TERKINI : KEMATIAN AKIBAT CORONAVIRUS DI CHINA MENINGKAT KE 425 ORANG


BEIJING: Angka korban akibat penularan virus korona baru 2019 (2019-nCoV) di China melonjak kepada 425, setelah wilayah Hubei melaporkan 64 kematian baru pada Selasa (4 Februari).

Dalam kemas kini hariannya, perangkaan daripada suruhanjaya kesihatan di Hubei, yang paling teruk terjejas akibat penularan virus tersebut, juga memperlihatkan peningkatan yang mendadak pada kes jangkitan yang disahkan, dengan 3,235 kes baru.


Ini bermakna jumlah kes di seluruh negara itu adalah sebanyak 20,400 sekarang, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh pemerintah pusat sebelum ini.

Wabak yang sudah diisytiharkan sebagai darurat kesihatan global itu dipercayai mula dikesan pada Disember lalu di sebuah pasar yang menjual haiwan liar di Wuhan, ibu kota Hubei.

Kini terdapat kes-kes yang dilaporkan di lebih 20 negara.


Terdapat satu kematian yang dilaporkan di luar China, iaitu di Filipina.

Pemerintah China mengumumkan bahawa ia memerlukan pelitup muka, suit perlindungan dan gogal keselamatan “dengan segera” di tengah-tengah usahanya untuk membendung penularan virus tersebut. - PenaMinang.com / MCS