COVID-19 : PENUTUPAN DATARAN TAWAF DI MASJIDIL HARAM


MAKKAH, 6 MAC 2020 / 11 RAJAB 1441H : Kerajaan Arab Saudi telah melakukan tindakan menutup dataran tawaf (Mataf) di Masjidil Haram sebagai tindakan mengekang penyebaran wabak Coronavirus (COVID-19) yang kini telah membunuh 3,348 orang di seluruh dunia.

Dalam pada itu Arab Saudi turut mencatatkan kes wabak COVID-19 dikalangan warganegaranya. Sehingga kini, hampir 5 orang didapati mempunyai simpton COVID-19 yang masing-masing mempunyai sejarah perjalanan ke Qom, Iran.

Untuk mengekang penyebaran wabak berkenaan, pihak pentadbiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi membuat keputusan untuk menutup sementara dataran tawaf di Masjidil Haram dan kompleks masjid Nabawi (Masjid Lama) untuk tujuan pembersihan dan pensterilan. Dan berikut merupakan antara tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi (Masjid Lama) untuk mengekang COVID-19.

1. Menutup kompleks Masjidil Haram dan Masjid Nabawi satu jam selepas solat Isya'. Dan kompleks akan dibuka kembali satu jam sebelum solat fajar.

2. Menghalang kemasukan jemaah umrah dari melakukan Umrah (termasuk jemaah Domestik dari Arab Saudi dan penduduk Makkah) sepanjang tempoh larangan umrah dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

3. Menutup secara keseluruhan Mataf (tempat tawaf) dan Sai'e sehingga larangan umrah dibatalkan.

4. Tong-tong yang mengisi air zam-zam akan dihentikan bekalannya.

5. Sesiapa yang memakai ihram akan dihalang memasuki kompleks masjidil haram dan dataran masjidil haram.

6. Masjid Nabawi akan ditutup sejam selepas solat Isya' dan dibuka kembali satu jam sebelum solat Subuh (Fajr)

7. Penutupan masjid lama di kompleks masjid Nabawi termasuk kawasan Raudhah, Makam Nabi dan perkuburan Baqi sehingga tempoh larangan umrah ditarik balik oleh kerajaan Arab Saudi.

8. Solat hanya dibenarkan di dalam kompleks masjidil haram. Iktikaf dalam satu tempoh masa yang lama tidak dibenarkan.

9. Sebarang makanan dan minuman dilarang dibawa masuk ke Masjidil Haram.