Tiada Arahan daripada Pemerintah

Keadaan ini tidak lari daripada dua situasi:

Dia mengetahui secara pasti bahawa harga barangan yang dibeli itu akan membantu orang kafir memerangi orang Islam. Dalam situasi ini, haram untuknya membeli daripada orang kafir tersebut. Ini kerana ia jelas menjurus kepada membantu orang kafir dalam perkara dosa dan permusuhan yang ditegah Syarak, dan sejajar dengan kaedah menutup jalan-jalan yang membawa kepada yang haram.

Sebagaimana Syarak melarang jualan anggur kepada mereka yang menggunakannya untuk membuat arak, menjual senjata pada zaman fitnah apabila berlaku kekacauan sesama orang Islam dan memberi pinjaman kepada mereka yang akan menggunakannya untuk perkara yang haram.

Hukum ini khas kalau sekiranya dia mengetahui secara pasti sama ada berdasarkan pengetahuannya secara langsung, melalui berita orang yang dipercayainya dan seumpamanya.

Di samping pengetahuan secara pasti (yakin), sangkaan kuat juga mengambil hukum yang sama sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

2. Dia tidak mengetahui secara pasti sama ada harga barangan yang dibeli itu akan menjurus kepada yang haram atau tidak.

Di sini kita mengingatkan bahawa Syarak secara dasarnya membolehkan orang Islam berjual beli dengan orang kafir walaupun dengan kafir harbi yang diperangi.

Di samping itu perlu dilihat kebaikan (maslahat) atau keburukan (mudarat) yang akan terhasil daripada boikot tersebut. Boikot hanya dibolehkan sekiranya kebaikan dan maslahat mendominasi keburukan dan mudarat.

Adapun memboikot barangan orang kafir yang dijual oleh agen jualan muslim atau barangan francais orang kafir yang kilang atau kedainya dimiliki oleh orang muslim, ia jelas memudaratkan peniaga muslim itu berbanding orang kafir.

Tidak dinafikan bahawa terdapat kemungkinan bahawa syarikat pengeluar induk kafir juga akan terkesan sedikit sebanyak. Tetapi di sini kita mengingatkan bahawa kesan mudarat boikot akan dirasai oleh peniaga muslim secara langsung dan secara pasti berbanding syarikat induk kafir yang mungkin akan terkesan dan mungkin tidak. Di sini perkara yang yakin dan pasti perlu diraikan dan didahulukan berbanding perkara yang tidak pasti. Dalam keadaan ini boikot tidak wajar dilakukan kerana mudaratnya lebih kepada orang Islam berbanding orang kafir.

PENUTUP

Semoga dengan penjelasan ini ia akan dapat memberi sedikit sebanyak panduan buat Umat Islam dalam memboikot barangan orang kafir. Orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani adalah musuh ketat Umat Islam sejak dahulu hingga sekarang. Dalam masa yang sama Umat Islam perlu bertindak bijak dalam apa jua rancangan dan tindakan mereka. Panduan dan petunjuk Syarak perlu didahulukan dan bukan emosi dan perasaan. Bertindak melulu semata-mata atas perasaan marah dan benci tentu membawa kesan yang buruk. Akhirnya apa yang diharapkan tidak kecapaian mudarat pula yang mendatang.


وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 24 Ramadan 1435H / 22 Julai 2014

Idrissulaiman@yahoo.com

[1] Kafir Zimmi adalah orang kafir yang menetap di negara Islam secara tetap dengan keamanan yang diberikan kepadanya secara berterusan;

Kafir Mu’ahad adalah orang kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam untuk tidak berperang untuk tempoh yang tertentu;

Kafir Musta’man adalah orang Kafir Harbi yang memasuki negara Islam dengan keamanan sementara yang diberikan kepadanya untuk tujuan yang tertentu; dan

Kafir Harbi adalah orang kafir yang diperangi dan tidak ada perjanjian perdamaian antara mereka dan orang Islam.

[2] Barangan Keperluan Asas adalah barangan yang ketiadaannya akan mengancam kehidupan manusia.

Barangan Keperluan Sampingan adalah barangan yang ketiadaannya akan menyebabkan kesempitan dan kesukaran buat manusia.

Barangan Kehendak adalah barangan yang ketiadaannya akan menyebabkan manusia tidak dapat hidup selesa (Al-Muawaqaat oleh Imam Al-Syatibi, 2/8) .


Post a Comment

0 Comments