KEGAGALAN PARADIGMA EUROCENTRIC: MENILAI SEMULA DIMENSI TEOLOGI DALAM GEOPOLITIK TIMUR TENGAH

Oleh : Anasz*

Secara tradisinya, teori IR (Realisme, Liberalisme, dll.) adalah bersifat Eurocentric—ia lahir dari sejarah Eropah yang memisahkan agama daripada urusan negara (Sekularisme). Oleh itu, ramai penganalisis IR cenderung melihat agama hanya sebagai "instrumen" politik, bukannya sebagai penggerak utama (prime mover) tindakan sesebuah negara atau kumpulan.

1. Limitasi Teori Konvensional (Gaps in Mainstream Theories)

Analisis hubungan antarabangsa sering terjebak dalam kerangka Realisme yang melihat kepentingan nasional hanya dari sudut material dan keselamatan fizikal. Namun, pendekatan ini gagal mengambil kira aspek Ontological Security (keselamatan identiti dan akidah). Apabila pengkaji mengetepikan teks agama (Hadis) atau pandangan ulama, mereka sebenarnya sedang terlepas pandang terhadap worldview pelakon politik yang bertindak berdasarkan keyakinan eskatologi (akhir zaman) atau doktrin teologi tertentu.

2. Peranan Ulama sebagai "Epistemic Communities"

Ulama dan sarjana tradisi bukan sekadar tokoh agama, tetapi merupakan "komuniti epistemik" yang memahami selok-belok doktrin lawan (seperti tipu daya teologi atau strategi geopolitik berasaskan mazhab). Mengabaikan input ini menyebabkan analisis IR menjadi "tempang" kerana ia hanya menilai zahir (politik) tanpa memahami batin (akidah) yang menggerakkan sesuatu tindakan.

3. Theological Blind Spot: Mengapa Analisis Geopolitik Tanpa Lensa Akidah Sentiasa Gagal dan Tidak Konsisten

Kegagalan penganalisis IR dalam meramal atau memahami konflik di Timur Tengah (contohnya isu proksi Syiah) sering berpunca daripada kecenderungan untuk memukul rata (generalize) motif semua pelakon sebagai "rasional-materialistik". Analisis akan sentiasa berubah dan tidak konsisten kerana mereka cuba memasukkan motif keagamaan yang mendalam ke dalam kotak teori Barat yang sempit.

4. Penutup

Analisis hubungan antarabangsa yang komprehensif memerlukan pendekatan multi-dimensi yang tidak meminggirkan variabel teologi. Integrasi antara teks keagamaan (Hadis) dan pandangan autoriti agama (Ulama) ke dalam analisis strategi adalah perlu untuk memahami asimetri konflik dan motif sebenar pelakon yang didorong oleh doktrin akidah. Tanpa keterlibatan epistemologi Islam, analisis I.R akan terus mengalami kelompang dalam memahami realiti geopolitik di dunia Islam secara konsisten.

* Penulis merupakan graduan sarjana dalam bidang analisis strategi dan keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments