CHINA PUJI BUDAYA DIPLOMASI MALAYSIA

BEIJING, 11 November 2014- Presiden China Xi Jinping berkata Malaysia mengadaptasikan cara terbaik - penuh berdiplomasi untuk menangani isu pertikaian Laut China Selatan yang menekankan kepada perbincangan daripada berkonfrontasi atau penglibatan hubungan kerja antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Presiden Xi mengakui bahawa cara dan pendekatan yang dipilih oleh Malaysia adalah yang terbaik, iaitu secara berdiplomasi dan banyak menekankan perbincangan daripada memilih untuk berkonfrontasi atau perhubungan antarabangsa," katanya.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata Xi telah melahirkan penghargaan atas usaha yang dilakukan Malaysia berhubung isu itu.

Sebelum itu, pada Isnin, Najib mengadakan mesyuarat dua hala dengan Xi di Great Hall of the People sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama EKonomi Asia Pasifik (APEC) 2014.

Najib berkata Xi juga melahirkan harapan agar Malaysia boleh menawarkan nasihat bagi memerangi extremisme yang begitu menjadi-jadi di negara ini.

"Apa-apa kerjasama kami boleh berikan, kita boleh bantu supaya negara China stabil dan tidak ada konflik dalaman," katanya.

Mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang itu, Najib berharap sentimen negatif rakyat China terhadap Malaysia boleh ditangani melalui kerjasama dengan kerajaan China dalam usaha untuk menarik pelancong China untuk melawat semula Malaysia.

"Xi berkata ini merupakan sesuatu yang akan terjadi, dan berpendapat bahawa ini merupakan keadaan yang sementara dan sentimen tersebut boleh dipulihkan dengan hubungan antara pemimpin dan kerajaan yang begitu positif," kata Najib.

Berhubung pembinaan Xiamen University kampus cawangan Malaysia, Najib berkata China akan memberi pertimbangan sewajarnya berhubung bantuan kewangan untuk kerja-kerja pembinaan.

Universiti Xiamen, satu daripada universiti terkemuka di China telah membuka cawangan seberang lautnya yang pertama di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada Sept 2015.

Najib berkata semasa mesyuarat dua hala itu, presiden China telah melahirkan harapan bagi menjalin kerjasama lebih rapat di bidang pertahanan.

"China bersetuju mengambil bahagian dalam pameran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) secara besar-besaran," katanya. Sementara itu, Najib telah memanjangkan jemputan kepada Perdana Menteri China Li Keqiang untuk melawat Malaysia tahun depan memandangkan Li belum lagi melawat Malaysia selepas menjadi perdana menteri China.

Sumber : Bernama

Post a Comment

0 Comments