KAUM HUNZAIL DARI BANI LIHYAN MENGHASUT RAJA YAMAN MENGHANCURKAN KA'BAH


Oleh : Prof Dr. Ali Husni Al-Kharbuthli*

ALLAH S.W.T telah memberikan kelebihan keatas negeri Yaman dengan curahan hujan yang tinggi dan tanah yang subur sehingga negeri tersebut menghasilkan hasil pertanian dalam skala yang besar. Inilah yang membuatkan negeri Yaman berkembang dan bertambah makmur. Bahkan ianya mendapat julukan Bilad Al-Arab As-Saidah atau negeri Arab yang bahagia. Selain itu, kedudukan geografi negeri Yaman juga sangat strategik. Ia berada di kedudukan di pertengahan jalur perdagangan dunia.


Seperti halnya di Yaman, Makkah adalah negeri yang kehidupan penduduknya sejatera kerana keberadaan Ka'bah - Yang menjadi tumpuan ribuan jemaah Haji dan para pedagang. Pasar-pasar besar tumbuh di sekitar Makkah dan kegiatan perniagaan semakin ramai. Ini semua membuatkan sebahagian dari tokoh Yaman khuatir akan pengaruh negatif ekonomi yang bakal diterima oleh mereka. Maka, aroma persaingan antara Yaman dan Makkah pun mulai terasa.




Sehingga pada kemuncaknya, sebahagian daripada tokoh kepimpinan di Yaman berpandangan bahawa Ka'bah perlu dihancurkan agar kegiatan ekonomi mereka tidak terancam. Namun begitu, mereka sendiri ragu-ragu melakukannya kerana keagungan Ka'bah di mata suku-suku Arab. Mereka khuatir jika Ka'bah dihancurkan, suku-suku Arab yang lain akan menyerang mereka semula.

Sebenarnya, persaingan antara Makkah dan Yaman ini bermula ketika sebahagian orang Hunzail dari Bani Lihyan menghantar surat kepada seorang Raja di Yaman. "Di Makkah ada sebuah rumah yang diagungkan oleh seluruh bangsa Arab. Mereka berziarah, berkorban, dan melaksanakan ibadah haji ke sana. Rumah itu diurus oleh suku Quraish, hingga membuatkan suku itu dihormati kerana kekuasaan mereka ke atas Ka'bah." Dan, orang-orang Hunzail terus memujuk raja Yaman tersebut merobohkan Ka'bah dan membangunkan sebuah banggunan yang semisalnya di Yaman. Orang-orang Hunzail itu berkata kepada Raja Yaman, bahawa yang sebenarnya 'dia' (Raja Yaman) lebih berhak menguasai Ka'bah daripada orang-orang Quraish.


Mereka berkata, "Rumah itu (Ka'bah) berserta kemuliannya lebih baik ada di bawah kekuasaanmu. Seandainya engkau pergi ke sana dan merobohkannya, lalu membangunkan Ka'bah yang serupa di Yaman, maka engkau boleh mengalihkan para jemaah Haji yang datang ke Makkah, ke Ka'bah yang engkau bangunkan. Engkau lebih berhak melakukannya daripada kaum Quraish."


Mendegar pujuk rayu orang-orang Huzail, si Raja itu pun pergi menuju ke Makkah untuk menghancurkan Ka'bah. Tetapi, sesampainya dia di Ka'bah, sang Raja berkenaan tidak melaksanakan tekadnya kerana tersentuh dengan kesucian dan keagungan Ka'bah. Maka, sebagai penghormatan sekaligus pembatalan niatnya, dia menutup Ka'bah dengan kain dan berkorban di sana.


Di antara sejahrawan ada yang mengatakan bahawa, perubahan niat sang Raja berkenaan adalah disebabkan bertiupnya angin taufan yang memporak perandakan khemah-khemah mereka. Raja itu yakin bahawa peristiwa yang melanda mereka adalah petanda murka ALLAH, sehingga membuatkannya takut akan azab-Nya yang lebih besar - jika Ka'bah benar-benar dihancurkan. Akhirnya, dalam kekesalan sang Raja berkenaan bertekad menghukum Bani Huzail yang telah menghasut dirinya untuk menghancurkan Ka'bah. Dan Raja berkenaan sememangnya bertindak sedemikian (menghancurkan Bani Huzail).


Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Umari, kemudian sejarah mencatatkan bahawa raja inilah orang pertama yang menutup Ka'bah dengan Kiswah [1]. Ketika itu, sang Raja bermimpi sedang menutup Ka'bah, maka dia pun merealisasikan mimpinya itu dan menutup Ka'bah dengan sejenis kain buatan Yaman. Raja berkenaan juga memasang pintu Ka'bah dengan ganggang kunci dari Parsi.


---


[1] Ibnu Fadhilah Al-Umari, Masalik Al-Abshar Fi Mamalik Al-Amshar, Jilid 1, Halaman 101.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Islam, Universiti Ain Shams, Kaherah, Mesir