KISAH TENTANG ISTERI NABI LUTH A.S

2 Lokasi Yang didakwa menjadi tempat kaum Luth di hapuskan.
Penulis : Al-Hafiz Ibnu Katsir
Tahqiq : Syeikh Salim bin Ied Al-Hilali

Ada yang mengatakan bahawasanya isteri Nabi Luth A.S menetap bersama kaumnya. Namun ada juga yang menyatakan bahawasanya dia pergi bersama suaminya, Luth dan kedua puterinya. Tetapi ketika dia mendengar suara keras yang mengegarkan negerinya, dia (isteri Nabi Luth) menoleh kepada kaumnya dan menentang perintah ALLAH S.W.T baik perintah-perintah yang terdahulu mahupun pada saat sedemikian. Isteri Nabi Luth berkata "Aduh, kaumku!"

Tiba-tiba ada batu yang jatuh mengenai kepalanya, sehingga dia pun terlempar bersama kaumnya, kerana dia memang satu agama dengan kaumnya itu dan menjadi mata-mata bagi mereka dalam memantau kedatangan tetamu Nabi Luth A.S.

Sebagaimana yang difirmankan oleh ALLAH S.W.T ;

Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".

[Surah At-Tahrim ayat 10].


Maksudnya, kedua isteri itu mengkhianati Nabi Nuh dan Nabi Luth A.S dalam urusan agama, dengan keengganan mengikuti keduanya dalam menjalankan urusan agama.

Dan yang dimaksudkan disini ialah, bukan merujuk kepada perbuatan keji seperti berzina, kerana ALLAH S.W.T tidak pernah menjadikan seorang isteri Nabi pun sebagai pelacur, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas serta ulama Salaf dan Khalaf : "Tidak ada seorang isteri Nabi pun yang menjual diri (melacur)." Dan, orang tang berpendapat sebaliknya, maka dia benar-benar salah.

Dan dalam hal ini, ALLAH telah menyentuh kisah hadistul ifki (berita bohong), iaitu ketika turun ayat yang menyatakan kesucian Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakr R.A, isteri Rasulullah S.A.W. dari tuduhan.

Ketika orang-orang yang berbohong tersebut menyebarluaskan kebohongan (berita palsu), ALLAH Ta'la langsung mengecam orang-orang mukmin sekaligus menasihati mereka. ALLAH S.W.T berfirman ;


Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

[Surah An-Nur ayat 15-16]

Maksudnya, Maha Suci Engkau ya ALLAH, tidak mungkin isteri Nabi S.A.W melakukan perbuatan tercela seperti itu!