KOMEN DOKTOR PAKAR MENGENAI ISU JURURAWAT DILARANG MENUTUP AURAT

Oleh : Dr. Abdul Rahman Kadir

Isu pakaian seragam jururawat yang diberhentikan perkhidmatan oleh sebuah hospital swasta kini hangat di media sosial. 

Ramai sahabat yang meminta saya untuk komen tentangg hal tersebut.

Sememangnya di sesetengah zon klinikal, berlengan panjang ketika bertugas meletakkan risiko jangkitan terhadap pesakit. Misalannya di Dewan Bedah, ICU, CCU dan PICU. Jururawat malah doktor akan memilih untuk memakai baju klinikal bagi tujuan mengurangkan risiko jangkitan kuman.

Saya tidak pasti di bahagian manakah jururawat ini ditempatkan. Jika sememangnya di Dewan Bedah, ICU, CCU dan PICU, tidak ada kompromi bagi hal ini.

Namun di wad biasa, para jururawat biasanya bijak melipat lengan baju mereka dan menjaga steriliti ketika melakukan prosedur rawatan.

Atas sebab itu, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memahami naluri jururawat wanita serta tuntutan agama untuk menutup aurat. Pakaian jururawat wanita KKM sememangnya berlengan panjang dan boleh bertudung. 

Sungguhpun demikian tidak ada pula kedengaran kes-kes jangkitan yang lebih tinggi di hospital kerajaan. Ini menunjukkan penjagaan steriliti dan kaedah anti septik di hospital kerajaan tetap terpelihara sungguhpun pakaian jururawat wanita adalah berlengan panjang dan bertudung.

Ini (kod pakaian perawat Islam) dapat dicapai kerana pemerintah kita adalah orang-orang Islam dan juga mengamalkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan dan pentadbiran.

Di hospital swasta tertentu, ia dimiliki dan dikuasai oleh orang bukan Islam. Jadi mereka tidak faham ttg tuntutan agama kita. Sungguhpun diterangkan oleh jururawat ini kepada mereka, mereka akan menilai bahawa jururawat wanita Islam yang lain boleh saja tidak berlengan panjang dan tidak bertudung.

Jika boss adalah seorang Muslim, InsyaAllah mereka akan memahami dan akan ada sedikit rasa takut pada hukum Allah. Tetapi jika boss tidak faham, memang payahlah.

Semasa saya bekerja (locum) di sebuah hospital swasta di Melaka 9 tahun lepas, memang ada larangan jururawat wanita Muslim bertudung dan berlengan panjang. Namun apabila saya kembali ke hospital yang sama awal tahun ini untuk mengajar staff mereka saya lihat ramai staf yang sudah bertudung. Saya bertanya kepada sahabat saya yang merupakan jururawat di sana, apakah yang terjadi?

Dia kata, CEO telah bertukar. CEO baru ini, sungguhpun bukan Islam namun dia lebih toleran dan memberi ruang kepada staf muslimah menjaga aurat di tempat kerja. Ini membuktikan bahawa bukan semua orang-orang bukan Islam yang tidak toleran dan menyekat pengamalan Islam. Ada yang baik dan sangat memahami.

Jadi, ia (pindaan uniform jururawat) sememangnya boleh dilaksanakan. Hanya tinggal mahu buat ataupun tidak sahaja. Pakaian jururawat di rantaian hospital KPJ juga membenarkan pemakaian lengan panjang dan tudung. Jadi tidak ada sebab bagi hospital swasta lain ikut sama melainkan mmg tidak mahu berkompromi atas alasan-alasan peribadi.

Kuman tidak memilih bulu. Amat janggal sebuah peraturan di mana uniform jururawat sahaja yang ditekankan mesti berlengan pendek sedangkan para doktor yang merawat bebas saja memakai pakaian apa sahaja. Kuman tak duduk pada pakaian doktor kah? Jadi alasan kuman adalah tidak masuk akal untuk hospital swasta terus berdegil tidak mahu membantu staf Muslimah mereka mematuhi tuntutan agama.

Apapun...prinsip saya mudah. Kalau tempat kerja itu tidak mesra Muslim malah menindas, tinggalkan sahaja dan cari kerja di tempat lain. 

Jururawat mempunyai kelulusan dan pasti menjadi rebutan perkhidmatan mereka. Lebih baik berhenti sendiri dari dipecat kerana pecat itu lebih negatif konotasinya dan boleh menjejaskan peluang majikan baru mengambil kita bekerja.

Bumi Allah ini luas. Rezeki ada di mana-mana. Syukuri nikmat negara kita diperintah oleh kerajaan yang mendaulatkan Islam. 

Jika sebaliknya, nasib kita adalah sama seperti Singapura. Semasa saya ke Singapura untuk Persidangan Trauma pertengahan tahun ini, tidak ada seorangpun kakitangan Muslim bertudung yang saya jumpa di Hospital mereka. Apakah umat Islam Singapura jahil hukum menutup aurat? 

Fikir-fikirkanlah.

*Penulis merupakan seorang doktor pakar kecemasan yang kini berkhidmat di Hospital Besar Melaka.

Berita berkaitan disini : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/penamatan-perkhidmatan-jururawat-kerana-masalah-disiplin-bukan-sebab-tutup-aurat-83845

Post a Comment

0 Comments