SIAPAKAH YANG LAYAK MEMBUNUH KHAWARIJ?

Oleh : Fadhi Ihsan

Asy Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi hafizahullah ketika ditanya : Apakah wasiat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berupa perintah membunuh orang-orang Khawarij seperti dalam sabdanya: “Jika kalian menjumpai mereka maka bunuhlah.” Apakah boleh difahami dari sabda baginda di atas dan nas-nas yang lainnya membolehkan mereka ini dibunuh oleh Ahli Sunnah, atau apakah yang dimaksud dalam perbicaraan ini khususnya bagi sekelompok golongan dari kaum muslimin. Mohon diberikan keterangan dalam permasalahan ini, semoga Allah Azza wa Jalla membalas anda dengan balasan kebaikan.

Dan Syeikh pun menjawab: Tidak ada keraguan bahawa Khawarij adalah mubtadi’ yang sesat, akan tetapi tidak dibenarkan membunuh mereka bagi setiap orang (orang awam). Perintah yang terdapat dalam hadis di atas dan yang sejenisnya adalah untuk para pemimpin negara yang mana kekuasaan ada pada tangan mereka. Adapun kalau kita mengatakan boleh bagi sesiapa sahaja membunuh Khawarij yang ditemuinya dan sambil mengatakan dia (yang dibunuh) adalah orang Khawarij maka sungguh akan timbul kerosakkan / fitnah yang besar. Malah tidak ada sama sekali dari para ulama yang akan mengatakan orang awam boleh melakukan tindakan berkenaan.

Adapun hadis yang berbunyi: “Jika kalian menjumpai mereka maka bunuhlah”. Konteks pembincangan di sini terarah kepada para penguasa dan pihak-pihak yang berkuasa dalam pengendalian kekuatan dan keamanan. Perbincangan ini adalah untuk mereka.

Langkah yang pertama yang perlu diambil (untuk menghadapi Khawarij) adalah pihak penguasa mengirim utusan untuk berdebat dengan mereka dan menerangkan kebenaran. Apabila mereka tidak mengendahkannya dan terus di atas perilaku tersebut maka dibenarkan penguasa mengambil tindakan yang boleh dilakukan keatas mereka. Adapun kalau kita mengatakan bahawa boleh secara terus dibunuh, maka yang demikian ini tidak benar tetapi yang seharusnya adalah mendakwahi mereka terlebih dahulu. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu dimana beliau tidak membunuh mereka kecuali setelah mendakwahi mereka terlebih dahulu. Beliau mengutus anak saudaranya iaitu Abdullah bin ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma dengan mengatakan kepadanya: “Berdebatlah dengan mereka dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kerana Al Qur’an memiliki banyak sisi.”

Maka Ibnu ‘Abbas mulalah berdebat dengan mereka sehingga banyak dari mereka yang kembali diatas jalan kebenaran dan sebahagiannya masih tetap di atas pendirian mereka yang salah.

Kemudian tatkala mereka membunuh Abdullah bin Khabbab dan budak perempuannya (yang hamil -muraja’ah) radhiyallahu ‘anhuma, maka Ali mendatangi mereka sambil mengatakan: “Serahkan kepada kami pembunuh Abdullah bin Khabbab dan budak perempuannya!”

Mereka menjawab: “Kami semua adalah pembunuhnya.”

Ketika telah didakwahi namun mereka tetap di atas pendirian mereka yang sesat, maka mereka diperangi [1]. Dengan demikian itu perintah membunuh adalah cara yang terakhir ketika tidak ada lagi cara lain yang boleh membawa mereka kembali kepada jalan kebenaran yang mana ianya dilakukan oleh pemerintah. Apabila urusannya menuntut untuk diperangi maka perangilah.

(Menyingkap Kejahatan Aliran-aliran Sesat oleh Asy Syeikh Ahmad bin Yahya An Najmi, penerbit: Hikmah Ahlus Sunnah, hal. 76-78)

Nota Kaki :

[1] Sebagian pembincangan antara Ali radhiallahu ‘anhu dengan Khawarij telah disebutkan dalam kitab Al Farqu bainal Firaq hal. 79, Syarhu nahji balaghah 2/275, dan Al Kail Al Mubarrad jilid 2/117 dinukilkan dari kitab Firaq Mu’ashiroh intasaba ilal Islam wa bayani mawaqifil Islam minha karya Asy Syeikh Ghalib bin Ali ‘Awaji pensyarah di Universiti Islam Madinah Al Munawwarah jilid 1/72 cetakan ke-2 tahun 1414 H.

Post a Comment

0 Comments