KISAH TERBUNUHNYA ALI BIN ABI THALIB R.A

Diriwayatkan dari Zaid bin Wahb, dia berkata "Ali datang kepada sekelompok penduduk Basrah yang bermazhab Khawarij. Diantara mereka ada seorang lelaki yang bernama Al Ja'd bin Ba'jah. Al Ja'd berkata kepada Ali, 'Bertakwalah kepada ALLAH, wahai Ali, kerana sesungguhnya kamu akan mati!' Ali R.A membalas semula kepadanya, 'Bahkan aku akan dibunuh dengan sebuah pukulan pada bahagian ini yang akan mewarnai bahagian ini. Maksudnya, sebuah pukulan pada bahagian kepala yang darahnya akan mewarnai rambut janggut. Hal itu adalah sebuah perkara yang ditetapkan dan qadha telah ditentukan. Sungguh kerugian bagi orang yang berdusta;."

Diriwayatkan dari Abu Thufail, dia berkata, "Orang-orang membaiat Ali sebagai khalifah. Lalu Abdurrahman bin Muljam Al Muradi datang. Namun Ali menolaknya sampai dua kali. Setelah itu dia kembali datang sehingga Ali pun berkata, 'Apa yang membuat orang paling celaka tidak merealisasikan keinginannya?' (Ali juga berkata kepada dirinya sendiri sebagai berikut), 'Pasti bahagian janggutmu akan diwarnai darah kepalamu'. Kemudian Ibnu Muljam membaca dua bait syair berikut :

'Perkuatlah bahagian tengah dadamu, kerana sesungguhnya maut akan datang kepadamu
Janganlah kamu takut pada kematian jika dia benar-benar telah datang pada dirimu;."

Diriwayatkan dari Abu Mijlaz, dia berkata, "Ada seorang lelaki dari daerah Murad datang mengadap Ali yang ketika itu sedang menunaikan ibadah solat dalam masjid. Lalu lelaki itu berkata, 'Berhati-hatilah kamu, kerana sesungguhnya beberapa orang dari daerah Murad hendak membunuhmu!' Maka Ali berkata, 'Sesungguhnya setiap orang diawasi oleh dua malaikat yang senantiasa memperhatikannya. Jika takdir telah datang, maka kedua malaikat itu akan membiarkan orang itu berhadapan seorang diri dengan takdir tersebut. Sesungguhnya ajal merupakan benteng yang sangat kukuh."

Menurut para ulama sejarah, Abdurrahman bin Muljam telah menikam Ali R.A di Kufah pada hari Jumaat tanggal 17 Ramadan. Namun ada yang mengatakan pada tanggal 21 Ramadan tahun 40H. Dia masih hidup pada hari Jumaat dan Sabtu. Namun pada malam Ahad, Ali bin Abi Thalib menghembuskan nafasnya yang terakhir. Yang memandikan jenazahnya adalah kedua puteranya, Hasan dan Husain dan Abdullah bin Ja'far. Sedangkan yang memimpin solat jenazahnya adalah Hasan. Jenazah Ali dimakamkan di daerah As-Sihr. Mengenai usianya, ada empat pendapat di kalangan ulama. Pendapat pertama menyebut bahawa Ali ketika meninggal, usianya adalah 63 tahun. Pendapat kedua mengatakan bahawa usianya 65 tahun dan pendapat ketiga menyebutkan 57 tahun. Dan pendapat keempat menyebutkan bahawa usia Ali ketika wafat adalah 58 tahun.

Diriwayatkan oleh Ja'far bin Muhammad, dari ayahnya, dia berkata "Ali R.A dibunuh ketika berusia 58 tahun. Hasan juga meninggal dalam usia 58 tahun. Begitu juga dengan Husin yang dia mati terbunuh pada usia 58 tahun. Sedangkan Ali bin Husin ternyata meninggal dunia pada usia 58 tahun."

Sufian berkata, "Aku mendengar Ja'far bin Muhammad berkata, "Menurutku, Ali meninggal dalam usia lebih dari 58 tahun'."

Diriwayatkan dari Abu Ja'far, dia berkata, "Ali bin Abi Talib meninggal dunia pada usia 65 tahun. Usia kematian Ali, Thalhah dan Az-Zubair adalah sama."

Sumber : Shifatush Shafwah (Kisah-Kisah Orang Pilihan), Jilid 1, karya Imam Ibnu Al Jauzi. 

Post a Comment

0 Comments