APA ITU ZUHUD?

Oleh: Ustaz Ammi Nur Baits 

Apa itu Zuhud? Dan bagaimana caranya agar kita boleh Zuhud?

Ibn Qayyim menyebutkan definisi zuhud dan wara’ sepertimana yang pernah beliau dengar dari gurunya, Syeikhul Islam Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam, Ibn Qayyim mengatakan,


سمعت شيخ الإسلام ابن تيمية قدس الله روحه يقول : الزهد ترك ما لا ينفع في الآخرة والورع : ترك ما تخاف ضرره في الآخرة

Saya mendengar Syeikhul Islam – semoga Allah mensucikan rohnya – pernah mengatakan,

“Zuhud adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat untuk kehidupan akhirat.” Dan “Wara’ adalah meninggalkan sesuatu yang dikhawatiri membahayakan bagi kehidupan di akhirat.”

Kemudian Ibn Qayyim menegaskan,


وهذه العبارة من أحسن ما قيل في الزهد والورع وأجمعها

Ungkapan ini adalah definisi terbaik dan paling mewakili untuk kata zuhud dan wara’. (Madarij as-Salikin, 2/10).

Berdasarkan pengertian di atas, zuhud lebih tinggi darjatnya dibandingkan wara’. Ini kerana zuhud pastinya wara’ dan tidak sebaliknya.

Zuhud dalam al-Quran

Sebahagian ulama menyebutkan bahawa zuhud telah Allah jelaskan dalam al-Quran melalui ayat-Nya,


لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آَتَاكُمْ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.  (Al-Hadid: 23)

Memahami ayat di atas, Imam al-Junaid mengatakan,


فالزاهد لا يفرح من الدنيا بموجود ولا يأسف منها على مفقود

Orang yang zuhud tidak menjadi bangga kerana memiliki dunia dan tidak menjadi sedih kerana kehilangan dunia. (Madarij as-Salikin, 2/10).

Zuhud Tidak Harus Miskin

Zuhud adalah amalan hati, sehingga yang boleh menilai hanya Allah. Kerana itu, kita tidak boleh menilai status seseorang itu zuhud atau tidak dengan hanya bersandarkan kepada kepada penampilan luaran semata-mata. Kekayaan dan harta yang dimiliki, bukan kayu ukur zuhud. Seseorang Muslim boleh menjadi zuhud, sekalipun Allah memberikan dirinya dengan kekayaan yang banyak dan melimpah ruah kepadanya.

Kita pastinya tidak menafikan bahawa para Nabi yang Allah diberi kerajaan, seperti Nabi Yusuf, Nabi Daud, atau Nabi Sulaiman, kesemua mereka ini adalah manusia-manusia yang sangat zuhud.

Allah berfirman tentang sifat Nabi Daud,


وَاذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُودَ ذَا الْأَيْدِ إِنَّهُ أَوَّابٌ

"....ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya) sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami)." (Shad: 17)

Allah juga berfirman tentang Nabi Sulaiman,


وَوَهَبْنَا لِدَاوُودَ سُلَيْمَانَ نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ

"Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat)". (Shad : 30)

Kemudian, Allah berfirman tentang Nabi Ayub,


إِنَّا وَجَدْنَاهُ صَابِرًا نِعْمَ الْعَبْدُ إِنَّهُ أَوَّابٌ

“Kami mendapati Nabi Aiyub itu seorang yang sabar ia adalah sebaik-baik hamba sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).” (Shad : 44).

Maka perhatikanlah, ketiga-tiga nabi yang mulia ini diuji dengan ujian yang berbeza. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam diuji dengan kekayaan, sementara Nabi Ayub diuji dengan kemiskinan.

Kaedah Menjadi Zuhud

Hasan al-Bashri – ulama dizaman tabii’in – pernah ditanya,


ما سر زهدك فى الدنيا ؟

“Apa rahsia zuhud anda terhadap dunia?”

Beliau menjawab,


علمت بأن رزقى لن يأخذه غيرى فاطمأن قلبى له , وعلمت بأن عملى لا يقوم به غيرى فاشتغلت به , وعلمت أن الله مطلع على فاستحييت أن أقابله على معصية , وعلمت أن الموت ينتظرنى فأعددت الزاد للقاء الله

Aku yakin bahawa rezekiku tidak akan diambil orang lain, sehingga hatiku tenang dalam mencarinya. Aku yakin bahawa amalku tidak akan diwakilkan kepada orang lain, sehingga aku sendiri yang sibuk menjalankannya. Aku yakin bahawa Allah selalu mengawasi diriku, hingga aku malu membalas pengawasannya dengan melakukan maksiat. Aku yakin bahawa kematian menantiku. Sehingga aku siapkan bekalan untuk bertemu Allah…

Semoga Allah membimbing kita untuk mengambil sebahagian dari sifat zuhud itu.

Allahu a’lam.

Post a Comment

1 Comments

  1. Bg aku,
    Zuhud adalah bila seseorg itu mengutamakan akhirat atas dunianya.
    Wara' pula bila bersungguh sungguh menjaga batas batas agama.

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.