[KENYATAAN AKHBAR] PELANTIKAN DUTA BESAR DAN PESURUHJAYA TINGGI MALAYSIA YANG BARU

Oleh : Kementerian Luar Negeri 

Kerajaan Malaysia telah melantik lima (5) orang Ketua Perwakilan Malaysia baru yang akan menerima Watikah Tauliah Pelantikan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 24 Julai 2013. Ketua-ketua Perwakilan tersebut adalah seperti berikut:

Dato’ Husni Zai bin Yaacob
Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura

Dato’ Husni Zai bin Yaacob merupakan pegawai kanan Kementerian Luar Negeri yang telah berkhidmat sejak tahun 1981. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Duta Besar Malaysia ke Thailand dari 2008 hingga 2010 dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait dari 2003 hingga 2005. Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negeri termasuklah di Filipina, Pakistan dan United Kingdom. Dato’ Husni Zai kini sedang menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala di Kementerian Luar Negeri.

Dato’ Selwyn Vijayarajan Das
Bakal Duta Besar Malaysia ke Austria

Dato’ Selwyn Vijayarajan Das kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala di Kementerian Luar Negeri dan telah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia sejak tahun 1979. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada dari 2009 hingga 2010 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya dari 2005 hingga 2009. Dato’ Selwyn juga pernah berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.

Dato’ Ku Jaafar bin Ku Shaari
Bakal Duta Besar Malaysia ke Mesir

Dato’ Ku Jaafar bin Ku Shaari merupakan pegawai kanan Kementerian Luar Negeri yang telah berkhidmat sejak tahun 1981. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam dari 2007 hingga 2010 dan Duta Besar Malaysia ke Qatar dari 2004 hingga 2007. Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negeri termasuklah di Kanada, Laos, Croatia dan Jordan. Dato’ Ku Jaafar kini sedang menyandang jawatan Ketua Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kuala Lumpur.

Datin Seri Blanche Olbery
Bakal Duta Besar Malaysia ke Finland

Datin Seri Blanche Olbery merupakan pemegang LLB (Hons) dari University of Buckingham. Beliau telah mengamalkan undang-undang sejak tahun 1986 dan dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea sejak 2009. Datin Seri Blanche bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Finland.

Dato’ Zainal Abidin bin Ahmad
Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia

Dato Zainal Abidin bin Ahmad telah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri sejak tahun 1983. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Duta Besar Malaysia di Vientieane, Lao PR dari 2007 hingga 2010 sebelum kembali memegang jawatan Ketua Pengarah, Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar Negeri sehingga kini.

PUTRAJAYA

23 Julai 2013

Post a Comment

0 Comments