[SAJAK] : SEDARLAH...MELAYU


Oleh : Nurah Al-Jantan

Oh bangsa! Oh bangsa!
sedarlah...cuba jaga
negeri kita porak-peranda
bangsa lain datang menggoda.

Sedarlah... cuba jaga
hari dah siang matahari dah terbit

bangsa lain datang menggoda
orang datang menghimpit.

Hari dah siang matahari dah terbit
cahaya memancar di celah awan
orang dagang datang menghimpit
orang Melayu hendak dilawan.

Cahaya memancar di celah awan
awan berarak di puncak kayu
orang Melayu hendak dilawan
cubalah sedar wahai bangsaku!

Awan berarak di puncak kayu
menurunkan hujan menderu-deru
cubalah sedar wahai bangsaku!
saya cuba tumpang berseru.

Menurunkan hujan menderu-deru
berserta ribut terlalu azimat
saya cuba tumpang berseru
mudah-mudahan mendapat rahmat.

Berserta ribut terlalu azimat
habis tumbang segala kayu
mudah-mudahan mendapat rahmat
kepada sekalian kaum Melayu.

Habis tumbang segala kayu
hujan teduh hari pun malam
kepada sekalian kaum Melayu
tiba di sini direbahkan kalam.

Hujan teduh hari pun malam
hilang malam berganti pagi
tiba di sini direbahkan kalam
mana yang salah jangan dikeji.

________

Al-Hikmah
16 Ogos 1936
Melaka

Post a Comment

0 Comments