KOREA UTARA TERPERANGKAP

Oleh : Anasz* Pembunuhan abang sulung pemimpin diktator Korea Utara, Kim Jong Nam ternyata menggemparkan dunia. Ini kerana, pembunuhan ini berlaku di luar wilayah Korea Utara dan disebuah negara yang secara teknikalnya adalah sebuah negara yang neutral dan tidak ada sebarang masalah dengan negara berkenaan. Pada kebiasaanya, pemimpin Kim Jong Unn (pemimpin diktator Korea Utara ini) akan menjalankan sebarang operasi pembunuhan di dalam wilayah negaranya sepertimana yang dilakukan oleh beliau terhadap bapa saudaranya, Jang Sung-Taek yang dipercayai mati dibunuh pada 13 Disember 2013. Namun dalam penulisan ini, penulis tidaklah menyentuh mengenai bagaimana keadaan politik Korea Utara mahupun modus operandi pembunuhan oleh agen-agen Korea Utara. Tetapi dalam penulisan ini, pengkaji akan menumpukan kepada implikasi terhadap Korea Utara sekiranya negara berkenaan cuba melakukan tindakan yang agresif terhadap Malaysia. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak mempunyai sebarang masalah dengan Korea Utara. Sikap Malaysia yang neutral dan tidak mencampuri urusan dalaman negara berkenaan telah memberikan banyak kelebihan kepada Malaysia dan Korea Utara terutama sekali dalam hubungan ekonomi dan diplomatik. Malaysia merupakan sebuah negara yang mengiktiraf kedaulatan Korea Utara. Malah kita mempunyai pejabat kedutaan di negara berkenaan!
Banggunan Kedutaan Malaysia di Pyongyang, Korea Utara
Dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam ini, pengkaji berpendapat bahawa Korea Utara seboleh-bolehnya mahu menjadikan kes pembunuhan Kim Jong Nam ni selesai tanpa dikesan. Mereka cuba untuk tidak melibatkan individu dari Malaysia kerana mungkin hendak menjaga hubungan diplomatik Korea Utara - Malaysia. Untuk makluman pembaca, Malaysia pernah mengimport tenaga kerja dari Korea Utara untuk bekerja dalam sektor perlombongan di Sarawak. Secara tak langsung, dengan kemasukan warga Korea Utara di Sarawak, ianya dapat memberikan pulangan kepada ekonomi negara berkenaan. Bagi memastikan hubungan 'mesra' ini sentiasa berada di tahap yang boleh menguntungkan pihak mereka, Korea Utara sanggup mengupah wanita warga Myanmar dan Indonesia selain warga mereka sendiri untuk menjalankan operasi ini. Pengkaji yakin bahawa, apa yang hendak dilakukan oleh pihak Korea Utara ini hanyalah semata-mata melaksanakan pembunuhan terhadap abang pemimpin Korea Utara itu tanpa sebarang kesan. Dengan kata yang mudah, mereka mahu kes ini sekadar menjadi kes kejadian mati mengejut semata-mata. Tapi lain pulak jadinya. Pasukan penyiasat Malaysia dapat menjajaki siapa individu yang dibunuh berkenaan dan dapat menangkap beberapa suspek utama yang terlibat dalam operasi ini, sekaligus dapat mewujudkan fakta kes. Jadi dalam hal ini, apakah Korea Utara akan melakukan tindakan di luar jangkaan seperti menyerang pasukan keselamatan Malaysia semata-mata mahu membawa lari mayat Kim Jong Nam keluar dari Malaysia? Mungkin mereka akan melakukan sedemikian atau mungkin tidak. Namun penulis yakin, dipihak Korea Utara sendiri, mereka terpaksa berfikir panjang sebelum melaksanakan tindakan membabi buta ini.

CHINA
Pada pandangan penulis, sekiranya Korea Utara melakukan tindakan di luar jangkaan dalam wilayah Malaysia, mereka terpaksa berhadapan dengan sekurang-kurangnya tentangan dari sekutu mereka sendiri iaitu China. China merupakan sebuah negara yang boleh dikatakan banyak membantu Korea Utara samada dari segi ekonomi dan pertahanan. Korea Utara terpaksa bergantung sepenuhnya kepada China ekoran sekatan ekonomi yang dikenakan oleh masyarakat antarabangsa terhadap negaranya. China adalah negara yang banyak mengeksport produk-produk samaada jentera, makanan, peralatan elektronik dan lain-lain lagi. Dengan kata mudah, ekonomi Korea Utara di sokong oleh China dari runtuh. Dari aspek pertahanan pula, Korea Utara acapkali 'diselamatkan' oleh China dari dikenakan tindakan-tindakan tambahan oleh masyarakat antarabangsa melalui Veto China dalam majlis keselamatan. Dalam masa yang sama, Malaysia juga merupakan negara yang bersahabat baik dengan China. Ini dapat dibuktikan dengan pelaburan China di Malaysia dan juga pelaburan Malaysia di China semakin meningkat setiap tahun. Ini ditambah lagi dengan sejarah hubungan Malaysia - China yang dipelopori oleh Tun Abdul Razak ketika China mengamalkan dasar tutup pintu kepada dunia luar, pastinya dihargai oleh pemimpin negara tembok besar berkenaan. Oleh kerana itu, Korea Utara pastinya berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memberikan kesan hubungan dua halanya dengan China. Dan kes pembunuhan Kim Jong Nam di Kuala Lumpur ini telah dipandang serius oleh pegawai-pegawai kerajaan di China. China pastinya mahu menjadikan kes pembunuhan ini sebagai cara terbaru untuk mengurangkan sokongan kepada Korea Utara yang selama ini telah menimbulkan banyak masalah terhadap China. Apa-apa pun dipihak Malaysia, tindakan menyiasat pembunuhan ini bukanlah untuk mencampuri urusan dalam negara berkenaan. Sebaliknya sebagai satu prosedur biasa dalam mana-mana kes pembunuhan yang berlaku di Malaysia. Cuma dalam kes pembunuhan ini, ianya menjadi perhatian antarabangsa kerana melibatkan keluarga pemimpin tertinggi Korea Utara berkenaan. Dalam masa yang sama, penulis merasakan keberanian Kerajaan Malaysia untuk mengumumkan kes berprofil tinggi ini kepada pihak media antarabangsa adalah sebagai amaran kepada negara-negara lain atau pihak-pihak yang bercadang menjadikan Malaysia sebagai 'gelanggang pembunuhan' agar berfikir banyak kali sebelum melakukan perbuatan berkenaan dalam wilayah Malaysia. Sumber http://www.npr.org/2017/02/20/516203226/china-debates-response-to-the-killing-of-north-korean-kim-jong-nam http://www.thejakartapost.com/seasia/2016/10/31/malaysian-pm-aims-new-heights-in-bilateral-relations-for-china-visit.html

*Penulis merupakan graduan sarjana dalam jurusan strategi dan keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments