MASYARAKAT MADINAH PASCA HIJRAH

Model Masjid Nabi Yang Asal Dan Kedudukan Rumah Rasulullah S.A.W 
Transliterasi oleh : Jebat

Hijrah bukan semata-mata menyelamatkan diri dari gangguan orang-orang kafir atau berpindah dari negeri kufar, akan tetapi, makna hijrah yang lebih jauh adalah berkumpul dan tolong-menolong untuk menegakkan jihad fi sabilillah untuk meninggikan kalimat Allah dengan menyebarkan ilmu, amal, dan dakwah serta memerangi setiap orang yang menghalangi jalan dakwah.

Oleh kerana itu, setelah Rasulullah ï·º menetap di negeri hijrah –Madinah-, baginda ï·º dan para sahabat tidak sepi dari aktiviti membangunkan masyarakat yang Islami. Madinah adalah negeri yang paling aman bagi menyebarkan dakwah. Ianya jauh berbeza dari suasana Makkah. Hal ini kerana Madinah adalah kota oran-orang Ansar. Mereka ini adalah penolong-penolong agama Allah, sedangkan Makkah pula adalah tempat orang-orang kafir yang merupakan musuh Allah, Rasulullah, Islam, dan kaum muslimin.

Secara umumnya, selepas berlakunya penghijrahan, Madinah kini memiliki campuran komposisi masyarakat yang lebih majmuk. Muhajirin dan Ansar. Kedua kaum ini mempunyai latar belakang dan adat istiadat yang berbeza sekaligus menimbulkan masalah baru yang memerlukan jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang berbangkit. 

Madinah pada ketika itu terdiri daripada tiga kaum dan sekaligus tiga agama, iaitu: kaum muslimin yakni orang Ansar, orang-orang musyrik dari bangsa Arab, dan Yahudi. Kaum Yahudi sendiri terdiri atas tiga kabilah iaitu: Bani Qainuqa, Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Orang-orang Yahudi ini berasal dari Syam (sekarang Syiria, Jordan, Lubnan, dan Palestin). Mereka datang dan bermukim di Madinah kerana ditindas dan diusir oleh orang Roman yang beragama Nasrani disebab kejahatan Yahudi yang memandang hina semua umat lain selain mereka. Selain itu juga mereka mengetahui berita akan datangnya seorang nabi serta mengetahui tempat hijrah bersandarkan kepada wahyu Allah dalam kitab-kitab mereka. Mereka datang sesuai dengan niat dan janji mereka bahawa mereka akan mengikuti Nabi tersebut jika nabi tersebut muncul. Akan tetapi, setelah muncul nabi ini (yakni Rasulullah ï·º) mereka kafir (mengingkari) kerana iri dan dengki akibat fanatik jahiliah kesukuan; kerana Baginda ï·º –nabi yang mereka nanti-nantikan- tidak berasal dari golongan mereka - Bani Israil.

Meskipun masyarakat Madinah terdiri dari tiga penganut agama, namun begitu kuasa pemerintahan adalah di bawah Rasulullah ï·º sekalipun orang-orang Yahudi dan musyrik itu sudah memiliki para pemimpin dan ulama masing-masing. Orang-orang musyrik tidak memiliki kekuasaan atas kaum muslimin. Mereka berada dalam diantara ragu-ragu dan yakin terhadap ajaran Islam, namun mereka tidak sanggup menampakkan permusuhan kepada Islam yang pada akhirnya mereka memeluk agama Islam. Di antara mereka, hanya ada sebahagian yang menyembunyikan kedengkian dan permusuhan terhadap Islam. Akan tetapi disebabkan tidak memiliki kekuatan untuk memusuhi Islam secara terang-terangan, seperti Abdullah bin Ubay dan teman-temannya, orang-orang seperti ini terpaksa menampakkan berpura-pura kelihatan cenderung kepada Islam ekoran lemah dan takut kepada kaum muslimin. Setelah perang Badar, dan dengan kemenangan kaum muslimin keatas kafir Quraisy, makin tampaklah kemunafikan mereka. Dimana mereka mengamalkan Islam secara zahir seperti solat, zakat, jihad, dan lain-lainnya atas tujuan untuk melindungi darah dan harta mereka.

Berlainan dengan karakter kaum Yahudi. Sekalipun mereka telah bermukim dan bercampur dengan bangsa Arab –sesuai dengan watak buruk mereka- mereka masih terus menghina bangsa Arab dan bangsa-bangsa selain darinya. Mereka sangat berbangga dan fanatik dengan Israiliah mereka. Mereka menganggap harta orang Arab halal untuk dirampas dan dimakan dengan cara yang zalim. Yahudi sama sekali tidak mengendahkan agama mereka, bahkan agama mereka dijualbelikan untuk tujuan sihir, berdukun, menilik nasib, ramalan, dan lain-lainnya. Mereka menganggap diri mereka sebagai ahli ilmu, mulia, dan ahli rohani. Mereka sangat pandai untuk mencari kekayaan terutama sekali dalam hal-hal yang berkaitan dengan perniagaan dan perindustrian. Mereka paling licik dalam membuat onar, tipu muslihat, bersengkongkol dalam kejahatan, kesombongan, dan kezaliman. Mereka sangat pintar dalam mencipta api permusuhan di antara kabilah-kabilah Arab. 

Peperangan yang berlangsung puluhan tahun tanpa henti antara Aus dan Khazraj adalah bukti nyata kejahatan mereka. Dengan adanya perang ini, mereka mendapat dua faedah, yang pertama, mereka dapat melindungi diri mereka dari bangsa Arab, dan yang kedua, mereka mendapat harta yang banyak dengan memberikan pinjaman berupa barang-barangan dan alatan perang kepada kedua-dua kabilah Arab tersebut. Mereka membuat keuntungan dengan mengenakan riba yang berlipat kali ganda dari pinjaman yang dilakukan oleh kaum yang berperang itu.

Membangunkan Masyarakat Madinah

Secara umumnya, kaum muslimin di Madinah berkuasa penuh sejak awal kedatangan mereka di sana tanpa ada seorang pun yang mampu menguasai mereka. Oleh kerana itu, mereka harus menghadapi tentangan hidup yang baru, mulai dari masalah ekonomi, sosial, politik, undang-undang, sehingga masalah perdamaian dan peperangan. Begitu pula dengan penerapan secara umum ajaran Islam seperti halal dan haram, serta seluruh perintah dan larangan agama dalam segala aspek kehidupan.

Masalah yang dihadapi oleh para sahabat Muhajirin secara khusus adalah keadaan Madinah yang berbeza dengan Makkah. Ketika di Makkah, walaupun mereka bersatu di bawah satu kalimat tauhid dan memiliki tujuan sama, mereka terpencil di rumah-rumah mereka, tertindas dan terusir, serta tidak memiliki kekuasaan sedikit pun. Bahkan kekuasaan mutlak pada ketika itu ada pada musuh mereka, kaum kuffar Quraisy. Oleh kerana itulah, ayat-ayat yang turun di Makkah berkisarkan kepada penjelasan dasar-dasar Islam dan hukum-hukum syariat yang dapat dilakukan secara perseorangan seperti berupa perintah untuk kebaikan dan takwa, akhlak mulia dan menjauhi perbuatan keji. Oleh kerana itu, mereka tidak bersiap sedia untuk membangunkan negeri Islam yang baru di Madinah.

Rasulullah ï·º mula membangunkan kota Madinah dengan melakukan tiga perkara utama iaitu :

1. Membangunkan masjid
2. Mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar, 
3. Dan mengadakan perjanjian damai. 

(Lihat Ar-Rahiqukul-Makhtum, Hal.208-209)

Membangun Masjid

Sebagaimana yang telah diketahui ramai, Rasulullah ï·º menetap di tempat berhentinya kenderaan Baginda, bersesuaian dengan perintah Allah. Tempat tersebut adalah tanah milik dua anak yatim dari Bani Najjar yang diasuh oleh bapa saudara mereka, Asad bin Zurarah. Maka Rasulullah ï·º menawar untuk membelinya. Namun mereka mengatakan, “Akan kami hibahkan kepadamu, wahai Rasulullah.” Akan tetapi, Rasulullah ï·º tidak menerima kecuali dengan harga. (HR. Bukhari, no.3906)

Diriwayatkan bahawa, di tempat tersebut terdapat kubur orang-orang musyrik, bangunan rosak, dan kebun kurma. Maka Rasulullah ï·º memerintahkan agar kubur berkenaan dibongkar, bangunan diratakan, manakala pohon-pohon kurma ditebang dan disusun di arah kiblat masjid (ke arah Baitulmuqaddis, Palestin, sebagai kiblat pertama bagi kaum muslimin sebelum dialihkan ke Ka’bah).

Para sahabat bekerja mengangkut batu giat dan penuh semangat, apalagi Rasulullah ï·º juga turut ikut bekerja bersama mereka sambil melantunkan syair. Rasulullah ï·º bersenandung:

“Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan akhirat maka rahmatilah kaum Ansar dan Muhajirin.” (HR. Bukhari, no.3906)

Di antara para sahabat, yang paling rajin dan kuat adalah Ammar bin Yasir. Ketika tiap-tiap sahabat mengangkat batu bata satu per satu, beliau pula mengangkat dua batu sekaligus, satu batu untuk beliau sendiri dan satu batu untuk Rasulullah ï·º. Maka Rasulullah ï·º mengusap bahu Ammar seraya berkata, “Wahai putera Sumayyah, orang-orang mendapat satu pahala, adapun engkau mendapat dua pahala. Bekalanmu yang terakhir adalah minum susu dan kamu akan dibunuh oleh kelompok yang zalim.” (HR. Muslim, 2236 dan 2916)

Perkataan Rasulullah ï·º ini adalah salah satu tanda dari kenabian, kerana Ammar bin Yasir terbunuh ketika perang yang berpunca dari orang-orang Khawarij (iaitu Perang Siffin) antara Ali dan Mu’awiyah, sedang Ammar bersama pasukan Ali bin Abi Thalib dan yang membunuhnya itu adalah dari pasukan Mu’awiyah. Dan beliau wafat dengan sifat yang disebutkan oleh Rasulullah ï·º dalam hadis di atas, iaitu sebelum terbunuh beliau meminum susu. (Sirah Dr. Mahdi, 1:347)

Bangunan masjid ini tetap dalam keadaan aslinya. Malah sehingga pada masa Abu Bakar, beliau yakni Khalifah Abu Bakar tidak mengubahnya. Pada masa Umar memerintah, beliau mengubah tiang-tiangnya menjadi kayu dan melindungi atapnya dari hujan. Lalu ketika Utsman menjadi khalifah, beliau melakukan banyak perubahan. Beliau membangunkan tembok dengan batu-batu yang berukir dan kayu-kayu yang berasal dari India. (HR. Bukhari, no.448)

Umar bin Khattab melarang menghiasi masjid agar tidak menjadi fitnah manusia. Sedangkan Anas membenci perbuatan memakmurkan masjid dengan cara menghiasi dan mencela manusia kerana tidak memakmurkan masjid dengan solat. (Al-Fath, 3:107)

Ketika awal dibangunnya, Masjid Nabawi ini tidak memiliki mimbar untuk khutbah. Ketika itu Rasulullah ï·º berkhutbah pada batang kurma. Tatkala mimbar untuk Rasulullah ï·º siap dibuat, baginda ï·º menaiki mimbar tersebut untuk berkhutbah, maka kurma tersebut jatuh tersungkur dan merintih mengeluarkan suara kerinduan seperti suara unta yang rindu dan memanggil anaknya. Ini kerana batang kurma itu terharu ketika mendengar khutbah Rasulullah ï·º. Maka Rasulullah ï·º pergi merangkulnya sampai ia tenang seperti tenangnya bayi ketika dibuai. (HR. Bukhari, no.3584-3585)

Alangkah indah apa yang dikatakan oleh Hasan al-Basri setelah meriwayatkan hadis ini lalu beliau berkata, “Batang kurma ini menangis wahai kaum muslimin, ia sebagai kayu merintih dengan suara tangis kerana rindu sebab ditinggalkan oleh Rasulullah ï·º. Bukankah manusia lebih berhak untuk rindu kepada baginda?” (Dala’il Nubuwwah, oleh Al-Baihaqi, 2:559)

Setelah selesai mendirikan banggunan masjid, para sahabat berselisih pendapat tentang bagaimana memanggil kaum muslimin untuk solat berjamaah. Maka pada saat itu, iaitu pada tahun pertama hijrah, diwajibkan azan untuk solat lima waktu. Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Zaid melihat dalam mimpi tentang azan. Lalu beliau mengkhabarkan kepada Rasulullah ï·º. Rasulullah ï·º memerintahkan untuk mengajarkannya kepada Bilal. Lalu Bilal melaungkan azan. Ketika mendengarnya, Umar Al Khathab datang kepada Rasulullah ï·º dan berkata, “Aku melihat dalam mimpi seperti yang dilihat oleh Abdullah bin Zaid.” (Sahih. HR. at-Tirmidzi, 1:61-62)

Sejak saat itu, fungsi Masjid Nabawi yang paling utama adalah untuk menunaikan ibadah kepada Allah dan sebagai tempat untuk perkara-perkara yang penting bagi kaum muslimin seperti:

- Tempat bagi para muhajirin yang miskin, khususnya para pemuda yang belum memiliki rumah; mereka dikenali sebagai ahli shuffah.

- Tempat ta’lim, di mana Rasulullah ï·º mengajarkan kepada kaum muslimin ajaran agama mereka.

- Tempat untuk menerima para utusan kabilah yang datang kepada Rasulullah ï·º.

- Tempat untuk merangka peperangan.

- Tempat pertemuan dan pergaulan para sahabat dengan sesama mereka dan bersama pemimpin mereka : Rasulullah ï·º.


Sumber: Majalah Al-Furqon Edisi 5 Tahun Kelapan Zulhijjah 1429/Disember 2008

Post a Comment

0 Comments