BIOGRAFI IMAM MUSLIM

Nasab & Kelahiran

Nama lengkapnya adalah Abul Hasan Muslim bin Hajjaj bin Muslim bin Warad bin Kausyaz Al-Qusyairi An-Naisaburi. Al-Qusyairi di sini merupakan nisbah terhadap nasab (silsilah keturunan) dan An-Naisaburi merupakan nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu di Kota Naisabur, bahagian dari Parsia yang sekarang menjadi sebahagian daru negara Rusia. Tentang Al-Qusyairi, seorang pakar sejarah, Izzudin Ibnu Atsir, dalam kita Al-Lubab fi Tahzibil Ansab menyatakan : "Al-Qusyairi adalah nisbah kepada keturunan Qusyair bin Kaab bin Rabi'ah bin Amir bin Sha'sha'ah, yang merupakan sebuah kabilah yang besar. Ramai para ulama yang menisbahkan diri mereka kepadanya".

Para ahli sejarah Islam berbeza pendapat mengenai waktu hari lahir dan wafat Imam Muslim. Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Taqribut Tahzib (529), Ibnu Katsir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah (3511/34), Al-Khazraji dalam Khulashoh Tahzibul Kamal mengatakan bahawa Imam Muslim dilahirkan pada 204 H dan wafat pada tahun 261H. Namun pendapat yang paling kuat adalah bahawa beliau dilahirka pada tahun 206 H dan wafat pada tahun 261 H di Naisbur, sehingga usia beliau wafat adalah pada umur 55 tahun. Hal ini sebagaimana dikatakan oleh Abu Abdillah Al-Hakim An Naisaburi dalam kita Ulama Al Amshar juga dipersetujui An Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (1231/1).

Perjalanan Imam Muslim Dalam Belajar Hadis

Imam Muslim membesar sebagai remaja yang gigih belajar agama. Bahkan ketika usianya masih sangat muda, beliau sudah menekuni hadis. Dalam kitab Siyar 'Alamin Nubala, pakar hadis dan sejarah, Az-Zahabi, menyatakan bahawa Imam Muslim mula belajar hadis sejak tahun 218 H. Bermakna usia beliau ketika itu adalah 12 tahun. Beliau merantau ke beberapa negara dalam usaha menuntut ilmu hadis, bermula dari Iraq, kemudian ke Hijjaz, Syam, Mesir dan negara lainya. Dalam Tahzibut Tahzib diceritakan bahawa Imam Muslim paling banyak mendapat ilmu tentang hadis daripada 10 guru beliau iaitu :

1. Abu Bakar bin Abi Syaibah, beliau belajar 1540 hadis.

2. Abu Khaitsamah Zuhair bin Harab, beliau belajar 1281 hadis.

3. Muhammad Ibnul Mutsanna yang dijuluki dengan panggilan Az Zaman, beliau belajar 772 hadis.

4. Qutaibah bin Sa'id, beliau belajar 668 hadis.

5. Muhammad bin Abdillah bin Numair, beliau belajar 573 hadis.

6. Abu Kuraib Muhammad Ibnul 'ila , beliau belajar hadis 556 hadis.

7. Muhammad bin Basyhar Al-Muqallab yang dijuluki Bundaar, beliau belajar 460 hadis.

8. Muhammad bin Raafi; An Naisaburi, beliau belajar 362 hadis.

9. Muhammad bin Hatim Al-Muqallab yang dijuluki As-Samin beliau belajar 300 hadis.

10. 'Ali bin Hajar As Sa'di, beliau belajar 188 hadis.

Sembilan daripada sepuluh guru Imam Muslim tersebut, juga merupakan guru Imam Al-Bukhari dalam mengambil hadis, kerana Muhammad bin Hatim tidak termasuk. Perlu diketahui Imam Muslim juga sempat berguru ilmu hadis kepada Imam Al-Bukhari. Ibnu Salah dalam kita Ummul Hadis berkata "Imam Muslim memang belajar daripada Imam Al-Bukhari dan banyak mendapat faedah ilmu daripadanya. Bahkan ramai guru kepada Imam Muslim yang juga merupakan guru kepada Imam Al-Bukhari." Perkara inilah yang menjadi salah satu sebab Imam Muslim tidak meriwayatkan hadis daripada Imam Al-Bukhari.

Hubungan Di Antara Imam Al-Bukhari dan Muslim

Imam Al-Bukhari adalah salah seorang guru kepada Imam Muslim yang paling menonjol. Daripada beliau, Imam Muslim mendapat banyak pengetahuan tentang ilmu hadis serta metodologi dalam memeriksa kesahihan hadis. Al-Hafiz Abu Bakar Al-Khatib  Al-Baghdadi dalam kitabnya Tarikh Al-Baghdadi sampai menceritakan : "Muslim telah mengikuti jejak langkah Al-Bukhari, mengembangkan ilmunya dan mengikuti metodologinya. Ketika Al-Bukhari datang ke Naisabur di masa akhir hayatnya . Imam Muslim belajar dengan lebih serius dengannya dan sentiasa mendampinginya". Hubungan beliau berdua di jelaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Syarah Nukhbatul Fikr, beliau berkata : "para ulama bersepakat bahawa Al-Bukhari lebih utama daripada Muslim, dan Al-Bukhari lebih dikenali kemampuannya dalam pembelaan hadis. Kerana Muslim adalah murid dan hasil didikan Al-Bukhari. Muslim banyak mengambil ilmu daripada Al-Bukhari dan mengikuti jejaknya, sehingga Daruquthni berkata, "Seandainya tidak ada Al-Bukhari , nescaya tidak ada Muslim.

Lalu apa yang menyebabkan Imam Muslim tidak meriwayatkan hadis daripada Imam Bukhari? Sehingga dalam Sahih Muslim tidak ada hadis yang sanadnya dimulai dengan "An Al-Bukhari... (diriwayatkan dari Al-Bukhari). Jawapan oleh Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad Hafizahullah, beliau menyatakan : "Walau Imam Muslim merupakan anak murid kepada Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim mendapat banyak ilmu daripada beliau, Imam Muslim tidak meriwayatkan satu pun hadis daripada Al-Bukhari . Wallahu Ta'ala A'lam. Ini kerana disebabkan oleh dua perkara :

1. Imam Muslim menginginkan uluwul isnad (sanad yang tinggi darjatnya). Imam Muslim memiliki ramai guru yang sama dengan guru Imam Al-Bukhari. Jika Imam Muslim meriwayatkan daripada Al-Bukhari, maka sanad akan bertambah panjang kerana bertambah seorang perawi iaitu Al-Bukhari. Imam Muslim menginginkan uluwul isnad dan sanad yang dekat jalurnya dengan Rasulullah S.A.W sehingga beliau meriwayatkan terus daripada guru-gurunya yang juga menjadi guru Imam Al-Bukhari.

2. Imam Muslim merasa prihatin dengan sebahagian ulama yang mencampur adukkan hadis-hadis lemah dengan hadis-hadis sahih tanpa membezakannya. Maka beliau pun mengerahkan usahanya untuk memisahkan hadis sahih dengan yang lain. Sebagaimana yang beliau utarakan di Muqadimah Sahih Muslim. Jika demikian, maka sebahagian hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari telah dianggap cukup dan tidak perlu diulang lagi. Kerana Al-Bukhari juga sangat teliti dalam mengumpulkan hadis-hadis sahih dengan ketelitian yang tajam dan semakan yang berulang-ulag.

Murid-Murid Imam Muslim

Ramai ulama besar yang merupakan murid kepada Imam Muslim dalam ilmu hadis, sebagaimana yang diceritakan oleh Tahzibut Tahzib. Di antaranya adalah Abu Hatim Ar Razi, Abul Fadhl Ahmad bin Salamah, Ibrahim bin Abi Thalib, Abu 'Amr Al-Khoffaf, Husain bin Muhammad Al-Qabani, Abu 'Amr Ahmad Ibnul Mubarak Al Mustamli, Al Hafiza Salih bin Muhammad, 'Ali bin Hasan Al Hilali, Muhammad bin Abdil Wahab Al-Faraa', Ali Ibnul Husain Ibnul Junaid, Ibnu Khuzaimah dan ramai lagi.

Selain dari itu, sebahagian ulama memasukkan Abu 'Isa Muhammad At Tirmidzi dalam barisan murid Imam Muslim, kerana terdapat satu hadis dalam sunan At-Tirmidzi :

Muslim bin Hajjaj menyatakan kepada kami : Yahya bin Yahya memberitahu kepada kami : Abu Muawiyyah memberitahukan kepada kami : Daripada Muhammad bin 'Amr : Daripada Abu Salamah : Daripada Abu Hurairah R.A, dia berkata : Rasulullah S.A.W bersabda : "Untuk menentukan datangnya Ramadan, hitunglah hilal bulan Sya'ban".

Dalam hadis tersebut nampak bahawa At-Tirmidzi meriwayatkan daripada Imam Muslim. Terdapat penjelasan al-Iraqi dalam Tuhfatul Ahwadzi Bi Syarhi Jami' At-Tirmidzi : "At-Tirmidzi tidak pernah meriwayatkan hadis daripada Imam Muslim kecuali hadis ini. Kerana mereka berdua memiliki guru-guru yang sama sebahagian besarnya."

Karya Tulisan Imam Muslim

Imam An-Nawawi menceritakan dalam Tahzibul Asma Wal Lughat bahawa Imam Muslim memiliki banyak karya tulisan, antaranya :

1. Kitab Sahih Muslim

2. Kitab Al Musnad Al Kabir 'Ala Asma Ar Rijal

3. Kitab Jami' Al Kabir 'Ala Al Abwab

4. Kitab Al 'Ilal

5. Kitab Auhamul Muhadditsin

6. Kitab At Tamyiz

7. Kitab Man Laisa Lahu Illa Rawin Wahidin

8. Kitab Thabaqat At Tabi'in

9. Kitab Al Muhadramain

Kemudia Az-Zahabi pun menambah dalam Tahzibut Tahzib bahawa Imam Muslim juga memiliki karya penulisan yang lain iaitu :

1. Kitab Al Asma Wal Kuna

2. Kitab Al Afrad

3. Kitab Al Aqran

4. Kitab Sualaat Ahmad bin Hambal

5. Kitab Hadis 'Amr bin Syu'aib

6. Kitab Al Intifa' Bi Uhubis Siba'

7. Kitab Masyaikh Malik

8. Kitab Masyaikh Ats Tsauri

9. Kitab Masyaikh Syu'bah

10. Kitab Aulad Ash Shahabah

11. Kitab Afrad Asy Syamiyyin

Mata Pencarian Imam Muslim

Imam Muslim termasuk di antara para ulama yang menceburkan diri dengan perniagaan. Beliau adalah salah seorang peniaga pakaian yang berjaya. Namun demikian, beliau tetap terkenal sebagai seorang yang dermawan. Beliau juga memiliki sawah-sawah di daerah Ustu yang menjadi sumber ekonomi keduanya. Tentang mata pencarian beliau diceritakan oleh Al-Hakim dalam Siyar 'Alamin Nubula (57012/) : Tempat Imam Muslim berniaga adalah Khan Mahmasy. Dan mata pencariannya adalah daripada perniagaan di Utsu". Dalam Tahzibut Tahzib, hal ini juga diceritakan oleh Muhammad bin Abdul Wahab Al-Farra : "Muslim Ibnul Hajjaj adalah salah satu ulama besar. Dan beliau adalah seorang peniaga pakaian". Dalam Kitab Al 'Ubar Fi Khabar Min Ghabar (292) terdapat penjelasan : "Imam Muslim adalah seorang peniaga. Dan beliau terkenal sebagai seorang dermawan di Naisabur. Beliau memiliki ramai orang suruhan dan harta".

Bentuk Fizikal Imam Muslim

Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan bentuk fizikal Imam Muslim. Dalam Siyar 'Alamin Nubala (56612) terdapat riwayat daripada Abu Abdirrahman As Salami, dia berkata : "Aku melihat seorang syeikh yang tampan wajahnya. Beliau memakai rida yang bagus. Beliau memakai imamah yang dijulurkan di kedua bahunya. Lalu ada orang yang mengatakan : 'Ini Muslim'". Juga diceritakan daripada Siyar 'Alamin Nubala (57012/), bahawa Al-Hakim mendengar ayahnya berkata : "Aku pernah melihat Muslim Ibnu Al Hajjaj sedang bercakap-cakap di Khan Mahmasy. Beliau memiliki perwatakkan yang sempurna dan kepalanya putih. Janggutnya memanjang ke bawah di sisi imamah-nya yang terjulur di kedua bahunya".

Aqidah Imam Muslim

Imam Muslim adalah ulama besar yang berpegang kepada Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana aqidah generasi Salafussoleh. Aqidah beliau ini dapat dikesan dalam beberapa perkara :

a) Perkataan Imam Muslim di Muqadimmah Sahih Muslim : "Ketahuilah wahai pembaca, semoga ALLAH SWT memberikan anda taufiq. Wajib bagi setiap orang untuk membezakan hadis sahih dengan hadis lemah. Juga wajib mengetahui tahap kejujuran perawi, yang sebahagian mereka diragukan kredibilitinya. Tidak boleh mengambol riwayat kecuali daripada orang yang diketahui kualiti kredebiliti dan hafalannya. Serta perlu untuk berhati-hati daripada mereka yang teruk kredibilitinya, yang berasal daripada tokoh kesesatan dan ahli bid'ah. Diceritakan pula di dalam Syiar 'Alamin Nubala (56812) bahawa Al Makki berkata : "Aku bertanya kepada Muslim tentang Ali bin Ju'd. Muslim berkata : 'Dia Tsiqah, namun dia berfahaman Jahmiyyah". Hal ini menunjukkan Imam Muslim sangat anti fahaman sesat dan bid'ah seperti fahaman Jahmiyyah, serta tidak mengambil riwayat daripada tokoh-tokohnya. Dan demikianlah aqidah ahlussunnah.

b) Imam Muslim memulai kitab Sahih Muslim dengan Bab Iman, dan dalam bab tersebut beliau memasukkan hadis-hadis yang menetapkan aqidah Ahlussunnah dalam banyak permasalahan seperti hadis-hadis yang membantah Qadariyyah, Murji'ah, Khawarij, Jahmiyyah dan golongan seperti mereka. Beliau juga berhujjah dengan hadis ahad, terdapat juga bab khusus yang berisis hadis-hadis tentang takdir.

c) Judul-judul bab kepada Sahih Muslim seluruhnya sejalan dengan Ahlusunnah dan merupakan bencana bagi Ahlul Bid'ah.

d) Abu Uthman As-Shabuni dalam kitabnya, I'tiqad Ahlisunnah Wa Ash-Habil hadis halaman 121 - 123, iaitu akhir-akhir kitabnya, beliau menyebutkan nama-nama Imam Ahlussunnah Wal Jama'ah dan beliau menyebutkan diantaranya Imam Muslim Al-Hajjaj.

e) Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Dar'u Ta'arudh il 'Aql Wan Naql (367) berkata : "Para tokoh ahli falsafah dan ahli bid'ah, pengetahuan mereka tentang hadis Rasulullah S.A.W serta atsar para sahabat dan tabi'in sangatlah sedikit. Sebab jika memang di antara mereka ada orang yang memahami sunnah Rasulullah S.A.W serta atsar para sahabat, tab'in serta tidak berprasangka baik pada hal-hal yang menentang Sunnah, tentulah ia tidak akan bergabung bersama mereka, seperti sikap yang dihadapi oleh ahlul Hadis. Lebih lagi jika dia mengetahui kerosakan pemahaman falsafah dan bid'ah tersebut, sebagaimana para imam Ahlusunnah mengetahuinya. Dan biasanya kerosakkan pemahaman mereka tidak diketahui selain oleh para imam Ahli Sunnah seperti Malik (kemudian disebut nama-nama beberapa imam)... dan juga Muslim Ibnu Al-Hajjaj An-Naisaburi dan para imam yang lainnya. Tidak ada yang dapat menghitung jumlahnya kecuali ALLAH, merekalah pewaris para nabi dan penerus tugas Rasulullah S.A.W"

f) Az-Zahabi dalam kitab Al- 'Uluw (11842) menyebutkan : "Di antara deretan ulama yang berkeyakinan tidak bolehnya menta'wilkan sifat-sifat ALLAH dan mereka beriman dengan sifat Al-Uluw di masa itu adalah (disebutkan nama-nama beberapa ulama)... dan juga Imam Al-Hujjaj Muslim Ibnu Al-Hajjaj Al-Qusyairi yang menulis kitab Sahih Muslim.

g) Al-Allamah Muhammad As-Safarini dalam kitab Lawami'ul Anwaril Bahiyyah Wa Sawati'ul Asrar Al-Atsariyyah (221) ketika menyebutkan nama-nama para ulama ahlusunnah dia menyebutkan : "...Muslim, Abu Daud,..." Kemudian dia berkata "dan yang lainnya, mereka semuanya memiliki aqidah yang sama iaitu aqidah Salafiah Atsariyyah".

h) Dalam Majmu' Fatawa (3920) diceritakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ditanya oleh seseorang : "Apakah Al-Bukhari, Muslim... (disebutkan beberapa nama ulama) termasuk ulama mujtahidin yang tidak taklid atau mereka termasuk orang-orang yang taklid kepada imam tertentu? Apakah di antara mereka ada yang menisbatkan diri kepada mazhab Hanafi?". Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menjawab dengan panjang lebar , dan pada akhir jawapan beliau berkata : "Mereka semua adalah para pengagung sunnah dan pengagung hadis."

i) Lebih menegaskan beberapa bukti di atas, bahawa imam Muslim adalah hasil didikan daripada para ulama Ahlussunnah seperti Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Imam Al-Bukhari, Abu Zur'ah dan lainnya. Dan telah diketahui bagaimana peranan mereka dalam memperjuangkan sunnah dan sikap tegas mereka terhadap ahli bid'ah sehinggakan ahli bid'ah tidak mendapat tempat di majlis-majlis mereka.

Mazhab Fiqih Imam Muslim

Jika kita memperhatikan nama - nama kitab yang ditulis oleh Imam Muslim, hampir kesemuanya membahas berkenaan ilmu hadis dan cabang-cabangnya. Hal ini juga ditemukan pada majoriti ulama ulama hadis yang lain di zaman tersebut. Akibatnya kita tidak dapat mengetahui dengan jelas mazhab fiqih mana yang mereka ikuti. Padahal kita semua tahu bahawa Imam Muslim dan para ulama hadis di zamannya juga sekali gus merupakan imam besar dalam bidang fiqih, sebagaimana al-Bukhari dan Imam Ahmad. Dan jika kita memperhatikan kitab Sahih Muslim, bagaimana metode Imam Muslim membela hadis, bagaimana penyusunan urutan pembahasan yang beliau buat, memberikan isyarat bahawa beliau pun seorang ahli fiqih yang memahami fiqih diantara ulama. Oleh sebab itulah Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Taqrib (529) mengatakan : "Muslim bin Hajjaj adalah ahli fiqih".

Namun beberapa pendapat tentang mazhab fiqih Imam Muslim. Di antaranya sebagaimana yang diutarakan oleh Haji Khalifah dalam kitab Kasyfuz Zhunun (5551) ketika menyebut nama Imam Muslim : "Muslim Ibnu Al Hajjaj Al-Qusyairi An Naisaburri As-Syafi'i. Siddiq Hassan Khan juga bersetuju dengan perkara tersebut dalam kitabnya Al-Hithah (198). Namun pendapat ini perlu diteliti semula. Kerana terdapat beberapa petunjuk yang dijadikan dasar oleh sebahagian ulama untuk mengatakan Imam Muslim bermazhab Hambali. Di antara petunjuk tersebut adalah Imam Muslim memiliki kitab yang berjudul Sualaat Ahmad bin Hanbal. Selain itu Imam Muslim juga berguru dengan Imam Ahmad bin Hambal dan mengambil hadis daripadanya. Diceritakan dalam Thabaqat Al Hanabilah (4132) bahawa Imam Muslim juga memuji Imam Ahmad dengan mengatakan : "Imam Ahmad adalah salah satu ulama Huffazal Atsar (ketua ilmu hadis.) Namun semua ini juga tidak menunjukkan bukti yang pasti bahawa beliau berpegang kepada Hambali.

Pendapat yang benar adalah bahawa Imam Muslim berpegang kepada mazhab Ahlus Sunnah dan tidak taqlid pada salah satu imam mazhab. Sebagaimana diterangkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Majmu Al-Fatawa (3920) : "Adapun Al-Bukhari dan Abu Daud, mereka berdua adalah Imam Mujtahid dalam fiqih. Sedangkan Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasai', Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Abu Ya'la, Al-Bazzar dan yang setaraf mereka, semuanya berpegang kepada mazhab Ahlul Hadis dan tidak taklid kepada salah seorang Imam Mazhab. Mereka juga tidak termasuk Imam Mujtahid dalam fiqih secara mutlak. Namun terkadang (dalam fiqih mereka) memiliki kecenderungan untuk mengambil pandangan ulama Ahlul Hadis seperti As-Syafie, Ahmad, Ishaq, Abu Ubaid dan yang setaraf mereka.

Pujian Para Ulama

Kedudukan Imam Muslim di antara  para ulama Islam tergambar daripada banyaknya pujian yang dilontarkan kepadanya. Pujian datang daripada guru-gurunya, orang-orang terdekatnya, murid-muridnya juga para ulama yang hdiup sesudahnya. Dalam Tarikh Dimasyqi (8958), diceritakan bahawa Muhammad bin Basyar, salah seorang guru Imam Muslim berkata : "Ada empat orang yang hafalan hadisnya paling hebat di dunia ini : Abu Zur'ah dari Ray, Muslim Ibnu Al-Hajjaj dari Naisabur, Abdullah bin Abdirrahman Ad Darimi dari Samarkand, dan Muhammad bin Ismail Al-Bukhara".

Ahmad bin Salamah dalam Tarikh Baghdad (10213/103) berkata : "Aku melihat Abu Zur'ah dan Abu Hatim Ar Razi mengutamakan pendapat Muslim dalam mengenali kesahihan hadis dibandingkan para Syeikh lain di masa mereka hidup".

Diceritakan dalam Tarikh Dimasyqi (8958), Ishaq bin Mansur Al Kausaz berkata kepada Imam Muslim : "Kami tidak kehilangan kebaikan selama ALLAH masih menghidupkan engkau dalam kalangan kaum Muslimin".

Dalam Tazkiratul Huffaz, Az-Zahabi juga memuji Imam Muslim dengan sebutan : "Muslim Ibnu Al-Hajjaj Al-Imam Al-Hafiz Hujjatul Islam."

Imam An Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata : "Para ulama sepakat tentang keagungan Imam Muslim, keimanannya, peranan besarnya dalam ilmu hadis, kebijaksanaanya dalam menyusun kitab ini, keutamaannya dan kekuatan hujjah-nya."

Wafatnya Imam Muslim

Diceritakan oleh Ibnu Salah dalam kitab Siyanatu Muslim (1216) bahawa wafatnya Imam Muslim disebabkan hal yang tidak biasa iaitu disebabkan keletihan fikiran dalam menelaah ilmu. Kemudian disebutkan kisah wafatnya daripada riwayat Ahmad bin Salamah : "Abul Hussain Muslim ketika itu mengadakan majlis untuk mengulang hafalan hadis. Lalu disebutkan kepadanya sebuah hadis yang beliau tidak ketahui. Maka beliau pun pergi menuju rumahnya dan terus menyalakan lampu. Beliau berkata kepada orang yang berada dalam rumah : 'Sesungguhnya, jangan biarkan orang lain masuk ke rumah ini'. Kemudian ada yang bertanya kepadanya : 'Mahukah engkau kami hadiahkan sebakul kurma?'. Beliau menjawab : 'Ya, berikan kurma-kurma itu kepadaku'. Kurma pun diberikan. Ketika itu beliau sedang mencari sebuah hadis. Beliau pun mengambil kurma satu per satu lalu mengunyahnya. Pagi pun datang dan kurma telah habis. Dan beliau menemukan hadis yang dicari". Al-Hakim mengatakan bahawa terdapat tambahan tsiqah pada riwayat ini iaitu : "Sejak itu Imam Muslim sakit kemudian wafat". Riwayat ini terdapat pada kitab Tarikh Al-Baghdadi (10313), Tarikh Dimasyqi (9458), dan Tahzibul Kamal (50627). Beliau wafat pada hari Ahad dan dimakamkan pada hari Isnin, 5 Rejab 261H.

Semoga ALLAH sentiasa merahmati beliau. Namanya terus dikenali sehingga hari ini. Sesungguhnya ini merupakan hasil daripada perjuangan yang berat dan mulia. Semoga ALLAH S.W.T menerima amalannya yang mulia dan membalasnya dengan yang lebih baik di hari di mana tidak ada pertolongan ALLAH S.W.T.

Disalin dari : Sahih Al-Lu'lu Wal Marjan Karya Muhammad Fuad Abdul Baqi'

Post a Comment

0 Comments