USIA TUA DALAM PERUMPAMAAN AL - QURAN


ALLAH Subhanawata'ala berfirman;

أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَن تَكُونَ لَهُۥ جَنَّةٌۭ مِّن نَّخِيلٍۢ وَأَعْنَابٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ لَهُۥ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَأَصَابَهُ ٱلْكِبَرُ وَلَهُۥ ذُرِّيَّةٌۭ ضُعَفَآءُ فَأَصَابَهَآ إِعْصَارٌۭ فِيهِ نَارٌۭ فَٱحْتَرَقَتْ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ

Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar). (Al-Baqarah : 266)

Dalam ayat ini, ALLAH membuat perumpamaan menarik tentang orang yang diberikan kesempatan hidup lama di dunia. Tetapi dia tidak pernah sedikit pun berusaha melakukan ketaatan kepada ALLAH sampai umurnnya lanjut dan tua bangka. Seperti pemilik kebun di saat waktu muda, menanam dan menjaga pokok kurma dan anggurnya sehingga menjadi lebatl. Namun secara tiba-tiba angin kencang bertiup sehingga kesemua tanamannya rosak dan dia tidak memperolehi apa-apa. Padahal dia sudah tua bangka, anaknya masih kecil dan lemah, dan dia juga tidak mungkin kembali menanam lagi seperti saat dia masih muda dahulu. [1]

Ketika menjelaskan ayat ini, Imam Ibnu Kathsir menyebutkan riwayat Ubaid bin Umair bahawa pada suatu waktu, Umar Al-Khattab R.A bertanya kepada sahabat yang lain, "Adakah di antara kalian mengetahui penjelasan ayat ini?" Sahabat menjawab, "ALLAH yang lebih mengetahui." Umar R.A lalu marah sambil berkata, "Katakan kami tahu atau tidak tahu." Tidak lama kemudian, Ibnu Abbas R.A berkata, "Wahai Umar, aku mengetahui maksud ayat ini."

Umar R.A berkata, "Katakanlah wahai putra saudaraku, jangan rendahkan dirimu."

Ibnu Abbas berkata, "Perumpamaan dalam ayat ini adalah amal manusia."

Umar berkata, "Engkau benar wahai putra saudaraku, maksudnya amal manusia. Bahawa manusia paling memerlukan kepada kebunya pada saat usianya sudah lanjut dan banyak anak cucunya seperti keadaan manusia paling memerlukan amalnya saat dia berada di hari kiamat. [2]

Ibnu Abbas memang terkenal sebagai seorang pentafsir Al-Quran. Sewaktu masih belia, Nabi Sallahu Alaihi Wassalam mendoakan agar dia diberikan kefahaman dalam agama. Ibnu Abbas bercerita, suatu hari, Nabi Sallahu Alaihi Wassalam masuk ke kamar mandi. Setelah itu aku menuangkan air wuduk untuknya. Baginda Sallahu Alaihi Wassalam bertanya, "Siapakah yang melakukan ini?" Orang-orang pun berkata, "Yang melakukannya adalah Abdullah bin Abbas." Setelah itu Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam berdoa.

"Ya ALLAH, fahamkanlah agama kepadanya (Abdullah bin Abbas). [3]

_________

[1] Jami'ul Bayan fi Ta'wil Al Quran, Abu Ja'far At Thabari, (Tafsir Ath-Thabari) Maktabah Syamilah.

[2] Tafsir Imam Ibnu Kathsir, Maktabah Syamilah.

[3] Al Bukhari dari Ibnu Abbas, Maktabah Syamilah.

Post a Comment

0 Comments