KISAH BILAL MEMBAWA DIRI KE SYAM SELEPAS RASULULLAH ﷺ WAFAT


Muhammad bin Ibrahim At-Taimi berkata "Ketika Rasulullah ﷺ meninggal dunia, Bilal mengumandangkan azan, sedangkan jenazah Rasulullah ﷺ ketika itu belum dimakamkan. Tatkala Bilal mengumandangkan lafaz "أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ ٱللَّٰهِ (Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan ALLAH)" maka orang-orang menangis dengan suara keras di dalam masjid. Ketika jenazah Rasulullah ﷺ dikebumikan, maka Abu Bakr berkata kepada Bilal, 'Kumandangkanlah Azan, wahai Bilal!' Bilal berkata, 'Jika kamu sememangnya memerdekakan aku agar supaya aku bersama-sama denganmu, maka aku akan melakukan hal itu. Namun jika kamu memerdekakan aku kerana ALLAH, maka biarkanlah (aku) pergi'. Abu Bakr menjawab, 'Aku tidak memerdekakan kamu kecuali ikhlas kerana ALLAH'. Bilal berkata 'Sesungguhnya aku tidak akan mengumandangkan Azan untuk seorang pun selepas Rasulullah ﷺ meninggal.' Abu Bakr berkata, 'Itu terserah (kepada) kamu!'. Lalu Bilal berdiri sampai akhirnya orang-orang utusan dari Syam pulang (ke wilayah mereka di Syam). Maka, Bilal ikut keluar bersama-sama mereka dan akhirnya menetap di sana [1].

Diriwayatkan dari Said bin Al Musayyib R.A, dia berkata "Ketika kekhilafahan Abu Bakr hendak dimulai, Bilal bersiap-siap untuk pergi ke Syam. Lalu Abu Bakr berkata kepadanya 'Mengapa kamu meninggalkan kami dalam keadaan seperti ini, wahai Bilal! Andai sahaja kamu tinggal bersama-sama dengan kami dan turut membantu kami.' Bilal menjawab, 'Jika dahulu kamu memerdekakan aku kerana ALLAH, maka biarlah aku pergi. Namun jika kamu dahulu memerdekakan aku untuk dirimu, maka tahanlah diriku untukmu!' Maka, Abu Bakr mengizinkan Bilal untuk pergi ke Syam sampai akhirnya dia meninggal di negeri tersebut".

Asy-Syaikh berkata, "Para ulama ahli sejarah berbeza pendapat mengenai lokasi meninggalnya Bilal. Sebahagian mereka ada yang mengatakan Bilal meninggal dunia di Damascus. Sebahagian yang lain mengatakan Bilal berkemungkinan meninggal dunia di Aleppo pada tahun 20H. Namun ada juga yang mengatakan bahawa dia wafat pada 18 H dalam usia 60 tahun lebih. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat-Nya kepada Bilal [2]"

[1] Diriwayatkan oleh At-Tabarani dalam Al Kabir, 1/337
[2] Sila buat rujukan pada buku-buku sejarah yang menceritakan perihal ini.

Sumber : Shifatush Shafwah (Kisah-Kisah Orang Pilihan), Jilid 1, karya Imam Ibnu Al Jauzi. 

Post a Comment

0 Comments