Oleh : Oleh Abdul Ghani Nasir
BANGI – Seorang pakar cuaca dunia meramalkan aras laut akan terus meningkat di abad ini hingga masa mendatang yang akan membawa kesan lebih buruk kepada negara pantai terutama banjir dan hakisan pantai.
Kekerapan dan akibat banjir khususnya di tepi pantai sudah pun dapat dilihat di pantai timur dan barat Australia, kata Dr John Church, pakar Pusat Kaji Cuaca dan Iklim Australia dalam ceramah Syarahan Awam IKLIM di Bilik Senat, Bangunan Canselori, UKM, semalam.
Bagaimanapun satu perkara penting tetapi masih belum dapat dipastikan adalah sumbangan pengaliran kepingan ais Greenland dan Antartika terhadap apa yang berlaku itu.
Dr Church yang menerima anugerah Roger Revelle 2006 daripada Suruhanjaya Kelautan Antarakerajaan berkata kenaikan aras laut adalah satu aspek penuh kontroversi dan berprofil tinggi berpunca daripada perubahan cuaca.
Mujur sejak dua dekad lalu, pengetahuan terhadap isu kenaikan aras laut itu semakin bertambah dengan adanya sistem pengesan baru satelit dan pemerhatian di tempat berlaku selain dari data sejarah yang diperolehi termasuk data aras laut zaman paleo hingga dapat mengusahakan pembentukan model sistem iklim yang lebih baik untuk kajian.
Kadar kenaikan aras laut dari abad ke-19 hingga ke-20 dan sejak 1993 adalah sebanyak lebih dari tiga millimeter setahun.
Punca utama keadaan ini adalah perkembangan suhu lautan, pencairan glasier dengan tumpahan kecil kepingan-kepingan ais Greenland dan Antarctica dan perubahan dalam kandungan kehangatan lautan.
Apa yang mungkin memeranjatkan, ujarnya, adalah kaitan ledakan gunung berapi dengan kenaikan aras laut, terutama perubahan dalam kandungan pemanasan laut.
Sejak awal tahun-tahun 90-an, aras laut telah meningkat hampir ke paras teratas daripada jangkauan Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Ketiga dan Keempat.
Beliau mengingatkan aras laut akan terus meningkat selepas tahun 2100 dengan kemungkinan penambahan gas rumah hijau melepasi tahap kritikal menyebabkan aras laut mungkin naik bermeter-meter tingginya.
Sementara itu, seorang lagi penceramah Prof Dr Thomas Stocker dari Universiti Bern, Switzerland, ketika menjawab satu soalan berkaitan masalah yang sama, menarik perhatian terhadap betapa pentingnya negara-negara pulau mengambil langkah segera untuk menangani masalah itu dan tidak tunggu hingga keadaan sudah tidak dapat dikawal lagi.
Negara-negara kepulauan kecil sememangnya akan menghadapi kesan buruk kenaikan aras laut ini dan usaha harus diambil bagi membantu mereka menanganinya.
Dua pakar itu adalah antara seramai 120 orang pakar iklim sedunia yang telah berada di Kuala Lumpur mulai 21 Jun membincangkan kedudukan terkini mengenai perubahan iklim global yang membawa kepada fenomena kenaikan aras laut termasuk soal ketidakstabilan kepingan ais.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan adalah Prof Dr Fredolin Tangang, dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM yang juga Naib-Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC.
Artikel ini telah diterbitkan pada : 26 Jun 2010
Sumber : UKM News
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.