[SAJAK] : RAYUAN KEPADA MELAYUKU


Wahai Melayuku! Kembalilah bersatu seperti dulu
Wahai Melayuku! Kembalilah kau bina perpaduan itu
Wahai Melayuku! Kembalilah kau utuhkan persaudaraan sebangsa

Untuk apakah wahai Melayuku
kau ikutkan perasaan keterlaluan
penuh ketaksuban politik pujaan?
Apakah kerana melansungkan perjuangan
merealisasikan impian?
Tapi mengapa sampai mencetus api sengketa?
tidakkah kau sedar wahai Melayuku!
dengan demikian kau sebenarnya membuka
ruang perpecahan yang amat dalam
terus saja mengheret sekalian bangsamu
terjunam ke dasarnya penuh sengsara?

Siapakah nanti wahai Melayuku!
yang paling rugi? Kalau bukan kita sendiri
tidakkah kau sedar wahai Melayuku?
Tidakkah kau sedar perpecahan sesuatu bangsa
menjadi punca kelemahan dan keruntuhan sesebuah negara?

Jembalang durjana itu pun menangguk kesempatan
untuk kembali mendirikan kuasa penjajahannya
di sini kesekian kali wahai Melayuku!

Jika itu terjadi wahai Melayuku!
mahukah kau dikutuk oleh generasi mendatang?
mahukah kau wahai Melayuku? Mahukah kau?


Nukilan : Alidin Mohamad
_______

Serambi Puisi
Air Molek, Melaka 2001

Post a Comment

0 Comments