MALBATT PERKENAL BAHASA DAN BUDAYA MALAYSIA DI LUBNAN

Oleh : Mohd Azim Fitri Aziz

TIBNIN (Lubnan), : "Murah-murah, terima kasih, jemput masuk," itu adalah antara ungkapan yang terbit daripada mulut para peniaga di Tibnin dan Kawkaba di Lubnan.

Rasa kagum mula timbul di hati penulis apabila mendapati kebanyakan penduduk tempatan lancar berbahasa Melayu sebaik tiba di pekan Tibnin, yang menjadi markas ibu pejabat pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan sejak 2006 lagi.

Penulis berada di negara itu dari 23 hingga 31 Julai lepas untuk lawatan ke kem-kem Malbatt dan Malaysia Company (Malcoy) di beberapa daerah di Lubnan.

Sedar tidak sedar pasukan Malbatt dan Malcoy sudahpun bertapak di bumi bergolak itu hampir tujuh tahun dan inilah sebab mengapa penduduk di kawasan operasi Malbatt dan Malcoy sudah biasa dengan bahasa dan budaya orang Malaysia.

Konflik antara Lubnan dan Israel pada 2006 membawa kepada campurtangan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) yang turut diwakili Malbatt.

Pada mulanya penduduk tempatan agak was-was dengan kehadiran tentera asing di bumi mereka, tetapi sumbangan ikhlas pasukan Malbatt dan Malcoy melalui pelbagai program berjaya mengatasi syak wasangka terhadap pasukan itu.

PASUKAN ATM CONTOH TERBAIK

Bagi penduduk tempatan Mohamad Abdullah Aiman, beliau pada awalnya menyangka kemasukan tentera PBB di Lubnan bagaikan satu bentuk penjajahan yang baru. Tetapi tanggapannya itu mula meleset apabila melihat sikap mesra yang ditunjukkan pasukan Malbatt dan Malcoy dalam membantu masyarakat tempatan.

Peniaga berusia 41 tahun itu mula tertarik dengan sikap ringan tangan yang ditunjukkan anggota serta pegawai pasukan Malcoy dan Malbatt dalam membantu penduduk terutama daripada segi kemudahan perubatan dan bantuan pendidikan.

"Saya sebagai peniaga di sini, berasa senang dengan sikap mereka, mereka menunjukkan contoh yang baik dalam kalangan pasukan Unifil, jadi tidak hairan mengapa kami selesa dengan mereka," kata Abdullah yang tinggal berhampiran kem Barashit, satu daripada kem operasi pasukan Malbatt.

Kini pasukan kelima (Malbatt 5) menjalankan operasi menjaga keamanan sejak mengambil alih tugas daripada Malbatt 4 pada Oktober 2012.

Malbatt 5 beroperasi di sektor barat Lubnan iaitu di Kem Harris, Shamrock, Barashit dan Tibnin yang menjadi ibu pejabat pasukan Malbatt 5.

Manakala pasukan Malcoy dibubarkan pada awal Julai lepas dengan kesemua anggota dan pegawai pasukan itu digabungkan dengan pasukan Malbatt dan akan beroperasi sebagai satu pasukan secara rasmi bermula Oktober ini.

PROGRAM JIWA MURNI

Berpegang kepada prinsip buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali, pasukan Malbatt dengan kekuatan seramai 540 orang manakala Malcoy dengan kekuatan seramai 310 orang banyak membantu masyarakat tempatan melalui program jiwa murni yang dirintisnya.

Menurut Komander Malbatt 5 Kol Zainal Abidin Mohd Said, program jiwa murni dianjurkan bagi membantu masyarakat di kawasan operasi untuk bangkit daripada kesan perang.

"Walaupun modal yang diperuntukkan kepada kami amat terhad tetapi hasil usaha serta kepakaran yang ada membolehkan kami membantu rakyat Lubnan melalui program yang dirancang," jelas beliau yang yakin bahawa program jiwa murni itu diterima baik masyarakat Lubnan.

Bagi anak jati Johor itu, program yang dirancang beliau dan anggotanya seperti menubuhkan hospital tahap satu, menyampaikan bantuan pendidikan dan teknikal serta menggunakan kepakaran kejuruteraan banyak memberi impak positif dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Beliau menjelaskan program-program yang dianjurkan berjaya mengatasi prasangka selain turut mengeratkan hubungan antara pasukan dan warga tempatan di kawasan operasi.

MASYARAKAT LUBNAN SELESA BERBAHASA MELAYU

Penulis semasa dibawa melawat pekan di Tibnin untuk meninjau keadaan serta beramah mesra bersama penduduk tempatan disambut mesra oleh penduduk tempatan.

Sebaik bersapa, warga Lubnan lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu berbanding menggunakan bahasa Inggeris. Perkara ini diakui sendiri oleh Kol Zainal yang berpandangan ia adalah kesan hubungan erat antara pasukan tentera Malaysia dan penduduk di Tibnin sejak tujuh tahun lepas.

Penduduk di situ rata-ratanya selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu bukan sahaja dengan anggota dan pegawai tentera tetapi juga pelawat dari Malaysia.

Menurut seorang daripada anggota pasukan Malbatt 5, Kpl Mohamad Shafiq Affendi Mohd Abdul Rahman setiap kali anggota pasukan Malbatt 5 turut ke pekan Tibnin untuk membeli barang keperluan mereka akan mengajar peniaga di sana bertutur dalam bahasa Melayu.

Lama kelamaan bahasa dan budaya orang Malaysia menjadi sebati dengan masyarakat di Tibnin dan Kawkaba, kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bagi penduduk tempatan pula kehadiran pasukan tentera Malaysia sejak tujuh tahun lepas di bumi yang penuh dengan sejarah serta kisah para Anbia ini membawa besar maknanya.

Maka tidak hairanlah rata-rata penduduk di kawasan Tibnin mahukan Malbatt terus dikekalkan di sini.

Post a Comment

0 Comments