Virus itu, yang sudah meragut lebih 360 nyawa di China, boleh merebak melalui sistem penghadaman dan ke najis manusia, menurut para saintis yang dipetik agensi berita Xinhua.
Ini bermakna bahawa virus itu boleh masuk melalui laluan tinja oral, di mana patogen boleh melewati najis dan memasuki mulut orang lain.
Ia mungkin berlaku disebabkan oleh amalan kebersihan yang lemah, kekurangan sanitasi, tanah dan air yang tercemar dengan bahan najis atau pencemaran makanan.
Para pakar dari Hospital Renmin Universiti Wuhan dan Institut Virologi Akademi Sains Wuhan mendapati bahawa tanda-tanda awal bagi sesetengah pesakit yang dijangkiti virus korona baru itu adalah cirit-birit dan bukan demam, satu gejala yang lebih lazim berlaku.
Pasukan penyelidik menemui asid nukleik pada najis pesakit dan rektum (bahagian akhir usus besar) dan percaya bahawa virus korona baru berkemungkinan merebak laluan tinja oral, selain jangkitan menerusi titisan cecair dan sentuhan.
China mengesahkan pada Isnin lebih 17,000 kes virus korona baru di negara itu.
Kematian pertama di luar China akibat virus itu dilaporkan pada Ahad di Filipina, sehari selepas China mengenakan sekatan perjalanan ke atas sebuah bandar utama jauh dari Wuhan.
Kebanyakan jangkitan di luar negara dikesan pada mereka yang mempunyai rekod lawatan ke Wuhan, sebuah hab perindustrian yang didiami oleh 11 juta penduduk, atau kawasan-kawasan di sekeliling wilayah Hubei.
China melancarkan usaha besar-besaran untuk membendung penularan virus itu, yang dipercayai berasal dari sebuah pasaran haiwan di Wuhan.
Selain China, jangkitan dari manusia ke manusia turut dilaporkan di Korea Selatan, Jepun, Jerman dan Thailand. - CNA/PenaMinang.com