Isteri-isteri Nabi Muhammad ﷺ adalah wanita-wanita yang mulia di dunia dan di akhirat. Mereka akan tetap mendampingi Nabi ﷺ sehingga di syurga nanti. Mereka juga merupakan ibu dari orang-orang yang beriman, kerana itu sebutan ummul mukminin senantiasa disematkan di nama-nama mereka. Allah Ta’ala berfirman,
النَّبِيُّ أَوْلَىٰ بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ
Jika isteri-isteri Nabi Muhammad ﷺ adalah ibu orang-orang yang beriman, maka amat pelik lagi malang sekiranya kita yang mengakui beriman kepada Rasul-Nya tidak mengenali ibu kita sendiri. Berikut adalah profil ringkas 11 isteri Nabi Muhammad ﷺ.
1. Khadijah binti Khuwailid.
Ummul mukminin Khadijah radhiallahu ‘anha adalah wanita Quraisy yang terkenal dengan kemuliaannya, baik dari sisi nasab mahpun akhlaknya. Nasabnya bertemu dengan Nabi pada generasi datuk kelima, kerana itu beliau adalah isteri Nabi yang memiliki kekerabatan paling dekat dengan Nabi ﷺ.
Dilahirkan pada tahun 68 sebelum hijrah, ibunda Khadijah sempat mengalami fasa jahiliyah namun hal itu tidak mempengaruhi perangai dan keperibadiannya yang mulia. Beliau adalah wanita pertama, bahkan orang pertama yang beriman kepada kerasulan suami, Rasulullah ﷺ. Tidak ada sedikit pun kalimat-kalimat penolakan, mendustakan risalah, atau yang membuat Nabi ﷺ sedih. Di saat-saat Nabi ﷺ mula menerima wahyu yang berat, Khadijahlah yang selalu memberikan semangat dan menguatkan hati Rasulullah ﷺ.
Ketika berusia 4o tahun, Khadijah dinikahi Nabi ﷺ. Pernikahan itu terjadi pada tahun 25 sebelum hijrah, dan saat itu suami yakni Rasulullah ﷺ pun genap berusia 25 tahun. Rumah tangga yang suci ini berkekalan selama 25 tahun. Dan keduanya dianugerahi 6 orang anak; 2 lelaki dan 4 perempuan. Mereka adalah Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Qultsum, dan Fatimah.
Ummul mukminin, Khadijah radhiallahu ‘anha wafat pada usia 65 tahun, 3 tahun sebelum hijrah Nabi ﷺ ke Madinah.
2 .Saudah binti Zam’ah
Saudah binti Zam’ah adalah seorang wanita Quraisy dari Bani ‘Amir. Sebahagian sejarahwan menyatakan tidak ada catatan yang boleh dijadikan rujukan yang kuat mengenai tahun kelahiran beliau. Ummul mukmini Saudah binti Zam’ah radhiallahu ‘anha adalah janda dari sahabat Baginda ﷺ, as-Sakran bin Amr radhiallahu ‘anhu. Bersama as-Sakran beliau (Saudah) memiliki 5 orang anak.
Kerana itu tidak diketahui usianya saat beliau bernikah dengan Nabi ﷺ dan berapa tahun usianya ketika wafat. Namun ada yang mengatakan bahawa usia Saudah saat menikah dengan Nabi adalah 55 tahun. Saudah dinikahi oleh Nabi ﷺ pada tahun ke 3 sebelum hijrah.
Pernikahan Nabi ﷺ dengan Saudah binti Zam’ah bagi menghilangkan fitnah yang dilemparkan kepada Nabi ﷺ yang mana pada ketika itu Nabi ﷺ dirudung dengan kedukaan ekoran kewafatan isterinya, Khadijah radhiallahu anha. Khoulah binti Hakim datang menyarankan agar baginda ﷺ menikah. Khoulah mencadangkan dua nama iaitu Saudah atau Aisyah. Lalu Rasulullah ﷺ memilih Saudah binti Zam’ah. Beliau memilih wanita yang tua usianya dibanding Aisyah yang masih muda. Setelah pernikahan itu berusia lebih 3 tahun, barulah Nabi menikahi Aisyah. Kalau tuduhan orang-orang yang dengki terhadap Islam itu benar, niscaya beliau lebih mengutamakan wanita-wanita muda dan gadis untuk dijadikan pendamping baginda ﷺ setelah Khadijah.
Ummul mukminin Saudah binti Zam’ah wafat di akhir pemerintahan Umar bin al-Khattab pada tahun 54 H.
3. Aisyah binti Abu Bakar
Salah satu isteri Nabi ﷺ yang paling dikenali oleh umatnya adalah Aisyah radhiallahu ‘anha. Ummul mukminin Aisyah memiliki banyak keistimewaan yang tidak dimiliki oleh ummahatul mukminin yang lain. Di antaranya, dialah satu-satunya isteri Nabi ﷺ yang Allah turunkan wahyu dari atas langit ketujuh untuk membela kehormatannya. Bukan satu atau dua ayat, tetapi Allah firmankan 10 ayat (An-Nur: 11-20) yang membela kehormatan Aisyah radhiallahu ‘anha dan terus-menerus dibaca hingga hari kiamat. Menodai kehormatan Aisyah sama saja mengingkari Alquran. Oleh kerana itu, para ulama memfatwakan kafir bagi orang-orang yang merendah-rendahkan kehormatan Aisyah radhiallahu ‘anha.
Ummul mukminin Aisyah radhiallahu ‘anha dilahirkan pada tahun ke-7 sebelum hijrah. Beliau adalah seorang wanita Quraisy, seorang puteri dari lelaki yang paling mulia setelah para nabi dan rasul, iaitu Abu Bakar ash-Siddiq radhiallahu ‘anhu dan ibunya adalah Ummu Ruman radhiallahu ‘anha.
Sebelum menikahi Aisyah, Rasulullah ﷺ melihatnya 3 malam berturut-turut dalam mimpinya dan mimpi Nabi adalah wahyu. Baginda ﷺ menuturkan mimpinya,
رأيتُك في المنام ثلاث ليال ، جاء بك الملك في سرقة من حرير، فيقول : هذه امرأتك فأكشف عن وجهك فإذا أنت فيه، فأقول : إن يك هذا من عند الله يُمضه
Maka, tindakan Nabi ﷺ menikahi Aisyah adalah disebabkan perintah dari Allah Ta’ala.
Aisyah dinikahi oleh Rasulullah ﷺ saat beliau berusia 9 (dihitung sejak Rasulullah ﷺ bercampur dengan Aisyah) tahun dan rumah tangga yang suci ini berlangsung selama 9 tahun pula. Aisyah menuturkan,
تزوجني رسول الله صلى الله عليه وسلم لست سنين ، وبنى بي وأنا بنت تسع سنين
Umur Aisyah yang sangat muda menjadi polemik di masa kini. Kerana orang-orang sekarang menimbang masa lalu dengan kaca mata masa kini. Padahal tidak ada satu pun orang-orang kafir Quraisy, Abu Jahal dan lain-lain lagi, mencela pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Aisyah. Kita ketahui bahawa orang-orang kafir Quraisy telah berusaha dan mengerahkan segala macam cara untuk menjatuhkan kedudukan Rasulullah ﷺ, hingga fitnah yang di luar logik akal pun akan mereka lakukan demi merosakkan imej Rasulullah ﷺ di tengah manusia. Mereka menyebut beliau pendusta dan tukang sihir setelah mereka sendiri menggelarinya dengan gelaran al-amin. Ertinya, disini jika Abu Jahal dan lain-lain mahu menjatuhkan kredibiti Rasulullah ﷺ, pastinya alasan ini akan digunakan. Namun kita dapati bahawa Abu Jahal tidak pula mencela Rasulullah ﷺ yang menikahi Aisyah pada usia yang masih sangat muda, kerana ianya adalah sebahagian dari budaya semasa pada zaman tersebut.
Salah satu hikmah dari pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Aisyah radhiallahu ‘anha adalah menghapus tanggapan orang-orang terdahulu yang menjadi norma yang dipercayai di antara mereka iaitu ketika seseorang sudah bersahabat dengan rapat, maka status mereka selayaknya adalah saudara kandung dan berlaku hukum-hukum saudara kandung. Rasulullah ﷺ adalah sahabat rapat kepada Abu Bakar. Ketika Rasulullah ﷺ hendak menikahi Aisyah, Abu Bakar sempat mempertanyakannya, kerana dia merasa apakah yang demikian dihalalkan.
عن عروة أن النبي صلى الله عليه وسلم خطب عائشة إلى أبي بكر فقال له أبو بكر: إنما أنا أخوك، فقال: أنت أخي في دين الله وكتابه وهي لي حلال.
Rasulullah ﷺ hendak memutus kesalahfahaman ini dan mengajarkan hukum yang benar yang akan terus berjalan sehingga hari kiamat kelak.
Saat Aisyah radhiallahu ‘anhu baru mencapai usia 18 tahun, di pangkuannya, sang suami tercinta Rasulullah ﷺ wafat meninggalkannya untuk selamanya. Dan saat berusia 65 tahun pula barulah dia pula menyusul sang kekasih pujaan hati. Dengan demikian, selama 47 tahun Aisyah hidup sendiri tanpa suami.
4. Hafshah binti Umar bin al-Khattab.
Wanita Quraisy yang berikutnya yang juga termasuk dalam senarai ibu orang-orang yang beriman adalah Hafshah, puteri dari Umar al-faruq. Hafshah dilahirkan pada tahun ke-18 sebelum hijrah. Sebelum menikah dengan Rasulullah ﷺ, Hafshah adalah isteri dari seorang pahlawan Perang Badar, Khunais bin Khudzafah as-Sahmi radhiallahu ‘anhu. Bersama Khunais, Hafshah mengalami dua kali hijrah, ke Habasyah untuk kali pertama dan kali kedua ke Madinah. Khunais radhiallahu ‘anhu wafat kerana luka yang dia alami ketika saat Perang Badar.
Setelah Khunais radhiallahu ‘anhu wafat, Umar berusaha mencarikan lelaki terbaik untuk menjadi suami kepada puterinya ini. Dia mendatangi Abu Bakar dan Utsman, namun keduanya bukanlah jodoh bagi anak perempuannya. Lalu Rasulullah ﷺ meminang Hafshah. Betapa bahagianya Umar, selain menjadi sahabat Rasulullah ﷺ, dia pun mendapatkan kehormatan dengan memiliki hubungan kekerabatan dengan Nabi ﷺ yang mulia.
Pernikahan Hafshah dengan Rasulullah ﷺ terjadi pada tahun ke-3 H. Ketika itu usia Hafshah adalah 21 tahun. Dia hidup bersama Rasulullah ﷺ, dan membina keluarga bersama Rasulullah ﷺ selama 8 tahun. Saat usianya menginjak 29 tahun, Rasulullah ﷺ wafat. Dan Hafshah wafat pada usia 63 tahun tahun 45 H, pada masa pemerintahan Utsman bin Affan radhiallahu ‘anhu.
5. Zainab binti Khuzaimah.
Keistimewaan ummul mukminin Zainab binti Khuzaimah adalah kegemarannya menderma sesuatu kepada orang-orang yang kurang bernasib baik. Kerana hal ini, dia dijuluki dengan gelaran ibu bagi orang-orang miskin. Zainab binti Khuzaimah adalah seorang wanita Quraisy janda dari pahlawan Perang Uhud, Abdullah bin Jahsy radhiallahu ‘anhu.
Setelah menjanda, Rasulullah ﷺ menikahinya di bulan Ramadhan pada tahun 3 H. Namun mahligai yang dibina bersama dengan Rasulullah ﷺ tidaklah lama. Ummul mukminin Zainab bin Khuzaimah wafat ketika usia pernikahannya dengan dengan Rasulullah ﷺ baru berginjak 8 bulan atau mungkin kurang dari itu. Dan saat itu usia Zainab radhiallahu ‘anha 30 tahun. Dengan demikian Rasulullah ﷺ dua kali merasai pengalaman berhadapan dengan situasi wafat ditinggalkan isteri.
6. Ummu Salamah.
Nama sebenar Ummu Salamah adalah Hindun binti Umayyah. Dia adalah wanita Bani Makhzum, anak dari salah seorang yang paling dermawan dari kalangan Quraisy, Umayyah bin al-Mughirah. Sebelum menikah dengan Rasulullah ﷺ, beliau bernikah dengan seorang muhajirin yang pertama memeluk Islam, iaitu Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi al-Qurasyi.
Ummu Salamah dilahirkan pada tahun ke 24 sebelum hijrah. Nabi ﷺ menikahinya pada tahun ke 4 H. Saat itu usianya menginjak 28 tahun. Hikmah dari pernikahan Nabi ﷺ dengan Ummu Salamah adalah pemuliaan terhadap Ummu Salamah radhiallahu ‘anha. Dia dan suaminya adalah orang yang memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam sebagai orang-orang pertama yang menyambut dakwah Islam. Ummu Salamah juga memiliki 4 orang anak yang menjadi yatim. Nabi ﷺ menjadi penanggungnya dan keempat anaknya.
Ummu Salamah radhiallahu ‘anha memiliki usia cukup panjang, iaitu 85 tahun. Dia wafat pada tahun 61 Hihrah, pada saat pemerintahan Yazid bin Muawiyah.
7. Zainab binti Jahsi.
Ummul Mukminin Zainab binti Jahsi dilahirkan pada tahun 32 sebelum hijrah. Ibunya adalah Umaimah binti Abdul Muthalib, ibu saudara Rasulullah ﷺ. Ummul mukminin Zainab binti Jahsi adalah wanita terhormat saudari dari Abdullah bin Jahsi, sang pahlawan Perang Uhud yang dimakamkan satu liang dengan bapa saudara Nabi ﷺ, Hamzah bin Abdul Muthalib radhiallahu ‘anhu.
Sebelum menjadi isteri Rasulullah ﷺ, Zainab adalah isteri dari anak angkat Nabi yakni Zaid bin Haritsah radhiallahu ‘anhu. Pernikahan keduanya tidak berjalan lama kerana perbezaan kufu (taraf). Akhirnya perceraian pun terjadi.
Lalu Zainab dinikahi Nabi ﷺ. Ketika itu, Zainab berusia 37 tahun. Rumah tangga Rasulullah ﷺ dengan Zainab berjalan selama 6 tahun, sehingga Rasulullah ﷺ wafat. Di antara keistimewaan Zainab binti Jahsi radhiallahu ‘anha adalah Allah Ta’ala yang menjadi wali kepadanya saat menikahi dengan Rasulullah ﷺ.
Di antara hikmah pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Zainab adalah meluruskan budaya yang dikelirukan oleh masyarakat pada masa itu. Orang-orang saat itu beranggapan bahawa anak angkat sama statusnya dengan anak kandung. Anggapan ini tentu saja akan melibatkan kepada hukum-hukum syariat yang lainnya; waris, mahram, pernikahan, dan lain-lain lagi. Tradisi dan anggapan ini kian mengakar dalam masyarakat Islam pada saat itu sehingga perlu diluruskan. Kerana itu, Allah Ta’ala memerintahkan Nabi ﷺ untuk menikahi Zainab binti Jahsi radhiallahu ‘anha, untuk menghapus anggapan demikian. Jika tidak anggapan ini akan semakin memberatkan bagi umat manusia, secara khusus lagi umat Islam.
Ummul mukminin Zainab binti Jahsi radhiallahu ‘anha wafat pada masa pemerintahan Umar bin al-Khattab tahun ke 21 H pada usia 53 tahun.
8. Juwairiyah binti al-Harits bin Abi Dhirar.
Ummul mukminin Juwairiyah binti al-Harits al-Kuza’iyah al-Qurasyiyah dilahirkan tahun ke 14 sebelum hijrah. Dia adalah wanita yang sangat cantik dan memiliki kedudukan mulia di tengah kaumnya. Ayahnya, al-Harits bin Abi Dhirar, adalah ketua kabilah Bani Musthaliq.
Suatu hari, al-Harits bin Abi Dhirar mengumpulkan pasukan untuk menyerang Rasulullah ﷺ. Mendengar khabar tersebut, Rasulullah ﷺ segera bertindak pantas dan bertemulah kedua pasukan di sebuah oasis yang dikenali dengan Muraisi’. Peperangan itu dimenangi oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabatnya. Al-Harits bin Abi Dhirar terbunuh dalam peperangan tersebut manakala Juwairiyah bin al-Harits menjadi tawanan.
Juwairiyah diserahkan kepada Tsabit bin Qais bin Syammas yang masih memiliki hubungan kekerabatan dengannya. Namun Juwairiyah tidak menerima hal ini. Dia datang kepada Nabi ﷺ dan bersedia menebus dirinya. Lalu Nabi ﷺ menawarkan tawaran yang lebih terhormat daripada hal itu. Nabi ﷺ menawarkan diri baginda untuk menikahi Juwairiyah. Dengan gembira Juwairiyah menerima tawaran Nabi ﷺ.
Hikmah dari pernikahan Nabi ﷺ dengan Juwairiyah adalah untuk menakluki hati Bani Musthliq agar menerima dakwah Islam. Lantaran pernikahan ini, para sahabat membebaskan tawanan-tawanan Bani Mustaliq yang jumlahnya sekitar 100 keluarga. Para sahabat tidak rela kerabat Rasulullah ﷺ menjadi tawanan. Aisyah radhiallahu ‘anha pun memuji Juwairiyah sebagai wanita yang penuh keberkahan untuk kaumnya.
Pernikahan Rasulullah ﷺ dengan Juwairiyah berlangsung pada tahun ke-5 H. Saat itu ummul mukminin Juwairiyah binti al-Harits radhiallahu ‘anha berusia 19 atau 20 tahun. Rumah tangga yang nubuwah lagi bahagia ini berlangsung selama 6 tahun.
Ummul mukminin Juwairiyah binti al-Harits wafat pada tahun 56 H saat beliau berusia 70 tahun.
9. Shafiyah binti Huyai bin Akhtab.
Sebelum memeluk Islam, Ummul mukminin Shafiyah binti Huyai adalah seorang wanita Yahudi dari Bani Nadhir. Ayahnya, Huyai bin Akhtab, adalah tokoh terkemuka di kalangan Yahudi dan termasuk ulama Yahudi di masa itu. Nasab ummul mukminin Shafiyah radhiallahu ‘anha bersambung sampai Nabi Harun bin Imran ‘alaihissalam. Jadi beliau adalah wanita dari kalangan Bani Israil. Ummul mukminin Shafiyah lahir pada tahun 9 sebelum hijrah.
Setelah Bani Nadhir diusir dari Madinah, mereka berhijrah menuju ke perkampungan Yahudi di Khaibar. Dalam Perang Khaibar, Allah Ta’ala memenangkan kaum muslimin. Banyak harta rampasan perang dan tawanan yang dikuasai oleh kaum muslimin. Di antara mereka adalah Shafiyah binti Huyai. Awalnya, Shafiyah termasuk rampasan perang perang yang diserahkan kepaa sahabat yang mulia, yang mana Malaikat Jibril sering datang dalam bentuk fizikalnya iaitu Dihyah bin Khalifah radhiallahu ‘anhu. Namun kerana kedudukan Shafiyah, ada seorang sahabat yang datang mengajukan agar Rasulullah ﷺ menerima Shafiyah. Kemuliaan Shafiyah sebagai wanita bangsawan Bani Quraizhah dan Bani Nadhir hanya layak digandingkan dengan Rasulullah ﷺ.
Setelah menerima Islam, Rasulullah ﷺ menikahi Shafiyah. Pernikahan dilangsungkan pada tahun 8 H. Rumah tangga yang mulia ini berlangsung selama 4 tahun sehingga wafatanya Nabi ﷺ.
Hikmah pernikahan ini ialah, Islam menjaga kedudukan seseorang itu. Islam tidak tidak merendahkannya malah menjadikannya semakin mulia. Siapa yang mulia sebelum Islam, maka dia juga dimuliakan setelah memeluk Islam.
Ummul mukminin Shafiyah binti Huyai wafat pada tahun 50 H pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan radhiallahu ‘anhu. Saat itu beliau berusia 59 tahun.
10. Ummu Habibah.
Nama Ummu Habibah yang sebenar ialah Ramlah binti Abu Sufyan. Beliau dilahirkan pada tahun 25 sebelum hijrah. Dia merupakan puteri dari salah seorang tokoh Quraisy yakni Abu Sufyan bin Harb radhiallahu ‘anhu.
Ummu Habibah radhiallahu ‘anha masuk Islam terlebih dahulu berbanding ayahnya dan saudara lelakinya, Muawiyah bin Abu Sufyan. Bersama suaminya Ubaidullah bin Jahsi dia berhijrah ke negeri Habasyah. Namun sayang, ketika di Habasyah, suaminya murtad - berpindah agama menjadi seorang Nasrani. Ummu Habibah berhadapan dengan situasi yang pahit, apakah dia harus turut bersama suaminya menjadi Nasrani atau dia terus menetap di Habasyah dan hidup dalam pengasingan, atau kembali ke Makkah dalam kekangan sang ayah yang tatkala itu masih kafir.
Akhirnya khabar gembira tak terduga datang menghampiri Ummu Habibah. Melalui an-Najasyi, Rasulullah ﷺ melamarnya. Pernikahan pun dijalankan, namun ada sesuatu yang berbeza dengan pernikahan ini, ketika itu pernikahan dijalankan dengan mewakilkan an-Najasyi. Ini kerana Rasulullah ﷺ berada di Madinah. Pada tahun 6 atau 7 H, barulah Ummu Habibah radhiallahu ‘anha tiba di Madinah. Saat itulah kehidupan rumah tangganya bersama Rasulullah ﷺ dimulai. Usia rumah tangga ini berjalan selama lebih kurang 4 tahun dan berakhir dengan kewafatan Nabi ﷺ.
Ummu Habibah wafat pada tahun 69 H pada usia 44 tahun.
11. Maimunah binti al-Harits bin Hazn.
Ummul mukminin Maimunah binti al-Harits dilahirkan pada tahun 29 sebelum hijrah. Dia adalah saudara dari Ummu al-Fadhl, isteri bapa saudara Nabi, al-Abbas bin Abdul Muthalib. Dia juga merupakan ibu saudara dari Abdullah bin Abbas dan Khalid bin al-Walid radhiallahu ‘anhuma.
Maimunah binti al-Harits adalah wanita terakhir yang dinikahi oleh Nabi ﷺ. Saat menikah dengan Nabi ﷺ, dia telah berusia 36 tahun. Nabi menikahinya pada tahun ke 7 H, satu tahun setelah perjanjian Hudaibiyah.
Hikmah dari pernikahan Nabi ﷺ dengan ummul mukminin Maimunah adalah menundukkan hati Bani Hilal untuk menerima Islam, kemudian meneguhkan keIslaman mereka.
Pada saat mengadakan safar antara Makkah dan Madinah, iaitu pada tahun 51 H, ummul mukmini Maimunah binti al-Harits wafat. Usia beliau saat pada ketika itu adalah dalam lingkungan 80 atau 81 tahun.
Tambahan
Mariyah al-Qibtiyah
Mariyah al-Qibtiyah radhiallahu ‘anha sering dinyatakan oleh sebahagian orang bahawa dia termasuk di antara ummahatul mukminin. Namun yang lebih tepat, beliau tidak termasuk dari kalangan ummahatul mukminin. Seorang wanita dikatakan ummahatul mukminin apabila Nabi ﷺ mengikat akad pernikahan dengannya dan menggaulinya, walaupun kemudian bercerai. Dengan demikian, wanita yang dinikahi Rasulullah ﷺ akan tetapi belum digaulinya, maka dia tidak disebut sebagai ummahatul mukminin. Sama halnya dengan seorang wanita yang digauli Rasulullah ﷺ bukan kerana ikatan pernikahan –kerana dia adalah hamba (Taraf Hamba berbeza dengan taraf isteri)-, maka dia tidak disebut sebagai ummahatul mukminin.
Dari sini, kita mengetahui bahwa Mariyah al-Qibtiyah bukanlah ummahatul mukminin, kerana Nabi ﷺ tidak mengikat akad pernikahan dengannya.
Hikmah dan Tujuan Pernikahan Nabi
Setelah membaca 11 biografi singkat ibu-ibu orang yang beriman ini, kita boleh memberikan suatu kesimpulan bahawa pernikahan Nabi ﷺ bukanlah berorientasi seksual. Kita boleh memahami bahawa pernikahan baginda ﷺ memiliki beberapa hikmah:
a) Politik dan dakwah: seperti menikahi anak-anak ketua kabilah agar kabilah tersebut menerima Islam dan semakin menguatkan kedudukan umat Islam di tanah Arab.
b) Sosial: seperti menikahi janda, Rasulullah ﷺ menjadi pelindung dan penanggung keperluan mereka dan anak-anaknya.
c) Syariat: mengubah adat istiadat yang bertentangan dengan syariat. Dari sini kita ketahui, ketika adat istiadat bertentangan dengan syariat, adat istiadatlah yang tunduk kepada syariat bukan syariat yang perlu tunduk dan harus mengikut adat istiadat setempat.
Dipetik dari : Kisahmuslim.com
1 Comments
Ummul mukminin, Khadijah radhiallahu ‘anha wafat pada usia 65 tahun, 3 tahun sebelum hijrah Nabi ﷺ ke Madinah. Nabi berhijrah di usia 40 tahun...mohon admin kaji balik...
ReplyDeleteبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.