WAHSYI : SEORANG MUSLIM BERKULIT HITAM YANG TIDAK MAHU DILIHAT OLEH RASULULLAH ﷺ


Diriwayatkan dari Ja'far bin Amr Adh-Dhamri, dia berkata : Aku pergi ke Syam bersama dengan Ubaidullah bin Adi bin Al Khiyar. Ketika kami telah sampai di daerah Himsh, Ubaidullah berkata kepadaku, "Apakah kamu memiliki maklumat tentang Wahsyi? Kami akan bertanya mengenai dirinya iaitu orang yang telah membunuh Hamzah." 

Aku pun menjawab, "Ya, Wahsyi dahulu memang tinggal di daerah Himsh". Maka kami mencarinya sampai akhirnya berdiri di hadapannya (di hadapan Wahsyi). Kami mengucapkan salam dan tertnyata dia menjawab salam kami. Ketika itu Ubaidullah menutup kain serbannya pada wajahnya. Wahsyi tidak dapat melihat Ubaidullah kecuali hanya pada kedua mata dan kedua kaki Ubidullah. Maka Ubaidullah berkata, "Wahai Wahsyi, apakah kamu mengenaliku?" Maka Wahsyi melihatnya sambil berkata, "Demi ALLAH tidak. Yang aku ketahui hanya Adi bin Al Khiyar yang telah menikah dengan seorang wanita. Lalu wanita itu melahirkan seorang anak lelaki baginya. Akulah yang mencari ibu susuan bagi anak itu. Aku membawa anak itu dan ibunya sehingga menyerahkan anak itu kepada ibu susuannya itu. Sepertinya aku pernah melihat kedua kaki anak itu."

Maka Ubaidullah menyingkap kain serban yang menutupi wajahnya kemudian berkata "Tidakkah kamu mahu memberitahukan kepada kami tentang tragedi pembunuhan Hamzah?" Wahsyi berkata "Ya, sesungguhnya Hamzah telah membunuh Thu'aimah bin Adi bin Al Khiyar ketika perang Badar. Maka tuanku bernama Jubair bin Muth'im berkata kepadaku, 'Jika kamu boleh membunuh Hamzah bersama pak cikku, maka kamu akan merdeka (dari status hamba sahaya)'. Maka, ketika orang-orang telah keluar untuk berperang pada tahun Ainain (tahun terjadinya perang Uhud) - menurut perawi, yang dimaksudkan dengan annain adalah pergunungan Uhud. Di antara pergunungan itu ada sebuah lembah - aku pun ikut pergi bersama mereka menuju medan perang.

Tatkala mereka telah berbaris untuk siap berperang, ternyata si binatang buas (Ibnu Abdil Uzza Al Khaza'i) keluar sambil berkata, 'Apakah ada orang yang mahu berduel (perang tanding / berlawan seorang lawan seorang)?' Maka Hamzah keluar menyahut cabaran untuk menentang Ibnu Abdil Uzza. Dia (Hamzah) berkata 'Wahai binatang buas, wahai putera Ummu Anmar, bedebah kamu! Apakah kamu akan menentang ALLAH dan Rasul-NYA?' Kemudian Hamzah menyerang si binatang buas tersebut seperti orang yang mengkehendaki kematiannya. Aku sendiri ketika itu bersembunyi di bawah batu besar untuk membunuh Hamzah. Ketika dia berada di hadapanku dan semakin dekat dengan (kedudukan) aku , maka aku langsung menikamnya dengan tombak pendek itu di bahagian antara pusat dan rambut kemaluannya. Tombak pendek itu menembusi pangkal pahanya. Maka berakhirlah kehidupan Hamzah.

Ketika orang-orang (pasukan perang kafir) pulang, aku pun ikut pulang bersama-sama dengan mereka. Lalu aku bermukim di Makkah sampai agama Islam tersebar di negeri tersebut (sampai Fathu Makkah). Barulah setelah itu aku keluar menuju Taif. Lalu orang-orang mengutus delegasi untuk mengadap Rasulullah ﷺ. Mereka berkata, 'Sesungguhnya Rasullah tidak akan pernah membuat para delegasi merasa khawatir (kecewa)'. Maka aku memutuskan untuk pergi bersama mereka sampai akhirnya aku ikut mengunjungi Rasulullah. Ketika melihatku, Rasulullah ﷺ bersabda, 'Kamukah Wahsyi?'. Aku menjawab, 'Benar'. Rasulullah ﷺ kembali bersabda, 'Kamukah yang membunuh Hamzah?' Aku menjawab, 'Seperti yang telah Anda ketahui, wahai Rasulullah.' Rasulullah ﷺ bersabda, 'Bolehkah kamu tidak menampakkan wajahmu di hadapanku?'

Setelah itu aku pulang. Ketika Rasulullah ﷺ meninggal dunia, dan Musailamah Al Kazzab muncul, aku pun berkata, 'Pasti aku akan keluar untuk memerangi Musailamah. Mungkin sahaja aku boleh membunuhnya sehingga aku dapat menebus kesalahanku kerana membunuh Hamzah'. Aku pun keluar ikut berperang bersama orang lain (tentera Islam), maka terjadilah peristiwa sebagaimana yang telah diketahui bersama. Ternyata ada seorang lelaki yang sedang berdiri di celah dinding. Warna kulitnya mirip dengan unta yang berwarna kelabu, dan rambutnya nampak beruban. Aku membidik bahagian di antara kedua puting susunya (tetek) diantara bahunya. Maka, aku melemparkan tombak pendek ke arahnya menembusi antara dua dadanya. Lalu ada seorang lelaki dari kalangan Ansar yang melompat untuk menebas kepalanya dengan sebilah pedang."

Abdullah bin Al Fadhl berkata, aku diberi khabar oleh Sulaiman bin Yasar bahawa dia telah mendengar Abdullah bin Umar R.A berkata, "Ada seorang gadis yang ketika itu berada di atas rumahnya berkata, 'Wahai Amirul Mukminin, dia telah dibunuh oleh hamba sahaya berkulit hitam." (Hadis Riwayat Al Bukhari (4072) secara Gharib)

Sumber : Shifatush Shafwah (Kisah-Kisah Orang Pilihan), Jilid 1, karya Imam Ibnu Al Jauzi. 

Post a Comment

0 Comments