Pahitnya hempedu pahit lagi hidup pada zaman pemerintahan tentera Jepun. Segala-gala yang diperlukan untuk terus hidup amat sukar diperoleh. Ubi kayu sudah menjadi makanan utama. Bukan sahaja ubinya yang dimakan malah kulitnya yang berwarna cerah juga dimakan sama.
Selain itu ubi kayu diparut untuk membuat kuih. Kanjinya dijadikan roti. Sewaktu sedang panas memang elok dimakan, tetapi apabila sudah sejuk ia akan menjadi keras seperti batu. Kerana kerasnya itu, bukan sahaja anjing boleh mati jika kena lempar dengan kuih itu, malah gajah pun boleh mati. Begitulah analogi yang sering menjadi mainan kata kami.
Tetapi dalam keadaan terdesak untuk terus hidup, roti yang keras itu dihiris-hiris, kemudian dijemur dan dijadikan keropok. Pada waktu itu juga sudah ada roti jagung. Maka untuk mengalas perut agar tidak menjerut nyawa kami, makanan itu memadailah juga.
Kesempitan hidup pada ketika itu memungkinkan segala-galanya demi menyambung hayat. Soal mencuri sudah menjadi perkara biasa. Ibaratnya, jika tidak mencuri, tunggulah sahaja saat kematian akibat kebuluran. Saya sendiri turut mencuri demi keluarga dan orang lain yang lebih memerlukan.
Dalam keadaan yang memilukan saya terpaksa bertawakkal kepada ALLAH. Saya tahu bahawa perbuatan saya itu menyalahi hukum agama dan undang-undang. Tapi kalau saya sudah terpaksa demi menyambung hidup, saya melakukannya juga dengan harapan ALLAH mengampunkan dosa saya.
Memang sudah menjadi kebiasaan tentera Jepun memancung kepala orang yang bersalah. Walaupun itu sesuatu yang menakutkan, kegiatan mencuri untuk hidup terus berlaku pada setiap hari.
Suatu ketika, saya ingin menonton filem Jepun di Pawagam Cathay, Singapura. Apabila saya tiba di hadapan Pawagam Cathay ramai orang yang berkerumun di tepi padang YMCA. Saya ingin tahu apa yang berlaku lalu menghampirinya.
Alangkah terkejutnya saya apabila melihat yang dipamerkan di situ ialah kepala manusia yang sudah kebiruan. Mengikut tulisan yang tertera di situ, "Kepala ini adalah kepala pencuri yang dapat ditangkap. Sesiapa yang mencuri akan dihukum seperti ini juga."
Dalam masa yang sama rupa-rupanya ada tiga lagi kepala manusia yang dipamerkan di beberapa tempat lain. Gertakan itu memang mengerikan, tetapi siapakah yang dapat menamatkan kengerian jika mati dalam kelaparan.
*Dipetik dari Buku 'Meredah Gelombang Seni : Sebuah Memoir' karya Datuk Aziz Sattar
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.