KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI LUAR NEGERI MENGENAI SITUASI DI MESIR

KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI LUAR NEGERI MENGENAI SITUASI DI MESIR

Kerajaan Malaysia melahirkan kebimbangan yang mendalam ke atas situasi semasa yang berlaku di Mesir yang telah mengorbankan banyak nyawa dan ribuan yang lain cedera. Malaysia berharap agar penyelesaian secara damai dapat dicapai serta menggesa semua pihak agar tidak memilih jalan keganasan. Malaysia berpandangan bahawa pihak berkuasa di Mesir perlu mengadakan dialog secara serius yang melibatkan semua pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyatuan dan merangka satu solusi yang berkesan dan berpanjangan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.

Sehingga kini, semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir berada dalam keadaan baik dan selamat. Mereka diminta untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan. Rakyat Malaysia juga telah diingatkan agar tidak mendekati kawasan berisiko konflik dan tidak menyertai sebarang demonstrasi. Wisma Putra akan terus memantau situasi di Mesir secara dekat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terus terjamin.

Kementerian Luar Negeri
PUTRAJAYA 
28 Julai 2013

Post a Comment

0 Comments