PILIH CALON PILIHAN KERAJAAN NEGERI TERENGGANU DAN PERSEKUTUAN

Oleh : Beruang Biru

Seperti telah kehabisan modal, Pas cuba mencipta isu kononnya berlaku perselisihan faham antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dengan Timbalan Pengarah PRK DUN Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh. Bertujuan untuk melemahkan jentera parti isu ini telah dijadikan modal kempen di pilihan raya kecil Kuala Besut (PRK Kuala Besut).

Idris yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Besut, ketika diminta mengulas mengenai isu yang dibangkitkan itu, menafikannya sekali gus menegaskan ia hanyalah isu yang sengaja dicipta oleh pakatan pembangkang.

Menurut Idris, pemimpin Pas itu sudah kekeringan modal apabila terpaksa memainkan isu berkenaan selepas gagal mengetengahkan calon terbaik kepada rakyat di Kuala Besut.


“Dia (Pas) memang kena buat isu, tak ada masalah. Kita (beliau dan Ahmad Said) boleh bekerja bersama-sama. Bila tak ada modal, dia carilah modal. Calon dia pun tak larat, parti pun tak larat. Dia cucuk kita. Dia cucuklah, biasalah," katanya.

Naib Presiden Pas, Husam Musa sebelum ini mendakwa ‘pertembungan’ dan perbezaan pendapat antara Idris dan Ahmad Said akan dapat membantu kemenangan Pas di PRK Kuala Besut.

Menurut Husam lagi, kemenangan PAS di Kuala Besut secara tidak langsung merupakan kejayaan bagi pihak Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Idris turut menjelaskan isu pertembungan itu sengaja dicipta oleh Pas sambil menegaskan perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam politik.


“Perbezaan pendapat itu biasa, tetapi tidaklah sehingga menimbulkan masalah dan menganggu jentera parti. Kami berbuka bersama, bersolat terawih bersama dan pada sebelah malam sempat juga meluangkan masa untuk minum teh tarik sambil berbincang” tegasnya lagi.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kuala Besut ini, Idris melahirkan keyakinan mampu mengulangi kecemerlangan sekaligus mempertahankan kemenangan yang diperoleh oleh BN/Umno dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Kita bukan sahaja akan menang (dalam pilihan raya kecil ini), tetapi kita akan menang besar” katanya.

Post a Comment

0 Comments