Oleh : Allahyarham Aziz Sattar* Saya tidak dapat melupakan peristiwa yang menimpa diri saya pada tahun 1944. Seorang rakan saya berbangsa Arab bernama Syed Hussin Al-Alkap. Rumah keluarganya berhadapan dengan rumah Lee Kuan Yew lama. Kebanyakan rumah bentuk lama ada tempat letak kereta tertutup. Begitu juga dengan rumah rakan saya. Saya diberitahu oleh beliau bahawa ada tentera Jepun menyembunyikan beras di dalam tempat kereta. Mengetahui perkara itu, saya bersama rakan mencuri masuk dan mengambil beberapa guni beras. Separuh daripadanya saya jual dan separuh lagi saya bahagi dua dengan Syed Hussin.
Selepas beberapa hari, saya pergi menonton filem Jepun di pawagam Alhambra di Beach Road (kini tempat itu sudah menjadi banggunan Shaw Tower). Selesai menontonnya saya keluar seperti biasa. Tiba-tiba saya ditahan oleh mata-mata gelap (CID) berbangsa Melayu (Orang Melaka). Saya digari dan dibawa ke Balai Polis Orchard Road. Apabila saya tiba di balai, rupa-rupanya Syed Hussin sudah berada di dalam lokap di balai polis itu.
Selesai disiasat, saya juga dimasukkan ke dalam lokap. Kami hanya diberi makan segemgam nasi dan kuah sahaja. Tidak berapa lama saya dijamin oleh ayah saya, dan begitu juga dengan Syed Hussin. Setelah dibicarakan beberapa kali, saya dan Syed Hussin dibebaskan tanpa syarat kerana kurang bukti yang kukuh. Mengikut keterangan hakim, mustahil tertuduh yang berbadan begitu kecil boleh mengangkat guni beras yang begitu besar.
Memanglah benar anggapan hakim itu. Tetapi sebenarnya kami memindahkan beras ke guni yang lebih kecil bagi memudahkan kami membawanya keluar. Guni asal, saya buang jauh ke tempat lain. Berjaya juga helah kami itu menyelamatkan kami daripada tuduhan dan hukuman. *Dipetik dari Buku 'Meredah Gelombang Seni : Sebuah Memoir' karya Datuk Aziz Sattar