TEXAS: Para doktor berjaya melakukan pembedahan untuk mengeluarkan cacing pita dari kepala seorang pesakit dalam satu kes yang disifatkan mereka sebagai ajaib. CNN melaporkan para doktor berpendapat, cacing pita itu sudah berada dalam kepala pesakit - yang hanya dikenali sebagai Gerardo - selama lebih sedekad setelah beliau memakan daging babi yang mentah.
Lelaki berkenaan memutuskan untuk menjalani pemeriksaan imbasan MRI setelah pengsan tahun lalu semasa bermain bola sepak. Beliau juga dilaporkan berasa kurang sihat beberapa bulan sebelum itu. “Selepas pembedahan yang kompleks dijalankan, pesakit itu tidak lagi mengalami sakit kepala dan kembali bekerja serta berada dalam keadaan normal,” kata pakar bedah saraf di Austin, Dr Jordan Amadio kepada Associated Press.
Mengulas lanjut, Dr Amadio berkata pesakit itu bagaimanapun tidak pasti secara khusus bagaimana dan bila beliau dijangkiti cacing pita, namun menyatakan kemungkinan berlaku apabila memakan daging babi di Mexico. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), manusia boleh dijangkiti dengan cacing pita jika memakan daging lembu atau babi secara mentah atau separuh masak. Bagaimanapun menurut AP, CDC menyatakan sesetengah individu yang dijangkiti tidak memerlukan rawatan kerana kadangkala cacing pita itu keluar daripada badan pesakit dengan sendiri. - PenaMinang.com / CNN / MCS