ASAL-USUL KETURUNAN DAN GEOGRAFI TURKI


"Wilayah Seberang Sungai" kini dinamakan sebagai Turkistan. Kawasan ini terletak antara Banjaran Mongolia dan utara China di timur dan Laut Khazar (Laut Caspian) di barat, Tanah Pamah Siberia di utara dan benua kecil India dan Parsi di sellatan. Kawasan ini didiami Puak Ghuz (Oghuz) dengan jumlah suku yang besar. Mereka juga dikenali sebagai Turk (Turks).

Pada separuh kedua kurun ke-6 masihi, suku-suku ini berpindah secara besar-besaran dari penempatan asal mereka di Asia kecil. Para ahli sejarah ada menyebut beberapa faktor yang menyumbang kepada penghijrahan tersebut.

Ada yang berpendapat ia disebabkan oleh faktor ekonomi. Kemarau yang panjang dan jumlah ahli puak yang bertambah ramai, menyebabkan kawasan asal mereka tidak dapat menampung keperluan mereka lagi. Oleh itu, mereka berhijrah untuk mencari makanan, kawasan ragut dan kehidupan baharu.

Ada yang berpendapat penghijrahan tersebut didorong oleh faktor politik. Pada ketika itu, puak ini mendapat tekanan hebat daripada puak lain yang lebih besar dan kuat iaitu puak Mongol. Suasana sebegini memaksa mereka berhijrah bagi mencari penempatan baharu dan meninggalkan bumi mereka untuk mencari suasana yang lebih aman dan stabil. Pendapat ini dinyatakan oleh Dr. Abdul Latif Abdullah bin Dahish.

Puak ini terpaksa berhijrah ke barat dan mendiami kawasan berhampiran tebing Sungai Jaihun (Amu Darya). Mereka kemudian menetap seketika di Tabriztan dan Gorgan. Ini bermakna mereka berada berdekatan dengan wilayah Islam yang berjaya ditakluk selepas Perang Nahawand dan selepas Empayar Sassani di Parsi tahun 21H / 641M.

Hubungan Dengan Dunia Islam

Pada tahun 22H / 624M, angkatan tentera Islam telah mara hingga ke Bab iaitu kawasan yang didiami puak Turk. Di sini ketua tentera Islam iaitu Abdul Rahman bin Rabi'ah bertemu dengan Raja Turk, Shahrubaraz. Shahrubaraz meminta perjanjian damai dengan Abdul Rahman dan menyatakan kesediaan untuk sama dalam angkatan tentera Islam memerangi Armenia. Abdul Rahman mengharahkan Shahrubaraz supata bertemu panglima Islam, Suraqah bin Amru. Suraqah menerima kehadiran Shahrubaraz. Beliau menulis surat kepada Khalifah Umar bin Al-Khattab memaklumkan mengenai perkara itu. Umar bersetuju dengan tindakan tersebut. Hasil daripada pertemuan tersebut, berlaku perjanjian damai antara kedua pihak. Semenjak itu tidak pernah berlaku peperangan antara umat Islam dan puak Turk. Malah, kedua-dua pihak mara bersama untuk menakluk dan menyebarkan Islam di Armenia.

Tentera-tentera Islam mara menakluk negara-negara di timur Laut Parsi dan berjaya menyebarkan Islam di sana. Kejayaan ini mampu diraih setelah tentera Islam berjaya menjatuhkan Empayar Parsi yang dianggap sebagai tembok yang menghalang kemaraan tentera-tentera Islam ke wilayah tersebut. Setelah halangan ini berjaya dihapus, ditambah dengan kejayaan penaklukan Islam, kini pintu terbuka luas untuk puak-puak yang mendiami kawasan tersebut termasuklah puak Turk. Dengan ini, wujud hubungan langsung antara puak ini dengan umat Islam. Puak Turk akhirnya memeluk Islam dan turut sama menyertai barisan pejuang untuk menyebarkan Islam dan memartabatkan kalimah ALLAH.

Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan R.A, Tabriztan berjaya ditakluk. Kemudian, umat Islam menyeberangi Sungai Jaihun (Amu Darya) pada 31H dan bertapak di "Wilayah Seberang Sungai". Suasana ini menyebabkan ramai di kalangan puak Turk memeluk Islam. Mereka ini kemudiannya menjadi pembela Islam dan turut sama berjihad menyebarkan seruan ALLAH kepada seluruh manusia.

Tentera Islam terus mara menakluk  wilayah tersebut, hingga berjaya menawan Bukhara pada zaman Muawiyah bin Abu Sufyan R.A. Tentera yang hebat ini merentas wilayah hingga sampai ke Samarqand. Akhirnya, seluruh "Wilayah Seberang Sungai" ini berada dalam keadilan pemerintahan Islam. Mereka hidup di bawah naungan tamadun Islam yang ulung.

Bilangan puak Turk dalam istana Khalifah dan pemerintah Abbasi semakin bertambah. Mereka berjaya menduduki jawatan di peringkat pemerintahan dan pentadbiran dalam Empayar Islam. Mereka berperanan sebagai tentera, panglima dan pentadbir. Sikap mereka yang sentiasa merendah diri dan setia, menyebabkan mereka berjaya menduduki jawatan yang tertinggi.

Pada zaman Khalifah Abbasi al-Muktasim, beliau telah membuka peluang kepada peranan yang lebih luas untuk puak Turk. Malah, mereka diberikan jawatan pemerintahan dalam empayar. Ini membolehkan mereka turut sama menjalankan urusan pentadbiran negara. Dasar baru Al-Muktasim ini sebenarnya bertujuan menyingkir pengaruh bangsa Parsi. Sebelum ini, bangsa Parsi mempunyai kuasa yang amat besar dalam pentadbiran Empayar Abbasi semenjak zaman Khalifah Al-Makmun.

Perhatian besar yang diberikan oleh Al-Muktasim kepada suku Turk ini menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat dan tentera. Oleh kerana khuatir akan keselamatan diri, Al-Muktasim telah membina sebuah bandar baharu yang diberikan nama "Samira", terletak lebih kurang 120KM dari Baghdad. Bandar ini didiami oleh beliau, tentera dan penyokongnya.

Semenjak dari tarikh ini, suku Turk mula muncul memainkan peranan yang penting dalam pentas sejarah Islam. Malah, akhirnya mereka berjaya membina sebuah Empayar Islam yang besar dan ada hubungan yang kuat dengan para Khalifah Empayar Abbasi dikenali sebagai Empayar Saljuk.

Post a Comment

0 Comments