ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Wednesday, 12 December 2012

BELANSUNGKAWA BUAT TAN SRI IBRAHIM ENGKU NGAH RAHIMAHULLAH


إنّا لله وإنّا إليه راجعون
"Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada-Nyalah kami kembali".

Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.”
(riwayat Imam Muslim)

Belansungkawa buat keluarga Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah Rahimahullah, mantan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu yang telah kembali ke Rahmatullah pada 8.30malam semalam. Semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan dimasukan ke dalam jannah.

Dari kami :
warga kerja & pengurusan Pena Minang 

BESUT, 12 Disember 2012 - Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11 pagi ini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Allahyarham yang dilahirkan pada 15 April 1932 di Besut meninggalkan seorang balu Tengku Zahab dan enam orang anak, empat daripadanya lelaki.

Allahyarham memegang jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun mulai tahun 1989 hingga 2011. - BERNAMA 

==================================================================

LOGO JABATAN

Logo Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (Majlis Raja-raja), telah direkacipta pada tahun 1987 oleh Encik Ismail Bukhary bin Abdullah Bukhary, P.S.K., A.M.N, J.C (ST. JOHN), P.B (PENGAKAP) sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-141 yang diadakan di Istana Negeri, Kota Bharu, Kelantan yang berlangsung dari 28 hingga 29 Julai 1987. Beliau merupakan penulis, pereka logo dan perunding berasal dari Negeri Kelantan Darul Naim.


==================================================================

PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA.

Pada asalnya penjawat jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja ialah kakitangan kerajaan yang paling kanan. Telah diputuskan dalam salah satu Mesyuarat Majlis Raja-raja bahawa jawatan Penyimpan Mohor Besar ini tidak boleh kurang tarafnya daripada Menteri Besar yang paling kanan, yang pada masa itu merupakan seorang kakitangan kerajaan yang kanan. Justifikasinya ialah Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bertindak bagi pihak semua Raja, manakala Menteri Besar hanya mewakili Rajanya sahaja. Tambahan lagi Raja-raja masih mempunyai sedikit kuasa eksekutif dan dengan demikian Baginda sekalian memerlukan seorang pegawai kanan.

Selepas merdeka, kuasa eksekutif Raja-raja dipindahkan kepada rakyat. Maka jawatan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja tidak lagi mendukung tanggungjawab seperti yang pernah termaktub sebelumnya.

Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa:

"3. Majlis Raja-raja hendaklah mempunyai suatu Mohor Besar Raja-raja yang hendaklah dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu. 

4. Orang yang dilantik dibawah Seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, hendaklah bertindak sebagai Setiausaha Majlis Raja-raja dan hendaklah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Majlis itu.

5. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja bilamasa dikehendaki berbuat sedemikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak dikehendaki berbuat sedemikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong."

Gelaran "Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja" ("The Keeper of the Rulers' Seal"), dibawa jauh dari England ke Malaysia melalui India. Ia berasal dari Britain dan berakar umbi lebih 600 tahun dahulu. Beliau dikenali dengan nama ini memandangkan beliaulah yang menjaga Mohor Besar Raja-raja. Tidak banyak orang yang mengetahui tugas yang dijalankan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja ini. Sebenarnya beliau merupakan Setiausaha Majlis Raja-raja (Seksyen 4 Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan).

==================================================================

MANTAN PENYIMPAN MOHOR RAJA-RAJA MELAYU

1. Y.M Raja Ayob bin Raja Haji Bot (MCS) 
Februari 1948 - Mei 1948 selama 3 bulan

2. Y.Bhg. Dato' Muda Abdullah bin Nordin (MCS) 
Jun 1948 - Mac 1949 selama 9 bulan

3. Y.M Raja Haji Shahar Shah bin Raja Haron (MCS) 
April 1949 - Disember 1949 selama 8 bulan

4. Y.M Tengku Husin bin Tengku Yahaya 
Januari 1950 - Mei 1950 selama 4 bulan

5. Y.T.M Tunku Ya'acob ibni Al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Pegawai Pertanian) 
Februari 1954 - Disember 1955 selama 23 bulan

6. Tuan Haji Mustafa Al-Bakri bin Haji Hasan (kemudian bergelar Dato')(MCS) 
Januari 1956 - Ogos 1957 selama 17 bulan

7. Encik Abdul Rahim bin Abdul Rauf (kemudian bergelar Dato')(Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja)
September 1957 - Mei 1963 selama 4 tahun 4 bulan

. Y.M Tunku Shahriman bin Tunku Sulaiman (kemudian bergelar Tan Sri Dato')
Memangku: Jun 1963 - Ogos 1963 selama 2 bulan
. Encik Aziz bin Zakaria (kemudian bergelar Tn Sri Dato') [Mantan Ketua pegawai Perjawatan Persekutuan - (gelaran jawatan sekarang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam)]
Memangku: Ogos 1963 - September 1963 selama 1 bulan

8. Y.Bhg. Tan Sri Ahmad bin Haji Husin [Mantan Ketua Pegawai Perjawatan Persekutuan (gelaran jawatan sekarang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam)] 
Oktober 1963 - September 1980 selama 17 tahun

9. Y.Bhg. Datuk Ahmad Zainal Abidin bin Muhammad Yusof (Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Kanada) 
Oktober 1980 - September 1988 selama 8 tahun
. Encik A. Rahim bin Kassim (Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja) 
Memangku: Oktober 1988 - Disember 1988

10. Y.M. Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim bin Engku Ngah 
Januari 1989 - Januari 2011 selama 22 tahun

Sumber : http://www.majlisraja-raja.gov.my





1 comment:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute