Ulama’ ialah golongan yang berkedudukan mulia atas sebab keilmuannya terutamanya dalam ilmu agama. Agamawan pula terasa ‘kononnya mulia’ kerana dirasa lebih ilmunya dari rakyat jelata. Dalam tradisi agama dan bangsa yang belum memeluk Islam ianya laksana mereka yang dari kasta Brahmin, keturunan Levi, rabbi-rabbi, pendita-pendita, biarawan dan seumpamanya. Agamawan yang terasa dirinya mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan agamawan yang dianggap mulia itu hanya disebabkan maharaja ataupun raja ataupun sultan berkenan akan mereka kerana kepetahan ataupun kepandaian mereka untuk mengampu ataupun menghalalkan yang haram ataupun mengeluarkan fatwa-fatwa pelik untuk mengharuskan darah musuh tuan mereka untuk ditumpahkan.
Kekejaman mereka lebih keji dari mana-mana perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam atas sebab melelong agama dan ayat Tuhan pada harga yang murah. Bahkan semasa berada di atas kerusi agama itu pun sebahagian golongan yang dianggap agamawan itu meneruskan agenda merampok orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di sebalik majlis ugama, majlis ilmu ataupun kepetahan bercakap untuk menjadi maling ataupun perampok “Islamik”.
Ramai juga mereka yang bergelar diri agamawan, ataupun merasa diri telah ataupun pernah menjadi agamawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Mereka menghalalkan tuan-tuan mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta orang lain, wang rakyat dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya hidup mereka atas fatwa dan nama Islam. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap persaingan dan perdebatan.
Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah walaupun hujah mereka bertentangan dengan dalil yang sahih. Kehendak mereka ‘by hook or by crook’ mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula bertindak zalim ke atas pihak yang lemah dengan penguatkuasaan agama, pulauan masyarakat, panggilan-panggilan dan pelbagai jenis perlabelan. Agamawan seperti inilah kita panggil #AgamawanSamseng.
Jika hendak dikira manusia yang mulia lagi berilmu, maka empat sahabat utama Rasulullah SAW bagi umat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan ‘Ali merupakan insan-insan mulia yang sangat berilmu dan mulia. Ini ditambah pula dengan sahabat-sahabat Nabi seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Ibnu Mas’ud serta Abu Hurairah di mana banyak daripada dalil agama yang bersumberkan daripada mereka.
Mereka berilmu bukan kerana rasa gah mereka, kepandaian mereka menjilat pihak berkuasa ataupun kerana mampu mendapatkan ilmu melalui pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang nyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan ‘kami ini mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan lisan kami. Siapa pertikai dianggap ekstrim, jahil, sesat, ahli bid’ah dan dan kufur’. Sama sekali mereka tidak pernah berkata demikian.
Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka agamawan yang tidak boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap tindakan mereka mengkritik golongan agamawan mesra istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka yang seperti itu mempunyai masalah mental dan aqidah sehingga seakan menganggap golongan agamawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh Tuhan.
PENGAJARAN TERHADAP AGAMAWAN SAMSENG
Begitu beratnya amanah yang dipikul oleh golongan agama sehinggakan Allah telah memberikan amaran khusus kepada hamba-Nya agar tidak menjadi penjual agama:
Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (Al Qur'an) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya, dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertakwa ( Al-Baqarah : 41)
Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka kerjakan itu ( At-Taubah : 9)
Perkara seumpama ini juga dinukilkan oleh Imam Tirmidzi di dalam sunannya terhadap golongan ini yang berbunyi:
“Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (HR Tirmidzi)
Begitulah hebatnya amaran Allah terhadap golongan ini, sehinggakan telah diisyaratkan bahawa golongan inilah yang bakal membawa fitnah bukan sahaja kepada orang kebanyakan tetapi juga fitnah kepada ilmuwan yang lain.
PUPUS
Perlu diingat, kesamsengan golongan agamawan yakni penjual agama ini telah menyebabkan kebanyakan mereka pupus dan punah dalam lipatan sejarah. Walaupun Babilon, Mesir, Parsi, Yunani, Rom, China, beberapa Negara Eropah termasuklah, Turki Uthmaniyyah dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya ahli-ahli ugama istana mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat dengan mengeluarkan fatwa pengampu yang menjerut pinggang rakyat marhain. Lihatlah bagaimana Rusia membuang agamawan mereka bersama-sama dengan Dinasti Romanov dan bagaimana Turki membuang agamawan mereka melalui Kamal Attaturk.
Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah, golongan agamawan samseng ini bagaikan tidak akan tumbang. Mereka ini dipertahankan oleh maharaja-maharaja yang gagah dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta mereka. Tapi kesemuanya lenyap apabila rakyat jelak dengan tindak-tanduk pemerintah yang dihalalkan oleh agamawan tersebut. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan agamawan yang masih rapat dengan Istana dan penguasa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat dan bangsa sendiri akibat fatwa dan nasihat mereka yang tidak konsisten dan seperti lalang yang dibuai angin.
Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan pengampuan golongan agamawan ini berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh agamawan seumpama ini telah membawa bangsa Eropah lebih maju dan bebas dari cengkaman kezaliman. Golongan agamawan sepatutnya menjadi manusia yang paling dihormati dalam sesebuah masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak. Fatwa mereka menjadi ikutan, pemikiran mereka menjadi pegangan, bahasa mereka menjadi ukuran.
Jika agamawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, menghalalkan tuan mereka mengambil dan membazirkan pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak dan miskin. Agamawan yang menghentam sesuka hati sesiapa sahaja yang tidak mengikut nafsu mereka, mengambil apa saja yang mereka suka walaupun tidak layak, mengugut sesiapa yang mereka mahu, memaki dan memfitnah sesiapa yang mereka hendak, maka golongan agamawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan agamawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti masyarakat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditintakan nama mereka dalam mana-mana kitab melainkan dengan perkataan samseng, pengampu, penjilat ataupun MUZABZIB.
Pulau Besar, Melaka.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.