SINGAPURA: Lebih dua pertiga (69 peratus) pekerja di Malaysia percaya mereka mempunyai pekerjaan yang sempurna.
Bagaimanapun, hampir separuh (42 peratus) daripada mereka menjangka peranan mereka akan terhapus dalam beberapa tahun akan datang disebabkan oleh penggunaan teknologi yang semakin meningkat, demikian menurut kaji selidik Suku Kedua Randstad Workmonitor yang dikeluarkan pada Rabu.
Keputusan menunjukkan bahawa pekerja Malaysia adalah antara yang paling tidak yakin di rantau ini bahawa pekerjaan mereka akan terus relevan dengan peningkatan teknologi, selepas India (59 peratus).
"Terdapat tanggapan yang salah bahawa teknologi lama kelamaan akan menghapuskan tenaga kerja, sekali gus menjadikan pekerja tidak relevan dan digantikan oleh komputer. Walaupun ini diakui berlaku bagi sesetengah peranan dalam industri-industri tertentu, namun dalam banyak kes, kemajuan teknologi hanya mengubah sifat pekerjaan dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakannya.
"Kemajuan demikian akan juga mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dalam sektor-sektor yang tidak wujud beberapa tahun lepas," kata Pengarah Randstad Malaysia, Jasmin Kaur.
Pekerja harus kekal relevan dengan meningkatkan kemahiran dan melalui latihan IT selanjutnya, serta memberikan tumpuan kepada kemahiran-kemahiran yang belum boleh dilaksanakan oleh perisian komputer, seperti kreativiti, risikan emosi dan kecekapan manual, tegas beliau.
Kaji selidik sukuan tahun itu menunjukkan lapan daripada 10 (79 peratus)
pekerja di Malaysia hanya menganggap pekerjaan mereka sebagai satu cara mencari rezeki, tidak lebih daripada itu, dan ini merupakan angka yang tertinggi di rantau ini berbanding di Singapura (75 peratus), Hong Kong (74 peratus), China (62 peratus), Australia (67 peratus) dan New Zealand (49 peratus).
Sementara itu, 88 peratus pekerja berkata mereka akan menukar pekerjaan untuk meraih pendapatan yang lebih tinggi.
"Meskipun menjadi perkara biasa bagi sebahagian besar pekerja menganggap pekerjaan mereka sebagai cara mendapatkan wang, khususnya memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, namun penting juga bagi mereka melihatnya dari sudut selain saraan untuk terus mendapat motivasi bekerja. Menganggap pekerjaan mereka sebagai peluang untuk menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat boleh meningkatkan kepuasan bekerja," tegas Kaur.
Tinjauan itu juga mendapati 84 peratus responden mengakui bahawa teknologi memberi impak yang besar ke atas pekerjaan mereka dan 79 peratus pekerja percaya pekerjaan mereka merupakan padanan yang baik bagi latar belakang pendidikan mereka.
Dua pertiga (65 peratus) pekerja merasakan mereka akan melakukan pekerjaan yang serupa tiga tahun dari sekarang, manakala lapan daripada 10 (80 peratus)
responden menganggap pekerjaan sementara sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pekerjaan tetap.
Sebanyak 70 peratus pekerja di Malaysia berpendapat pekerjaan sementara adalah bagi orang muda.
Sumber : Mstar
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.