PASCASISWAZAH : KEPERLUAN ATAU HANYA MENGEJAR KPI SAHAJA?


Oleh : Nazri Halif, PhD*

Zaman saya buat MSc dahulu tahun 2001, masa tu tak berapa ramai yang grad smbg MSc atau PhD. Zaman tu boleh grad hanya kerana dapat selesaikan projek & tesis. Syariat grad on time, kena ada journal Q masih belum wujud. Yang ada zaman itu hanyalah journal impact factor JIF, itupun bukan semua orang faham dan bukan ke arah itu sasarannya. Pengajian pascasiswazah MSc dan PhD secara mod penyelidikan banyak atas inisiatif sendiri tanpa adanya bengkel-bengkel tips How, Tips, Tricks, dan sebagainya.

Dana penyelidikan juga tidaklah sebanyak sekarang, universiti awam pun belum ada 20 buah waktu itu. Zaman tu buat MSc atau PhD kuranglah hal berapa banyak Q journal, dan Pensyarah pun belum ada KPI naik pangkat atas tema Q dan h-indeks. Ranking universiti pun belum diimani dan digilai sepenuhnya sebagai KPI universiti.

Zaman dah berubah, apabila penyakit gila ranking menjadi KPI universiti, maka menghasilkan ramai graduan pasca adalah keutamaan kerana dari situ akan menghasilkan banyak Q dan h yang menyumbang kepada indikator kedudukan ranking Universiti. Setiap Pensyarah perlu/wajib ke arah KPI ini walaupun kerapkali jika isu Q dan h ini disensasikan, maka pengurusan universiti akan berkata "indikator lain juga adalah KPI universiti, bukan semata-mata Q dan h". Ayat standard, tetapi realitinya hanya Q dan h sahaja yang paling utama.

Antara IPTA, masing2 mengejar ranking, masing-masig bersaing dalam menghasilkan graduan pasca MSc & PhD paling ramai setiap kali konvokesyen. Katanya ini persaingan sihat dalam dunia akademik kerana ianya adalah simbol kesarjanaan ilmu pengajian tinggi. Masyarakat di luar Kampus mungkin hanya melihat kepada persaingan jumlah graduan pascasiswazah, realitinya yang berada di dalam Kampus lebih faham apakah ini persaingan sihat atau hanya untuk KPI semata.

Jika bilangan adalah segala-galanya, bilangan graduan MSc & PhD yang dihasilkan setiap kali konvokesyen, paling dibanggakan bilangan PhD, maka sudah pasti bilangan adalah KPI utama. Apakah graduan PhD ini benar-benar mempunyai pasaran kerja? Apakah Malaysia bersedia dengan bilangan graduan PhD yang ramai? Apakah sektor industri sangat-sangat memerlukan tenaga kerja bertaraf PhD? Apakah banyak peluang kerjaya sebagai Pensyarah universiti dengan kelayakkan PhD? Apakah banyak pusat-pusat penyelidikan yang mengumpulkan ribuan penyelidik bertaraf PhD? 

Penghasilan graduan pascasiswazah adalah berbeza dengan graduan siswazah. Merit mengraduatkan pelajar Pascasiswazah terutamanya PhD adalah point besar untuk kenaikkan pangkat ke Profesor atau Profesor Madya di kalangan Pensyarah. Ini merit mandatori di kebanyakkan IPTA, walaupun akan terpacul ayat standard sekali lagi oleh pimpinan universiti jika isu ini di sensasikan, iaitu "mengraduatkan pelajar Pascasiswazah bukanlah indikator utama untuk Naik pangkat dalam akademik...." tetapi realitinya itulah yang dicari dalam menjustifikasikan kelayakkan kenaikkan pangkat akademik. Tidak penting apakah graduan pascasiswazah tadi ada kebolehpasaran, yang penting adalah Pensyarah perlu mengraduatkan MSc dan PhD, kerana ini sahajalah yang dikira sebagai point besar impak kesarjanaan ilmu.

Memang benar ada beberapa indikator lain dalam pengiraan kenaikkan pangkat, tetapi ianya hanyalah sekadar penyeri kepada prosedur kenaikkan pangkat, hanya point besar yang dinyatakan tadi adalah indikator utama. Maka ayat standard dari pimpinan universiti tetap benar walaupun ianya satu kenyataan yang bukan bersifat mutlak benar.

Freedom of Academic, sememangnya banyak point lain, tetapi ianya sekadar cukup syarat sahaja kerana yang lain adalah ke arah singularity academic - mengejar point utama, benda lain tiada makna (pointless).

*Penulis merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Post a Comment

0 Comments