KERANA KAU BERKULIT GELAP, MAKA SELAYAKNYA KAU DIHINA


Oleh : Anasz*

1. Tah apa sebab tetiba semua nak maki-maki. Benar, ada yang tak selesa dengan kehadiran mereka yang ramai ke Malaysia. Benar, ada yang lihat mereka ni pengotor sebab kuat buang sireh tepi dinding. Benar, ada yang dah besar kepala. Benar, ada yang jahat. Namun adakah kita nak "pukal"kan kesemua kesalahan pada satu kaum hanya disebabkan tindakan beberapa individu yang tidak bertanggungjawab yang datang dari etnik berkenaan?

2. Dalam masa yang sama, korang nak maki lebih-lebih ni dah kenapa? Boleh tak korang just tahan sikit rasa marah korang tu dan biarkan mereka-mereka yang duduk kat Wisma Putra dan KDN serta PBT selesaikan masalah ini.

3. Apa korang tak baca hadis Nabi S.A.W ke?

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik radiallahuanhu, pembantu Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam, dari Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam, beliau bersabda, "Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Apakah korang tak takut dengan ancaman Nabi?

5. Kalau korang tak nak terima mereka. Just diam. Kalau nak bercakap dan luah perasaan pun, cukup dengan perkataan yang paling minimun, misalnya "Maaf, kami tak boleh terima kehadiran anda". Dan dalam Islam, tak jadi masalah untuk kita tolak kehadiran orang luar ke dalam "rumah kita".

6. Yang siap maki hamun, kata Rohingya tak berani mempertahankan tanah air mereka, dan lari meninggalkan negara, bagi aku ianya satu subjektif. Sebab dalam Islam sendiri tak menghalang kita untuk berhijrah mencari tempat yang lebih aman. Malah perpindahan mereka mencari tempat yang lebih aman adalah sebahagian dari jihad mereka untuk menyelamatkan nyawa mereka dari ditindas.

7. Adapun yang kata pelarian berkenaan adalah pelarian ekonomi dan sebagainya, maka yang itu boleh diperhalusi di lain masa.

8. Dalam masa yang sama, aku juga nak cakap kat korang semua bahawa, tindakan Malaysia untuk menghalang kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini pun dibuat atas dasar keselamatan.

9. Kita tak tahu latar belakang mereka. Apa status kesihatan mereka. Dan ditambah negara kini berhadapan dengan COVID-19, jadi 'ijtihad' pemerintah buat masa ini untuk menghalang kemasukan Rohingya ke negara ini aku rasa tepat pada masanya walaupun ada pihak yang mengatakan ianya tidak selaras dengan moral.

10. Dan perlu dimaklumkan disini, Malaysia tidak menandatangani dan meratifikasi konvensyen antarabagsa mengenai pelarian (UNHCR) sekaligus tidak 'mewajibkan' Malaysia menerima mana-mana individu sebagai pelarian.

11. Dan walaupun Malaysia tidak meratifikasikan perjanjian berkenaan, Malaysia pada masa sebelum COVID-19 sudah pun mempunyai banyak pelarian yang tinggal di negara ini. Tak kesah daripada mana negara sekalipun.

12. Cuma bila aku nampak ada kawan-kawan Muslim yang maki-maki etnik Rohingya ni aku mula rasa pelik. Tatkala mereka begitu sakan memperjuangkan nasib rakyat Palestin, Bosnia, dan Selatan Thai, kenapa bab Rohingya ni nak maki teruk-teruk.

13. Adakah sebab mereka berkulit gelap? Maka mereka selayaknya mendapat makian? Wallahualam.

14. Apa pun, aku mengharapkan sangat-sangat agar kita yang muslim ini, kawal emosi dan mulut kita. Tak nak terima tak mengapa. Namun nak maki tu, aku harap janganlah. Sebab mahu tak mahu, Rohingya ni adalah saudara seagama kita.

* Penulis merupakan graduan Sarjana dalam jurusan Analisis Strategi dan Keselamatan dari UKM.