SHAH ALAM – Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pasaran matang untuk kereta mewah berprestasi tinggi.

Naib Presiden Divisyen Kenderaan Pacuan Empat Roda Naza World Group, David Hector Ratnaike berkata, fenomena itu boleh disaksikan dengan peningkatan bilangan kenderaan mewah di atas jalan, terutamanya Mercedes Benz dan Brabus.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran Bilik Pameran dan Pusat Servis Brabus di Glenmarie hari ini, Ratnaike yakin sebilangan besar pemilik kenderaan Mercedes akan menaiktaraf kenderaan mereka.

Katanya, Brabus sebagai syarikat peningkat prestasi kereta terkemuka akan menambah baik prestasi kereta mewah mereka.

“Brabus sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan daripada Mercedes standard. Seperti yang kita boleh lihat pada masa ini, terdapat banyak Mercedes di atas jalan di Malaysia.

“Meskipun begitu, memilki Brabus adalah pengalaman berbeza. Ia seperti memandu kereta lain walaupun ia berdasarkan Mercedes Benz,” katanya.

Ratnaike turut mengesahkan rancangan Naza-Brabus Sdn Bhd untuk membuka dua lagi bilik pameran Brabus di Pulau Pinang dan Johor Bahru.



Brabus, sebuah syarikat Jerman terkenal dengan kepakarannya dalam meningkatkan prestasi kereta.

Pada majlis itu juga, Naza-Brabus Sdn Bhd turut mempamerkan model Brabus CLS Rocket 730 yang telah ditambah baik di pusat servisnya.

Sebelum diubahsuai, kereta Brabus itu merupakan jenis Mercedes Benz CLS63 AMG yang ditambahbaik.

Pengubahsuaian itu membolehkan kereta Brabus itu memecut dari 0 sehingga 100 kmj dalam 3.08 saat dengan kelajuan maksimum 350 kmj.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai impak sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap syarikatnya, David yakin GST baik untuk negara.

“Saya rasa GST akan memberi impak tetapi ia bergantung kepada penerimaan masyarakat dan masa untuk membiasakan diri dan menerima GST,” jelas beliau.

GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilancarkan pada 1 April 2015.

Sumber : ABN News