SIAPA WAHABI?


Artikel sebelumnya : SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB DI DAR'IYAH

Sebagaimana yang telah disebutkan, Wahabi atau Wahabiyah itu adalah suatu pergerakan pembaharuan di bidang agama khususnya dalam bidang ketauhidan. Tujuannya adalah untuk memurnikan kembali ketauhidan yang tercemar oleh pelbagai macam bid'ah dan khurafat yang membawa kepada kemusyrikan.

Untuk mencapai tujuan tersebut, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah menempuh pelbagai macam cara dan kaedah. Kadangkala lembut, kadangkala kasar, sesuai dengan sifat orang yang dihadapinya. Beliau mendapat tentangan dari kumpulan yang tidak menyenanginya kerana sikapnya yang tegas dan tidak berganjak, sehingga musuhnya membuat pelbagai tuduhan atau fitnah ke atas dirinya dan para pendukungnya. Musuh-musuhnya pernah menuduh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah melarang para pendukungnya membaca kitab tafsir, fiqih dan hadis. Malah ada yang lebih kejam lagi apabila menuduh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah membakar beberapa kitab berkenaan, serta membolehkan mentafsir Al Quran mengikut kehendak hawa nafsu sendiri.

Apa yang dituduh dan fitnah terhadap Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab itu telah dijawab dengan tegas oleh seorang pengarang terkenal, Al Allamah Syeikh Muhammad Basyir as Sahsawani dalam bukunya yang berjudul 'Siyanah Al Insan di halaman 473 seperti berikut:

"Sebenarnya, tuduhan tersebut telah dijawab sendiri oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam suatu risalah yang ditulisnya dan dialamatkan kepada Abdullah bin Suhaim dalam pelbagai masalah yang diperselisikan itu. Di antaranya beliau menulis bahawa semua itu adalah bohong dan kata-kata dusta belaka, seperti dia dituduh membatalkan kitab-kitab mazhab, dan dia mendakwa dirinya sebagai mujtahid bukan muqallid"

Kemudian dalam sebuah risalah yang dikirimkannya kepada Abdurrahman bin Abdullah, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkata :

"Aqidah dan agama yang aku anuti ialah mazhab Ahli Sunna Wal Jama'ah, sebagai tuntutan yang dipegang oleh para Imam Muslimin, seperti imam-imam Mazhab empat dan pengikut-pengikutnya sampai hari kiamat. Aku hanya suka menjelaskan kepada orang awam tentang pemurnian agama dan aku larang mereka berdoa (mohon syafaat) pada orang yang hidup atau orang mati daripada orang soleh dan lainnya."

Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab, menulis dalam risalah ringkasnya dari beberapa hasil karya ayahnya, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab seperti berikut :

"Bahawa mazhab kami dalam usuluddin (tauhid) adalah mazhab ahlus sunnah wal jamaah dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikuti cara Ulama Salaf. Sedangkan dalam hal masalah furu' (fiqh) kami cenderung mengikuti mazhab Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah. Kami tidak pernah mengingkari (melarang) seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab empat, seperti mazhab Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaqlid (ikut) kepada salah satu dari empat mazhab tersebut. Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlaq, juga tidak seorang pun diantara para pengikut kami yang berani mendakwa dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana dan nas yang jelas, baik dari Al Quran dan Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang Imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami ikuti, seperti dalam naskah warisan yang menyangkut dengan datuk dan saudara lelaki; Dalam hal ini kami berpendirian mendahulukan datuk, meskipun menyalahi mazhab kami (Hambali)."

Demikianlah bunyi isi tulisan kitab Shiyanah Al Insan, halaman 474. Seterusnya beliau berkata:

"Adapun yang mereka fitnah kepada kami, sudah tentu dengan maksud untuk menutup dan menghalangi yang haq, dan mereka membohongi orang ramai dengan berkata: 'Bahawa kami suka mentafsirkan Al Quran dengan selera kami, tanpa mengendahkan kitab-kitab tafsirnya. Dan kami tidak percaya kepada ulama, menghina Nabi kita, Muhammad Sallahu Alahi Wassalam dan dengan perkataan 'bahawa jasad Nabi Sallahu Alaihi Wassalam itu buruk di dalam kuburnya. Dan bahawa tongkat kami ini lebih bermanfaat daripada Nabi, dan Nabi tidak mempunyai syafaat.

Dan ziarah kepada kubur Nabi itu tidak sunnah, Nabi tidak mengerti makna "La Illaha Illallah" sehingga perlu diturunkan kepadanya ayat yang berbunyi "Fa'alam annahu La Illaha Illallah", dan ayat ini diturunkan di Madinah. Dituduhnya kami lagi, bahawa kami tidak percaya kepada pendapat para ulama. Kami telah menghancurkan kitab-kitab karangan para ulama mazhab, kerana di dalamnya bercampur antara haq dengan yang batil. Malah kami dianggap mujasimah (menjasmanikan ALLAH), serta kami mengkufurkan orang-orang yang hidup sesudah abad keenam, kecuali yang mengikuti kami. Selain itu, kami juga dituduh tidak mahu menerima bai'ah seseorang sehingga kami menetapkan atasnya 'bahawa dia itu bukan musyrik begitu juga ibu bapanya juga bukan musyrik'.

Dikatakan lagi bahawa kami telah melarang manusia membaca selawat ke atas Nabi Sallahu Alaihi Wassalam dan mengharamkan berziarah ke kubur-kubur. Kemudian dikatakannya pula, jika seseorang yang mengikuti ajaran agama sesuai dengan kami, maka orang itu akan diberikan kelonggaran dan kebebasan segala beban dan tanggungan atau hutang sekalipun.

Kami dituduh tidak mahu mengakui kebenaran para ahlul Bait R.A Dan kami memaksa menikahkan seseorang yang tidak sekufu serta memaksa seseorang yang tua umurnya dan ia mempunyai isteri yang muda untuk diceraikannya, kerana akan dinikahkan dengan pemuda lainnya untuk mengangkat darjat golongan kami.

Maka semua tuduhan yang diada-adakan dalam hal ini sungguh kami tidak mengerti apa yang harus kami katakan sebagai jawapan, kecuali yang dapat kami katakan hanya "Subhanaka-Maha Suci Engkau Ya ALLAH" ini adalah kebohongan yang besar. Oleh kerana itu, maka barangsiapa yang menuduh kami dengan hal-hal yang tersebut, maka mereka telah melakukan kebohongan yang amat besar terhadap kami. Barangsiapa mengaku dan menyaksikan bahawa apa yang dituduhnya tadi adalah perbuatan kami, maka ketahuilah : bahawa kesemuanya itu adalah suatu penghinaan terhadap kami, yang dicipta oleh musuh-musuh agama ataupun teman-teman syaitan dari menjauhkan manusia untuk mengikuti ajaran sebersih-bersih tauhid kepada ALLAH dan keikhlasan beribadah kepadaNYA.

Kami beri'tiqad bahawa seseorang yang mengejakan dosa besar, seperti melakukan pembunuhan terhadap seorang Muslim tanpa alasan yang wajar, begitu juga seperti berzina, riba' dan minum arak, meskipun berulang-ulang, maka orang itu hukumnya tidaklah keluar daripada ISLAM (murtad), dan tidak kekal di dalam neraka, apabila ia tetap bertauhid kepada ALLAH dalam semua ibadahnya." (Siyanah Al Insan, m.s : 475)

Khusus tentang Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkata :

"Dan adapaun yang kami i'tiqadkan terhadap martabat Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam bahawa martabat baginda itu adalah setinggi-tinggi martabat makhluk secara mutlak. Dan baginda itu hidup di dalam kuburnya dalam keadaaan yang lebih daripada kehidupan para syuhada yang telah dinaskan dalam Al-Quran. Kerana baginda itu lebih utama dari mereka, dengan tidak diragu-ragukan lagi. Bahawasanya Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam mendengar salam orang yang mengucapkan kepadanya. Dan adalah sunnah berziarah kepada kuburnya, kecuali jika semata-mata dari jauh hanya datang untuk berziarah ke maqamnya. Namun sunat juga berziarah ke masjid Nabi dan melakukan solat di dalamnya kemudian berziarah ke maqamnya. Dan barangsiapa yang menggunakan waktunya yang berharga untuk berselawat ke atas Nabi, selawat yang datang daripada beliau sendiri, maka ia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat."

Post a Comment

0 Comments