Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "
NUKILAN
Usman Awang
Biografi Dato' Dr Usman Awang
Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman Awang.
Meniti Ranjau Kehidupan
Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap kejayaan yang lebih baik.
Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura.
Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah. Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka.
Melangkah ke Dunia Persuratan Melayu
Pada tahun 1951, beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf di Melayu Raya selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita. Sesudah itu beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu.
Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Bermula pada Mei 1982,beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Antara Karya Hebat
Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia persuratan Melayu moden dengan penulisan sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Lantaran keistimewaan yang ada dalam sajaknya yang menarik, ia acap kali menjadi pilihan anak-anak sekolah juga masyarakat awam dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular ialah Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan, dan Salam Benua. Manakala novel penulisannya yang masyhur sehingga kini ialah Tulang-tulang Berserakan. Begitu juga dengan cerpennya yang hebat seperti Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan sebagainya. Di samping itu, drama beliau yang bertajuk Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam turut dipentaskan.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.