Pengurus Besar Kanan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata ia jumlah yang besar dengan anggaran hampir RM10 juta, namun beliau percaya caj itu dikenakan berdasarkan kepada pelbagai perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji saban tahun.
“Ingin saya nyatakan di sini, TH akan menanggung 300 (SAR). Nak memohon visa bagi mana-mana negara sudah tentu akan ada caj. Saya yakin ada sebab kenapa Kerajaan Arab Saudi kenakan caj ini.
“Dengan kemudahan luar biasa yang mereka (Kerajaan Arab Saudi) berikan, mereka sediakan pelbagai kemudahan serta perkhidmatan kepada tetamu Allah untuk memudahkan mereka mengerjakan haji dan mencapai haji mabrur,” katanya.
Syed Saleh berkata demikian ketika ditemui BERNAMA selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Pengurusan Haji: Cabaran Masa Kini’ terbitan Bernama TV, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji, berkata caj yang dikenakan itu adalah peraturan baharu dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi kepada semua jemaah dari seluruh dunia selepas memansuhkan bayaran 2,000 Riyal Saudi (RM2,168) yang dikenakan kepada jemaah haji berulang.
Pada 22 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya semasa mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammad Saleh bin Taher Benten.
Perbincangan berkenaan adalah berhubung isu-isu berkaitan hal ehwal pengurusan dan persiapan jemaah haji dari Malaysia bagi musim haji 1441H.
Mengenai kos menunaikan haji, Syed Saleh berkata, walaupun TH berhadapan faktor peningkatan kos setiap tahun, beliau memberi jaminan kos itu masih kekal ketika ini, namun TH akan meneliti perkara itu demi kelangsungannya sebagai pengurus dana 9.4 juta pendeposit.
“Kalau kita lihat pada 2009, kos menunaikan haji hanya RM12,600, namun tahun lalu meningkat kepada RM22,900, ia satu peningkatan begitu mendadak, tetapi kita kekalkan bantuan haji. Jemaah haji berdaftar yang menunaikan haji di bawah kelolaan TH hanya tanggung RM9,980.
“Peningkatan ini menjadi cabaran kepada kita. Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini sebab kita mahu kekalkan perkhidmatan bertaraf dunia, namun pada masa sama peningkatan kos menjadi cabaran di luar kawalan,” katanya.
Berkongsi Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) bagi pengurusan haji tahun lalu, Syed Saleh berkata, ia mencapai tahap 90 peratus bagi musim haji 1440H.
“Bagi saya angka ini cukup tinggi kerana kita beroperasi di negara orang, pelanggan kita (jemaah haji) adalah mereka dalam kalangan golongan lanjut usia yang mungkin tidak pernah ke luar negara, tetapi kita dapat kendalikan dengan baik. Mereka suarakan kepuasan pada indeks yang cukup tinggi,” katanya.
Bagi melancarkan operasi haji tahun ini, beliau berkata, seramai 600 petugas TH akan terbabit dalam pengendalian pengurusan haji, termasuk 250 petugas perubatan membabitkan 60 doktor dan doktor pakar, 50 pembimbing haji serta selebihnya petugas Jabatan Pendaftaran Negara dan kaunselor.
Seramai 31,600 bakal jemaah haji akan mengerjakan haji musim ini berbanding 30,200 jemaah tahun lalu. Mereka dijadualkan menerima surat tawaran secara berperingkat mulai Selasa.
Pertambahan kuota itu adalah hasil rundingan Kerajaan Malaysia khususnya TH dengan Kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota seiring peningkatan jumlah penduduk negara ini. - BERNAMA